Selasa, 27 Disember 2016

Pantasnya masa berlalu


بسم الله الرحمن الرحيم


الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



1. Semalam Mie beritahu Majlis Pertunangan Adik aku 28hb Januari ini. Majlis Akad Nikah mungkin 8hb Julai nanti. Jadi aku diminta menjadi jurucakap. Rombongan mungkin kecil sahaja. Hanya aku empat beranak dan Bonda Yah.

2. Teringat masa kecil dahulu. (Entahlah. Aku rasa masih kecil lagi. Mungkin sebab masa sangat pantas berlalu. Walaupun umurku dah nak cecah 30 tahun). Mungkin aku lebih selesa guna kalimah MASA DULU. (Itupun aku rasa janggal). Kalimah BARU INI? hah. baru selesa. (Tapi macam payah pula orang lain nak faham).

3. Terkenang. Detik Abi dan Mie melayan kerenahku. Semasa di Rumah Banjir dan Rumah FELCRA. Saat aku dan adik bergaduh. Walaupun geram. Tapi setiap kali tengok adik aku mula meraung menangis, rasa kesian mula timbul.

4. Detik banjir besar. Adikku didukung Abi. Detik dapat basikal yang ada roda tepi. Lalu kami pusing-pusing di dapur. Juga detik bawa basikal tray keluar rumah. Detik menghafaz sifir matematik. Abi acah-acah nak pukulku dengan ranting. Detik bermain di sekitar rumah banjir. Detik main pasir, ketika tangga batu rumah banjir baru nak buat. Main pondok-pondok. Abi belikan cekedis yang dalamnya ada hadiah. Disebabkan beli punya beli tidak dapat hadiah yang aku nak. Abi beli satu plastik besar untuk aku. Detik main pedang dan topeng muka yang dibuat dari surat khabar. Detik nak tidur malam, suasana diterangi lampu minyak tanah, kami tidur sekali dalam satu bilik. Abi dodoikan aku (rentaknya aku masih ingat), sebab aku merenget kepanasan.

5. Juga detik main aksesori abang. Detik tengok abang balik dari asrama? Detik Abang Munir mengamuk. Aku tengok dari atas. Punyalah cemasnya detik itu. Akhirnya datang ke rumah aku mencari Abang. Juga detik Abang hantarku ke sekolah, lalu press motor kuat?

6. Tidak ku lupa detik memalukan ketika aku di sekolah rendah. Biarlah rahsia. Cuma aku ingat, Ina tolong aku ketika itu. Juga detik Abang Azrul tidak sengaja terlangarku di sekolah.

7. Aku masih teringat detik sebelum, semasa dan selepas detik kematian Almarhum Abang. Saat Abi masak ayam kicap? Sebab request dari abang. Saat Yong dan Ayah Sid datang ke rumah beritahu Abang eksiden. Semua aku telah rakamkan di blog dan facebook sebelum ini.

8. Teringat masa di sekolah rendah. Saat Awi nak pindah kemudian diganti Nizam yang pandai melukis. Kemudian main bekas pensel kereta dengan Akmal. Juga detik kematian Almarhum Rahim. Detik bawa nasi goreng Jaafar Onn Abi ke sekolah. Saat sangat-sangat aktif bersukan. Semua sekolah dalam kelompok Paloh Hinai aku pergi. Dengan pelbagai sukan dan aktiviti kokurikulum aku terlibat. Sangat hijau dalam ingatanku. Saat berlatih di padang. Main dengan cikgu dan kawan-kawan di waktu petang dan kelas jasmani pagi. Saat tengok cerita cina jam 6 petang di TV3.

9. Kenangan di Sekolah Fardhu Ain juga banyak. Suasana seawal sampai, ketika rehat, gotong royong dan balik. Juga ketika ada majlis musabaqoh. Detik jaga kelas, praktikal solat, main kejar-kejar, berkhemah di pokok. Saat tangan aku berdarah sebab terhiris pisau . Saat main basikal. Saat kena marah dengan Mie sebab ter-kurang adab.

10. Aku juga teringat antara saat akhir aku di sek. keb. Cikgu Hamiza tanya, tak sedihkah? Sebab ada satu lagu itu ditujukan buat kami. Kemudian baru aku tersedar dan hayati lirik lagu itu.

11. Ya Allah. Kenangan-kenangan di sekolah rendah terlalu segar dalam ingatanku. Sebab itu aku rasa, semua ini sