Khamis, 29 Januari 2015

Dunia Baruku

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Kembali Jumaat
1. Hampir seminggu juga aku berada di sini. Pondok Pasir Tumboh. Sebuah tempat musafir yang baru dua ke tiga bulan bermain di congakan, destinasi pilihan selepas Shoubro. Sebelum ini jika adapun, kebarangkaliannya mungkin hanya 10-20% sahaja untuk aku bermusafir ke pondok. Insha Allah 80-90% lagi aku sangat berharap dapat ke Hadramaut Yaman.

2. Namun Allah.swa sebaik-baik perancang. Akhirnya aku bermusafir juga ke Kota Serambi Makkah ini. Tanah kelahiran bapaku. Jadi perasaanku sekarang;
"Seolah-olah sedang balik kampung.."

3. Ditambah dengan suasana Pondok yang mewajibkan pelajar berkain pelikat dan galakan berserban sambil berjubah atau berbaju melayu. Juga binaan pondok, kedai dan rumah masyarakat  yang berasaskan kayu dan dikelilingi pokok-pokok. Begitu juga suasana kehidupan yang tenang menambahkan buai rasa persis berada di kampung halaman, Kg Seri Makmur atau Kg Belimbing di Pahang.

4. Untuk suasana hidup dan biah ilmu di sini, mungkin saya akan post di lain waktu.

5. Sekarang saya masih sedang mencari rentak di sini. Hasil pemerhatian awal saya;

- Suasana pengajian di sini seperti di Masjid Alazhar, ada banyak kelas pengajian.
- Sebahagian kelas punyai ikatan yang sangat erat. Seolah-olah punyai jadual, mursyid dan pendokong atau murid yang tersendiri.
- Juga punyai marhalah. Bagi yang baru dan lama. Kitab kecil dan kitab besar.
- Durasi setiap kelas sekitar setengah jam, satu jam dan satu jam setengah.
- Meraikan semua golongan. Dari yang baru nak kenal Islam seperti muallaf sehinggalah yang ingin mahir ilmu maqosid atau ilmu alat.
- Amalan zikir juga sangat subur di sini.
Zikir selepas solat fardhu dialun beramai-ramai oleh Tok-tok guru, pelajar dan masyarakat.
- Kitab tasawwuf seperti Pelita
Penuntut -ta'lim muta'allim- menjadi kitab mesti belajar di sini.
- Walaupun undang-undang dan perlaksanaannya tidak terlalu ketat. Namun mungkin atas dasar minat dan  pilihan sendiri untuk belajar di pondok. Disiplin, akhlak dan adab pelajar begitu baik. Budaya khidmat terhadap Guru, membantu melancarkan perjalanan pondok, membimbing pelajar baru dan ringan tulang bergotong-royong   juga sangat subur.

- Tiada makanan disediakan bagi kami yang tinggal di asrama wakaf. Jadi saya lebih suka masak sendiri. Adapun kalau ingin beli di kedai, mungkinlah sekali sekala. Sebab harganya boleh tahan juga. Kebiasaan teman-teman saya hanya membeli lauk di luar dan menanak nasi di bilik.

6. Dalam diam sebenarnya saya semakin seronok berada di sini. Namun saya masih belum berpuas hati dengan jadual kelas yang ada. Banyak lagi rasanya kelas-kelas yang saya tidak ketemu seperti yang bersifat khususi di pondok-pondok atau yang kurang hebahannya disebabkan tidak sesuai untuk semua pelajar.

7. Doakan saya teman-teman. Setakat ini saya baru tertarik dengan dua kelas. Doakan saya dapat ambil istifadah yang maksimum dari Pondok Pasir Tumbuh ini.

8. Hari ini Jumaat. Hari cuti bagi Negeri Tok Kenali.  Peluang untuk saya melayan hobi menulis. Terima kasih kerana membaca. Wassalam.

Rabu, 21 Januari 2015

Agama itu mudah, jangan dipayahkan




 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



'Bro.. Agama itu mudah, jangan dipayahkan,'

Lama juga bermenung dengan istilah ini. Saya pernah dengar ada Seorang Pak Kiyai dan ramai cendekiawan yang punyai jawapan balas yang ilmiah, berkualiti dan tidak kurang 'perlian kembali' untuk perlian sebegini. Namun sebagai bukan ahlinya, ada benda lain yang bermain di fikiran. Aplikasi Ilmu Agama memayahkan?

1. Pernahkah kita terfikir had minima sesuatu ibadah? Had yang membezakan ianya diiktiraf suatu ibadah atau tidak.

2. Apakah ciri-ciri atau syarat paling minima yang perlu ada;

- Sewaktu Doa Qunut ketika solat subuh? sehingga dengannya, kita dikira telah sempurna atau belum mengerjakan sunat ab'ad tersebut.
- Ketika ruku' dan sujud, yang membezakan solat kita sah atau tidak.
- Ketika duduk yang di akhir solat itu, sehingga sahlah ianya diiktiraf sebagai tasyahhud akhir?

3. Apakah ciri minima satu cawan air itu, sehingga layak digelar sebagai air Tea-O? Adakah memadai dengan meletakkan sebutir halus habuk tea, maka ianya layak digelar air tea-O? Dan pastinya kita sangat marah dan terus boikot jika ada restoran yang lakukan sebegini kepada kita.

4. Jika tidak, berapa? dua butir habuk tea? satu sudu? 1/5 cawan? sehingga air berwarna keemasan?

5. Jika berdepan dengan situasi tertinggal rukun di dalam solat. i'tidal atau ruku' contohnya. Apakah yang patut kita buat? Adakah semudah itu kita batalkan solat? Atau adakah cara ini paling tepat?

6. Ilmu Agama bukan memayahkan kita. Bahkan Ilmu Agama mengajar kita cara berfikir. Memilih keputusan yang tepat. Menunjuk jalan ketika kita keliru. Ilmu Agama membantu kita sampai kepada Allah.swa, mengikut tatacara yang betul.

7. Bukan semua istilah sesuai diguna pakai pada semua keadaan dan tempat.

LAGU: ANAK KECIL MAIN API

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



Oleh: Tan Sri Sanusi Junid
 
(Rangkap berikut yang berwarna hitam di dalam lagu ini adalah versi asal yang telah digubah oleh Tan Sri Nordin Kardi. Rangkap yang berwarna unggu ialah tambah yang dibuat tiga kali oleh Allahyarham Dato' Hamdan Sulaiman, YABhgia Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Abdullah Khair. Tambahan ini dibuat mengikut perkembangan masa. Rangkap terakhir bolehlah dipilih antara versi asal atau versi terakhir. Versi asal lagu ini, walaupun siap digubal dalam tahun 1977 hanya diperkenalkan dalam kurus-kursus anjuran BTN. Tambahan yang dibuat oleh Dato' Hamdan ialah di waktu lagu ini hendak diperkenalkan kepada masyarakat Melayu melalui KEMAS di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar di mana Dato' Hamdan bertugas sebagai pegawai seranta. Tambahan kedua oleh Datin Seri Dr. Siti Hasmah dibuat di waktu lagu ini diperkenal kepada UMNO di waktu saya menjadi Setiausaha Agung. Abdullah Khair membuat pindaan dan tambahan ketiga setelah prestasi Barisan Nasional yang paling buruk dalam PRU ke 12)
   
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang


Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri


Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang


Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri


Nenek moyangku menangis
Kenapa kita berdiam diri
Negara tergadai kerana dia lalai
Tak dengar rintihan yang ramai

Air mataku bertabur
Hatiku luka amatnya sedih
Marilah membangun gerakkan yang tidur
Selamatkan bangsa dan negeri

Janganlah kita main api
Teruslah negeri yang disayangi
Warisan dah lemas marilah bertega
Minta pemimpin undur diri

Melayu bangsa yang dihina
Bukan salah yang mempercayai
Manusia berkuasa sampai tak sedar diri
Kabullah do'a kami Ya Rabbi

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara


Atau

Kita sudah tiada masa
Marilah berjuang bersama
Janganlah lalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Malaysia
Melayu kan gagah di Nusantara

SAJAK: MELAYU MUDAH LUPA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya terpencil
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa

Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah

Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah

Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai.

Deklamasi: Tun Dr.Mahathir (Ketika ini Perdana Menteri Malaysia)


Sumber

SAJAK: PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله




Oleh: Tun Dr. Mahathir Mohamad
 
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian.
Di manakah silapnya?sehingga bangsa ku berasa kecil dan rendah diri.Apakah angkara penjajah lalu bangsaku mulai melupakan kegemilanagn silam membina empayar.

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.

– Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)


Sumber:
Blog Tan Sri Sanusi Junid dan
http://unity.my/2013/02/27/puisi-tun-dr-mahathir-perjuangan-belum-selesai/

Ahad, 18 Januari 2015

Fasiliti Malaysia dan Mentaliti Malaysian

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Fasiliti dan Mentaliti;

1. Seronok mendengar kata-kata positif dari jiran tetangga kita melalui klip video di Facebook. Teringat Habiburrahman El Shirazi, yang ada menyelit cerita tentang kemajuan Malaysia, di dalam salah satu novelnya. Tergambar betapa novelis hebat ini begitu cemburu dengan Malaysia.

2. Jika masih ingat salah satu kempen di Facebook Prabowo ketika pilihanraya Indonesia yang lalu. Prabowo ada memetik keberkesanan Tabung Haji dan berhasrat menirunya jika terpilih sebagai Presiden Indonesia. Maka banyaklah komentar dari follower yang komennya nampak tidak suka dengan Malaysia, namun tetap mengagumi dan mengiktiraf kejayaan demi kejayaan Malaysia.

3. Semasa menunaikan Umrah tahun lepas. Bertemu beberapa warga Arab Saudi yang begitu gembira bercerita tentang Malaysia. Seorang pekerja perubatan bersemangat bercerita tentang tempat-tempat menarik yang telah beliau pergi ketika di Malaysia. Seorang pegawai Imegresen juga nyatakan hasrat nya yang sangat ingin ke Malaysia. Dia tidak kisah berapapun kos belanja di Malaysia (Faham-faham gaji mereka yang sangat tinggi. Dengarnya Polis Amar Ma'ruf yang duduk tepi masjid dan bekerja 15hari sebulan pun gaji 10,000 riyal). Mungkin hanya mujammalah. Tapi sifat mana-mana lelaki, payah nak nampak mimik wajah yang bersemangat memuji kalau perkara itu tidak benar.

4. Ketika itu sertai satu muktamar di Kaherah, Mesir. Perihal Palestin. Ketika itu ada dalam 3-4 ahli panel. Semua hebat-hebat. Tidak silap salah seorangnya adalah setiausaha liga arab dan beberapa lagi yang hebat. Termasuk salah seorangnya adalah Tun Mahathir. Seorang demi seorang berucap sehinggalah yang terakhirnya Tun. Namun apa yang sangat mengagumkan. Jika panel yang lain sambutan pendengar hanya biasa-biasa. Namun bila tiba Tun berucap, satu dewan fokus dan serius. Dan sebaik Tun selesai berucap, hampir kesemua warga Arab berdiri dan memberikan tepukan yang sangat gemuruh. Mengagumkan.

5. Seorang teman bercerita (lebih kurang) . Seorang pensyarahnya di Al-Azhar amat memandang tinggi kepada Malaysia. Kata pensyarah itu jika ada kerosakan di rumahnya, dan jika terdapat pilihan juruteknik dari berbilang bangsa, beliau akan pilih Malaysian, disebabkan ketelitiannya. Ketika ingin membeli kereta sebelum itu, beliau sebenarnya lebih memilih Proton berbanding Mitsubishi. Namun kerana pusat servis Proton yang amat jauh dari Kaherah. Beliau memilih juga Mitsubishi.

6. Teringat status di Facebook Ustaz Rosli Jabbar rasanya (jika tidak silap saya). Bilamana memasuki satu kedai di Yaman. Ketika ditanya dari negara mana, lalu dikatakan dari Malaysia, terus keluar dari mulutnya, 'Syeikh Hadi? '. Masyarakat di situ amat memandang tinggi kepada TG Haji Hadi. Disebabkan kebuntuan mencari damai di Yaman suatu ketika (peristiwa sebelum konflik terbaru), maka TG diminta untuk menjadi wakil pendamainya di situ.

7. Namun bila teringat persekitaran Teluk Cempedak di pagi hari minggu yang semak dengan sampah sarap.

Juga persekitaran traffic light yang udah macam pusat perlupusan sampah.

Juga pemandangan di kiri kanan laluan yang dipenuhi sampah sarap ketika menaiki LRT di Kuala Lumpur.

Juga terserempak di depan mata dengan insan yang dengan selambernya buang puntung rokok ke tanah, walhal hanya berselang berapa langkah sahaja lagi dari pintu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, dan tong sampah juga hanya berselang dalam dua tiga jengkal sahaja darinya....


Speechless.

Sabtu, 17 Januari 2015

Menangani Percakaran Mazhab di Malaysia


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Kenapa ISIS terlalu Sempurna?
Kini isu ISIS  telah mula menjadi dendangan. Pelbagai kemungkinan boleh diteka. Baik ianya mungkin satu lagi lakonan ciptaan Zionis Amerika, bertujuan memburukkan gerakan Islam atau Mujahideen yang berjuang. Mungkin juga sebuah pertubuhan yang dijadikan kambing hitam oleh media, sebagai tiket menjayakan suatu agenda tersembunyi. Atau boleh jadi juga memang ISIS sendiri merupakan sebuah pertubuhan yang ber-oreantasikan keganasan. Wallahua'lam.. Hanya Allah sebaik-baik pelindung.

Namun, walau apapun alasannya. Bagi saya Cara Penonjolan ISIS ini terlalu sempurna;

Saya pernah cuba memuat naik sekitar enam buah klip video di Youtube. Semua klip video yang menceritakan tentang kesakitan, penderitaan dan kemusnahan Rakyat Palestin berjaya di muat naik. Namun video yang memaparkan kehebatan Briged Al-Qassam dan betapa lemahnya Israel gagal di muat naik. Pihak Youtube menghantar mesej kepada akaun saya, menyatakan klip video tersebut tidak sesuai dengan syarat mereka. Pelik bukan? Dari situ saya mulai yakin. Pihak Youtube atau Zionis tidak bimbang video-video ganas mereka ditayangkan. Kerana secara psikologinya baik berita itu pro atau kontra, ia tetap berjaya menonjolkan kehebatan Zionis. Juga menghadirkan rasa gentar di pihak musuh serta melonjakkan motivasi mereka.

Namun jika ada video yang menayangkan mereka lemah. Psikologinya mereka sudah kalah. Ramai pihak akan mulai rasa berani untuk ganyang mereka. Juga melemahkan motivasi tentera dan kaum keluarga mereka.

Rasa yakin saya ini dikuatkan lagi, dengan laporan yang telah di muat naik oleh Facebook Aman Palestin. Tentang Akaun Facebook mereka yang sering bermasalah seolah-olah sengaja disekat.

Saya pernah menggunakan gambar profil Facebook yang berupa screenshot kepada suatu berita. Yang boleh menaikkan semangat orang ramai bagi menentang Zionis. Berita itu berbahasa Inggeris. Hasilnya, screenshot itu langsung tidak terlihat kepada umum. Gambar  yang ada di profil hanyalah gambar saya sebelum ini.

Anda nampak permainannya di situ bukan?

Persoalan yang sering berlegar difikiran. Kenapakah ISIS terlalu sempurna publisitinya? 
 
Bukan semua perkara kita boleh tangani. Namun amat sayang jika ada perkara yang boleh kita tangani, namun kita abaikan. Contohnya Fahaman Ekstreem di Malaysia.

Istilah Ekstreem
Istilah ekstreem sebenarnya boleh juga terpalit kepada kita. Tidak kira bermazhab Syafie-Maliki-Hambali ataupun Hanafi. Tidak terhad hanya kepada Sahabat Wahhabi dan Ahbash. Bilamana kita memaksa dan memeras orang ramai untuk mengikut mazhab dan pendapat kita. Pendapat lain, yang walaupun dari Ulama Muktabar dan dipersetujui oleh ramai Ulama, dikira semua salah.

Bermula dari sikap sebeginilah maka akan lahir masyarakat yang suka bergaduh, berkasar, menghina dan merendah-rendahkan maruah saudara se-Islam yang tidak sama pandangan. Lebih memburukkan keadaan, bila mereka yang suka bergaduh ini dibantu pula oleh pengaruh politik. Lebih teruk lagi, bila sampai sanggup berbunuhan dan mengangkat senjata hanya kerana terlalu ingin manusia mengikut pendapatnya.

Hilanglah segala kasih sayang dan hormat-menghormati hanya kerana perbezaan ini. Walhal ini bukanlah budaya Rakyat Malaysia dan Dunia Islam yang kita impikan.


Pendekatan Orang Tengah
Sebenarnya kita di Malaysia punyai senjata rahsia. Kita amat bagus dan berpengalaman dari sudut diplomasi dan meraikan kepelbagaian ragam manusia. Walaupun masih kelihatan ada sedikit lopong-lopong di beberapa tempat. Namun kita tetap dikira berjaya menangai perbezaan agama, bangsa, budaya dan ideologi dengan baik sekali. Pencapaian Malaysia ini jauh lebih baik berbanding sebahagian negara-negara lain. Jadi, perkara menangani masalah percakaran ideologi Agama sebegini tidaklah terlalu besar bagi kita. Namun tetap perlu diurus dengan baik.

Dalam keadaan sebegini. Bagi mengelak situasi menjadi lebih gawat khususnya di Malaysia. Kita perlu pandang jauh ke depan dalam bertindak, khususnya oleh Jabatan Agama Islam dan mufti-mufti.

Sebagai langkah selamat dari percakaran mazhab. Khusus buat masyarakat awam. Standard Of Procedure (SOP) terhadap pembelajaran agama perlu kembali dikemaskini. Kekalkan rujukan sedia ada yang telah disepakati zaman-berzaman. Jika tidak silap saya. Perkara ini juga sebenarnya telah digazet oleh JAKIM.

Dengan menjadikan Mazhab Syafie sebagai akar amalan di Malaysia. Kemudian Mazhab Abu Hassan Al-Asyaari dan Abu Mansur Al-Maturidi sebagai asas bagi Mazhab Aqidah. Hanya ruang lingkup ini dibenarkan diajar secara terbuka kepada masyarakat awam. Namun pengajaran terhadap Mazhab lain seperti Hanafi, Syafie, Maliki dan Hambali tetap boleh diajarkan, namun secara tertutup.
Bila kita kembali kepada asas ini. Maka bibit-bibit pergaduhan dapat kita redakan.

Demi Keselarasan
Tenaga Pengajar Fardhu Ain bagi masjid, surau, kelas kendalian KEMAS, KAFA serta kelas-kelas fardhu ain dewasa perlu dimahirkan dengan kandungan Mazhab. Kursus dan latihan perlu diberi kepada tenaga pengajar. Senarai kitab rujukan perlu dibekalkan. Wujudkan skim-skim pekerjaan yang membantu ke arah ini. Sebagai contoh, Skim Guru Fardhu Ain bagi setiap masjid desa dan daerah. Selain jawatan Imam, Briged dakwah dan Imam Hafiz sebagai contoh jika di Pahang.

Keselarasan penting, bagi menjamin pergaduhan mazhab tidak berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia. Biarlah ianya dibincangkan hanya dikalangan mereka yang berautoriti.

Keselarasan bertujuan mengelak Percakaran sesama Masyarakat, Bukan memusnahkan mana-mana Mazhab.

Sistem Pendidikan
Langkah seterunya. Silibus Agama Islam bagi Sekolah Menengah dan rendah perlu dirombak kembali mengikut acuan ini. Aspek Fiqh dan Aqidah perlu selari dengan amalan masyarakat Malaysia. Elakkan dari memasukkan silibus yang bakal mencetuskan polemik pergaduhan dalam masyarakat. Silibus Fiqh Muqorran dari Al-Azhar mungkin boleh diserap di dalam silibus kita, agar pelajar lebih menghormati kepelbagaian mazhab yang ada.

Dan seterusnya, halatuju pendidikan selepas SPM, STAM dan Diploma perlu kembali dipantau. Kerana jika diselidiki, inilah antara punca utama kepada percakaran mazhab yang berlaku di Malaysia sekarang. Setiap pelajar yang ke luar negara, akan membawa balik ideologi yang diperolehi dari tempat mereka belajar. Kemudian menyebarkan kepada masyarakat Malaysia. Walaupun ianya bertentangan dengan Mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Jadi inilah antara PUNCA UTAMA perbalahan antara penyokong dan penentang tercetus di masjid-masjid kita.

Perhatikan, masalah ini tidak timbul pada mereka yang benar-benar belajar dari kulit ke kulit. Perhatikan pada pendapat mereka yang sangat mu'tadil (adil). Misalannya Dr.Zulkifli Mohd Albakri. Boleh dikatakan beliau ikuti kesemua aliran di dunia. Beliau belajar di KUSZA, aliran Pondok, Madinah, Syria dan belajar juga dengan Ulama Al-Azhar. Beliau dilihat antara Ilmuan harapan yang boleh merapatkan jurang-jurang di Malaysia. Kesemua aliran menghormatinya. Kenapa beliau seorang? Sebab beliau bukan sahaja faham dan ikuti semua aliran. Bahkan beliau juga menguasai semua aliran tersebut. Belajar dari 'kulit ke kulit' istilahnya.

Justeru. Jangan sia-siakan kelebihan yang kita ada. Khususnya pengalaman kita Rakyat Malaysia yang telah lama hidup di dalam kepelbagaian. Mudah-mudahan Malaysia kekal menjadi negara yang Aman dan dirahmati Allah.

Jumaat, 16 Januari 2015

Belajar Menyebut AKU TIDAK TAHU



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Belajar Menyebut AKU TIDAK TAHU;

1. Antara perkara paling bimbang nak buat, ialah dengar ceramah Agama di Televisyen. Lebih khusus, yang menyentuh hukum-hakam mengikut lunas Mazhab Syafie. Mazhab yang kita amalkan di Malaysia. Perasaan ini tidak akan wujud jika yang menyampaikannya Habib Ali Zainal Abidin Alhamid, Dr.Zulkifli Mohd Albakri atau dari Mufti-mufti.

2. Sangat gementar nak dengar. Bimbang dari mana datangnya sumber hukum tersebut.

3. Adakah ianya diambil dari kalam Ulama' atau dari Kitab mu'tabar. Atau semata-mata berdasar Ijtihad sendiri. Apatah lagi oleh yang belum cukup syarat menjadi Mujtahid.

4. Antara pesan yang selalu diungkapkan Habib Ahmad Almaqdi;

"Belajarlah menyebut AKU TIDAK TAHU. Sepertimana kamu belajar menyebut AKU TAHU. "

5. Rasa tidak tahu adalah anugerah. Membuatkan kita lebih gigih untuk belajar dan terus belajar. Banyak kali kita lihat dengan mata kita sendiri. Seorang Ulama yang diiktiraf Fuqaha' (Pakar Ilmu Fiqh) menyatakan AKU TIDAK TAHU bila disoal beberapa persoalan. Walhal beliau seorang Pakar yang dihormati. Belajarlah dari sikap Ulama' ini.

6. Matan 'Safinatun Naja' yang disusun oleh Syeikh Salim bin Sumair Alhadrami adalah antara matan asas bagi membantu kita mempelajari Pendapat Muktamad bagi Fiqh Mazhab Syafie. Kebiasaannya Ustaz Uwais Alqarni Abdul Wahab (Nama kami hampir sama, tapi individu berbeza) akan menggunakan Kitab Nailu Raja' yang disusun oleh Syeikh Ahmad bin Omar AsSyatiri sebagai syarahnya.

7. Kitab Matan Safinatun Naja ada dijual di Kedai Buku Ayah Ngah. Berdekatan SK Batu Tiga, Kuantan.

8. Mari kita rebut peluang ini. Antara tempat yang terbaik melahirkan individu yang mahir dalam Ilmu Fiqh bermazhab Syafie adalah di Hadramaut Yaman. Walaupun mungkin bukan rezeki kita mendalaminya di sana. Dapat menimba dan bertalaqqi ilmu dari ahlinya sahaja sudah amat-amat bertuah.

9. Seronok bila tahu apa yang kita lakukan di dalam ibadah. Khususnya ketika solat. Memang telah diberitahu di dalam kitab. Nak ambil hukum terus dari Al-quran dan Hadith? Sabarlah dahulu.... Orang tua-tua selalu pesan;

"Pelan-pelan(Perlahan-perlahan) "

Selasa, 13 Januari 2015

Pengasas Mazhab Syafie


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


     Nama beliau Muhammad bin Idris As-Syafie, bertemu nasabnya dengan Saidina Nabi.saw pada datuknya yang bernama Abdul Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah pada tahun 150 hijrah, kemudian di dipindahkan ke Makkah, dan menuntut Ilmu dengan guru beliau Imam Khalid bin Muslim (Mufti Mekah), Juga Fudail bin Iyad, Sufyan bin Uyainah dan guru2 yang lain.


   Kemudian Imam Syafie pergi ke Madinah ketika umur beliau 12 tahun. Beliau juga menghafaz keseluruhan isi Kitab ((Muwatto')) dalam masa sembilan hari, sebagai persediaan bagi dirinya untuk berguru dengan Imam Malik. Kemudian beliau berguru dengan Imam Malik sehingga beliau menjadi anak murid Imam Malik yang paling 'alim. Imam Syafie juga berguru dengan Ahli (ulama) Madinah dan Makkah. Beliau dibenarkan untuk berfatwa ketika umurnya 15tahun; Dalam masa yang sama Imam Syafie juga sangat berpengetahuan dalam Syair2 Arab dan Ilmu Bahasa Arab, sehingga Al-Asma'i (Periwayat Syair2 Arab) mengambil faedah dari Imam Syafie serta belajar dari Imam Syafie berkenaan Syair2 Kabilah Bani Huzail.


   Kemudian Imam Syafie pergi ke Yaman dan berguru dengan Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf al-Qadhi, Amru bin Abi Salamah, Yahya bin Hassan. Kemudian beliau pergi pula ke Iraq dan berguru dengan Waki' bin Al-Jarrah, Muhammad bin Al-Hasan As-Syaibani (Faqih Al-Iraq), Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid Ar-Ramli, Abdul Wahab bin Abdil Majid, Ismail bin Ulayyah. Kemudian Imam Syafie mengarang Kitabnya ((Al-Hujjah)), terhimpun di dalam kitab ini Mazhab Imam Syafie yang terdahulu (Mazhab Qodim). Beberapa Ketua Ulama' (Imam) telah mempelajari dari beliau akan mazhabnya itu, antaranya Imam Ahmad dan Imam Abi Tsaur. Kemudian Imam Syafie pergi pula ke Mesir dan telah menukar Ijtihadnya pada banyak masail (perkara), maka setelah beliau merujuk kepada Mazhabnya yang terdahulu (Mazhab Qodim), kemudian Imam Syafie mengasaskan Mazhabnya yang baru (Mazhab Jadid), dan menyusun kitabnya Al-Umm. Juga mengarang ((As-Risalah)) dalam Usul fiqh, dengan Ar-Risalah ini terasaslah Ilmu Usul fiqh dan Pembuka kepada kesukaran memahami Fiqh.






Diterjemahkan dari:
Kitab At-Taqrirat As-Sadidah
((Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad  Al-Kaff)),

Baca Juga: Kenapa Mazhab Syafie banyak pendapat

Kenapa Mazhab Syafie banyak pendapat?



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Diringkaskan sejarah Mazhab Syafie kepada lima peringkat;

Peringkat Pertama: التأسيس  (Asas),

Peringkat ini berakhir dengan wafatnya Imam AsSyafie.ra. Beliau telah meninggalkan kepada kita Kitab Al-Umm dan selainnya.

Peringkat Kedua: النقل  (Mengambil ilmu dari Imam As-Syafie),

Peringkat ini digerakkan oleh anak-anak murid Imam AsSyafie dan Ashabnya dengan menyebarkan Mazhab ini. Diantara Kitab mereka yang terkenal adalah ((Mukhtasor Al-Imam Al-Muzani)).

Peringkat Ketiga:  تدوين فروع المذهب والتوسع في مسائله  (Menghimpunkan perkara furu' di dalam mazhab dan meluaskan lagi pada perbincangan masa'il),

Misalannya, terdapat dua Thoriq atau kumpulan terkenal;

A. Thoriq Al-Iroqiyyin:

Dipelopori oleh: الشيخ أبو حامد الإسفرائيني 

Diikuti oleh: 
1. الماوردي 
2. أبو الطيّب الطَبري
3. البندنيجي
4. المَحَاملي 
5. سُليم الرازي
6. Dan lain-lain.


B. Thoriq Al-Khurosaniyyin:

Dipelopori oleh: القفّال الصغير أبو بكر المروزي

Diikuti oleh:
1. أبو محمد الجُوَيني
2. الفوراني
3. القاضي حسين
4. أبو علي السّنجي
5. المسعودي
6.Dan lain-lain.


Peringkat keempat: التحرير (mengedit atau menyunting)

Ianya dipelopori oleh dua individu. Mereka dikenali sebagai Syeikhoil Mazhab. Iaitu ArRafie dan AnNawawi. Melalui kitab mereka. Antara kitab yang penting;

A. Imam ArRafie;

1. المحرّر
2-3. الشرح الكبير & الشرح الصغير  (Kedua-duanya mensyarahkan Kitab Alwajiz karya Imam AlGhazali)

B. Imam AnNawawi;

1. المنهاج
2. المجموع شرح مهذّب الشيرازي
3. روضة الطالبين

Mereka menyunting masa'il dan dalil-dalilnya. Juga merojihkan diantara riwayat-riwayat dan qaul-qaul di dalam Mazhab Syafie.


Peringkat Kelima: الاستقرار  (Pengukuhan)

Peringkat ini dipelopori dengan kegigihan dua Ulama' Feqah yang hebat. Iaitu Ibn Hajar AlHaithami dengan kitabnya ((Tuhfatul Muhtaj bisyarhil Minhaj)). Dan ArRamli dengan kitabnya ((Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj )). Dengan mengukuhkan apa yang belum disebut oleh Syeikhoni (ArRafie dan AnNawawi) dari sudut qaul-qaul dan riwayat-riwayat. Mereka juga mengecualikan apa yang berbaki daripada furu' mazhab dan mendatangkan masa'il di pelbagai bab.

Adapun Mazhab ini telah sempurna ditahqiq oleh AnNawawi dan ArRafie. Kemudian dikukuhkan lagi perbahasan-perbahasannya di tangan Ibn Hajar dan ArRamli. Maka Ulama' Mutaa'khirun membenarkan penulisan mereka-mereka ini digazetkan sebagai fatwa.

Maka apa yang disepakati oleh Syeikhoni (AnRafie dan AnNawawi) dikira Pendapat Muktamad. Jika terdapat khilaf maka didahulukan AnNawawi. Maka diharuskan berfatwa dengan semua qaul dari keduanya.

Dan apa yang disepakati oleh Ibn Hajar dan ArRamli daripada masa'il yang belum pernah dibahaskan sebelum mereka, maka ianya dikira Pendapat Muktamad. Dan jika terdapat khilaf maka Ahli Hijaz dan Hadramaut akan mendahulukan Ibn Hajar. Manakala Ahlus Syam dan Mesir akan mendahulukan ArRamli.

Adapun baki dari pengarang kitab yang lain. Maka harus beramal dengannya dan berfatwa. Kecuali apa yang disepakati terdapat padanya kesalahan, lupa atau dhoif. Dan kita tidak akan tahu perkara itu kecuali sesiapa yang mengambil mazhab ini daripada Syeikh (Ulama' Mazhab).


Sumber: AtTaqrirat AsSadidah fil Masailil Mufidah


Pakwan:

Maka dapatlah kita simpulkan. Mazhab Syafie itu sendiri bukanlah seratus peratus diambil dari Kitab Al-Umm (Qaulul Jadid) karya Imam Muhammad bin Idris AsSyafie. Bahkan istilah Syafie dari perkataan 'Mazhab Syafie' itu sendiri hanyalah sekadar nasab kepada nama Imam AsSyafie kerana beliaulah yang mengasaskan manhaj untuk Mazhab ini. Apa manhaj tersebut? Boleh rujuk di dalam Ilmu Usul Fiqh.

Terlalu besar pengorbanan Imam AsSyafie dan ulama-ulama ini kepada kita. Mudah-mudahan Allah temppatkan mereka di tempat yang paling tinggi dan memelihara keturunan mereka. Begitu juga kita... Allahumma Ameen...

Maaf: Memang payah nak terjemah dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Rasanya lebih bagus dan molek dibaca terus di kitab Arab. Untuk mencari makna istilah yang sesuai memang payah.

Salam Keceriaan



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Alhamdulillah. Adakala kita diuji. Macam-macam yang berlaku. Ada sahaja perkara yang dibuat tidak menjadi. Namun adakala dipermudahkan oleh Allah. Bila buat semuanya menjadi. Lancar tutur kata, timing tepat, keputusan mengena dan banyak dapat berita gembira. Namun ujian juga suatu nikmat, kadangkala banyak ilmu dan pengalaman kita datangnya dari saat diuji. Allah itu Maha Hebat.

Hari ini Allah berikan nikmat yang sangat besar kepadaku;

1. Aku dapat peluang lepak di kedai Padil, Epik dan Korie. Walaupun yang ada hanyalah Epik dan Padil. Namun aku rasa sangat seronok berbual dengan Epik tadi. Tak sedar bermula dari lepas Asar sampailah hampir pukul 6:30 petang. Berbual dengan member-member Alattas memang best.

2. Aku dapat faham cara untuk menjual di Mudah.com. Melalui tutorial yang seorang blogger post. Insha Allah aku akan cuba pasarkan kain pelikat dan tudung solat Mie dan Abi di internet pula.

3. Abi memberikan berita gembira buatku. Abi memberikan lampu hijau buatku untuk sambung belajar di Hadramaut Yaman. Walaupun di kemudian hari macam-macam boleh berlaku. Namun, sekurang-kurangnya berita ini sudah aku anggap sebagai satu hadiah dari Allah. Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mudah-mudahan Allah memberikan rasa senang hati, rasa rela dan rasa bersyukur ke dalam hati Abi, Mie, Adik dan semua orang untuk merelakan aku menyambung belajar. Mudah-mudahan kewangan kami bertambah kukuh dan bertambah rapat dengan Allah.... Allahumma Ameen.

Isnin, 12 Januari 2015

Cara Memupuk 'Rasa Tanggungjawab'



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



Ingin selamatkan remaja?
...Berikan tugas Dakwah ;

1. Alhamdulillah. Disebalik insiden di Konsert KpOP yang menjadi viral sehari dua ini. Maka hikmahnya, malam ini ada masjid yang menjadikannya topik khusus untuk di Diskusikan. Khususnya perihal remaja. Begitu juga status dan artikel dari tokoh terkenal, aktif tertumpu ke arah itu.

"Sekali sekala terhantuk, baru ramai yang terjaga."

2. Jika dahulu semasa di bangku sekolah. Kita masih terbayang, antara individu yang sangat te-refleks dengan isu-isu sebegini pastinya teman-teman kita dari Badan Dakwah Sekolah.

3. Kita boleh bayangkan bagaimana teman-teman ini akan bermesyuarat, merancang gerak dakwah dan kemudian bertindak. 'Rasa Tanggungjawab' tengah memandu mereka.

4. Seterusnya, mungkin Kempen besar-besaran akan dianjur, penceramah diundang, dibincangkan di dalam usrah dan dimuatkan di dalam risalah.

5. Mereka kadangkala bukanlah pelajar berjawatan atau ada kepentingan. Namun seperti juga ahli Jemaah Tabligh yang gigih berdakwah. 'Rasa Tanggungjawab' telah mendorong mereka menjadi proaktif.

6. Kata orang tua-tua;

"Kalau nampak anak kebudak-budakan dan mahu dia bertanggungjawab.. Berikan dia kawen." 

7. Kita cuba tukar;

"Jika mahu selamatkan remaja... Berikan dia tugas dakwah"

Jumaat, 9 Januari 2015

Lenggok sebuah kata-kata

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



Bila satu statement atau kata-kata keluar;

1. Yang dikata adalah A maksud juga A,
2. Yang dikata adalah A namun dimaksudkan adalah B,
3. Sengaja dikatakan A supaya orang faham B. Kerana targetnya adalah C,
4. Sengaja dikatakan A agar orang berteori, berfikir dan bertungkus lumus. Konklusi B, C, D, E sampai Z diusaha bina. Sebenarnya tiada apapun. Sengaja nak bagi orang sibuk dan dia berehat.


Cantiknya Seni Kehidupan..

Rabu, 7 Januari 2015

Manfaatkan waktu setelah SPM dan STAM

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله
 
 
Cuba-cuba berkenalan dengan dunia Baru;

Harapannya topik ini tidak terlalu lewat untuk di up-kan. Apatah dengan result SPM dan STAM yang bakal keluar sebulan dua lagi;

1. Kehidupan yang hanya dibarisi tidur, makan, merayau dan menonton televisyen sebenarnya amat-amat membosankan. Satu dua minggu mungkin bolehlah. Namun lama-lama naik tepu juga. Jasad perlu bergerak. "Sesuatu" perlu dibuat. Sayang sekali bila banyak masa yang berlalu, namun tiada Pengalaman dan Ilmu baru yang dapat kita belajar. Masa muda dan kurang tanggungjawab inilah peluang kita untuk 'terjah mana boleh'. trial n error orang kata.

2. Bagi keluaran sekolah menengah tahfiz. Saya ingin berkongsi suatu kisah. Kisah ini diceritakan sendiri oleh teman saya (lebih kurang);

"Bermula dari tingkatan satu teman ini menghafaz Alquran, Alhamdulillah rezekinya dapat khatam hafazan ketika tingkatan empat. Namun kemudian, kerana sibuk dan fokus kepada SPM, maka teman ini tidak dapat mengulang Alquran dengan sempurna. Sebaik selesai SPM. Dalam kepalanya hanya ada dalam 4 juzuk dari 30 juzuk Alquran. Perasaan kecewa menyelubungi teman ini.

Kemudian teman ini nekad. Dia minta izin dari ustaz untuk terus tinggal di madrasah itu sebelum menyambung belajar. Dalam tempoh itu beliau pulun mengulang kembali Alquran yang telah beliau hafaz. Beliau fokus dan abaikan benda-benda lain. Alhamdulillah, cukup enam bulan. Berkat kesungguhan, Allah beri rezeki buatnya untuk kembali ingat 30 juzuk Alquran."

Jika tidak dapat menetap di maahad. Bagi yang berdekatan dengan masjid daerah pun. Insya Allah boleh manfaatkan khidmat Imam Hafiz untuk mengulang. Jika berhampiran dengan rumah ustaz-ustaz apatah lagi. Istilah malu perlu dibuang. Jika mahukan sesuatu, kita perlu bersungguh.

3. Bagi lulusan STAM. Sebenarnya kita kena mula sedar dan faham. Sampai bila kita mahu belajar kerana sijil? Berapa banyak ilmu yang telah kita pulun selama ini, hanya berakhir di atas kertas peperiksaan?

"Sebaik habis peperiksaan, kita akan melonjak gembira. Kerana rasa merdeka dari belitan. Sampai kita patahkan pen dan pembaris kita kerana terlalu gembira. Kita sudah malas ke kelas, kerana rasakan tempoh belajar telah habis dengan menjawab kertas peperiksaan.

Jadi untuk apa kita belajar? Jangan salahkan sistem, kerana ia tidak bersalah. Cara fikir minda kita sepatutnya yang diubah. Sijil tetap penting, namun satu silap kita. Kita hanya fokuskan matlamat kita hanya 'semata-mata' kerana sijil. Ilmu menjadi sampingan.
4. Bagi lulusan STAM. Cubalah berkenalan dengan institusi pondok. Bagaimana helaian kitab dikaji dari kulit ke kulit. Tanpa ada muqorror atau silibus. Kita belajar bagi faham.

Kita dalami Mazhab Syafie ini dengan sungguh-sungguh. Kita pastikan setiap tatacara yang kita lakukan semasa beribadah, memang telah diberitahu ulama dan ada tercatat di dalam kitab. Kita dalami Ilmu Tauhid sungguh-sungguh. Bayangkan betapa seronoknya dapat menentukan baris ketika membaca kitab arab. Berdasar kaedah yang kita belajar dari ilmu nahu dan sorof. Ya Allah, betapa manisnya dunia Ilmu turath yang bakal kita nikmati di Institusi Pondok.

Begitu juga Ilmu Akhlak atau Tasawwuf. Ya Allah, rupanya ada lagi tempat yang boleh mendidik hati kita untuk hampir dengan Allah. Bukan sahaja jasad bahkan hati juga dididik untuk mentaati Allah.

Sampai bila kita ingin terperangkap di dalam dunia tanda soal? Walhal perkara itu telah termaktub di dalam kitab. Hanya tinggal kita untuk datang bertalaqqi dan menadah kitab.

5. Jika mampu tinggal menetap itulah yang terbaik. Seperti di Pondok Pasir Tumbuh. Namun jika sukar, carilah institusi pondok berhampiran kediaman untuk mudah berulang alik. Usaha cari maklumat sekeliling. Bagi sekitar Kuantan, ada satu cadangan;

Nama: Madrasah Darussalam (Pondok Seri Damai Jaya Gading),
Tenaga Pengajar: Ustaz Wan Mohd Zukir (Tok Ayah Wan),

Waktu Pengajian untuk Orang luar:
1. Selepas Maghrib (Setiap malam kecuali Khamis malam jumaat),
2. Pukul 10pg (Setiap hari kecuali Hari Jumaat dan Sabtu),
 
 
 
 

Isnin, 5 Januari 2015

Betulkah Sistem Mazhab Nafikan peranan Alquran?



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Analogi Matematik, Sains, Add Math dan Fizik;

1. Semasa kita bersekolah dahulu. Semasa di peringkat pra belajar mengira. Kita akan diajar dengan mata pelajaran Matematik terlebih dahulu. Kemudian semakin meningkat tahun. Silibus kita mula menyentuh subjek Add Math dan Fizik.

2. Kita percaya. Silibus ini dirangka bagi memudahkan pelajar mendaki tangga Ilmu mengira. Cuba bayangkan jika pengetahuan asas dalam Matematik dan Sains menengah rendah juga pelajar tidak kuasai. Bagaimana pelajar mampu selesaikan masalah-masalah rumit yang terdapat di dalam Add Math dan Fizik di menengah atas.

3. Jadi, dakian tangga perlu dibina. Step by step. Agar akal pelajar dapat tangkap apa yang dipelajari sekarang dan boleh gunakan untuk faham pelajaran akan datang. Begitulah, semakin hari maka pelajar itu akan semakin meningkat dakiannya.

4. Begitu jugalah dengan mempelajari Ilmu Agama. Kita fokuskan kepada Feqah.

5. Bila dilihat pada hirarki seorang muslim. Di dalam Ilmu Usul Fiqh telah dibincangkan dengan jelas masalah ini. Di dalam matan Alwaraqat karangan Imamul Haramain Al-Juwaini juga ada. Beza antara seorang Muqallid dan Mujtahid.

6. Bagaimana mungkin seorang yang baru masuk Islam boleh menjatuhkan hukum. Kerana untuk punyai kebolehan tersebut, ia perlu mahir dan menguasai beberapa perkara. Kerana itu, ulama telah membina tangga-tangganya. Step-step yang perlu dilalui.

7. Kerana itu. Antara perkara asas yang akan diterangkan kepada seorang pelajar yang mengikuti Majlis Pengajian Agama baik yang mengikut method Al-Azhar atau Hadramaut Yaman. Tidak kira di mana mereka berada (Untuk institusi pondok dan yang lain tidak tahu bagaimana). Adalah step-step tersebut. Apa fokus pembelajaran dan autoriti dimiliki di peringkat Mubtadieen, Mutawassiteen, Muntahi. Sebelum seterusnya naik ke peringkat Mujtahid atau lebih tinggi Mujtahid Mutlaq.

8. Kerana itu, jika ada yang mengatakan sistem Mazhab seolah-olah menafikan peranan Al-Quran dan Hadith. Atau ianya menghalang akal untuk berfikir, maka perlu berfikir kembali. Kerana bukan sahaja mazhab itu berpandu Alquran dan Hadith, bahkan sistem mazhab jugalah yang memelihara Agama Islam dengan memberikan autoriti fatwa dan Ijtihad hanya kepada mereka yang pakar dan layak.

9. Bukan semua yang sudah menguasai tambah, tolak, bahagi dan campur mampu menyelesaikan masalah Kuadratik di dalam Add Math. Namun bukanlah bermaksud tidak boleh. Cuma buat waktu sekarang, bukan masanya lagi.

Wallahua'lam

Sekolah Ilmu dan Akhlak



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Sekolah Ilmu dan Akhlak;

Seorang teman pernah menjadi guru. Di sebuah Madrasah Swasta sebelah barat semenanjung Malaysia.
Apa yang menarik. Di madrasah ini gurunya tidak perlu gunakan rotan. Apabila ada pelajar yang nakal atau lakukan kesalahan, guru hanya perlu ingatkan pelajar ini supaya ingat Allah. Maka automatik pelajar ini akan segera tersedar dan berhenti.

Budaya yang terdapat di sekolah ini hebat sekali,

Namun kita yakin. Budaya ini tidak terwujud begitu sahaja tanpa kaedah mendidik yang berkesan insha Allah.

Kami teringat kata-kata Habib Ahmad bin Abd Rahman Almaqdi.ha ketika mengajuk perilaku guru beliau Habib Omar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz.ha. (lebih kurang);

" Adakah kamu nak aku gunakan ini (sambil tunjuk kepada rotan panjang) untuk mendidik kamu? Jika kamu tak hafaz Matan Zubad aku akan rotan kamu..

Tidak.. Tidak perlu. Kamu orang Malaysia, Indonesia jenis manusia lembut. Cukup aku gunakan cara lembut.."
Untuk wujudkan suasana begini. Mari kita belajar dari sistem yang diguna pakai oleh Ulama di Hadramaut Yaman. Sebuah tempat yang sangat terkenal di dunia ilmuan dengan kombinasi antara Ilmu, akhlak dan dakwahnya.

Kaedahnya mudah. Antaranya, setiap ilmu yang diajar baik Ilmu berupa Maqosid atau Ilmu Alat. Maka teguran, ingatan dan juga cerita-cerita akhlak pasti diselitkan bersama. Tanpa sedar, proses mendidik akal fikiran dan hati nurani sebenarnya sedang dilentur beriringan.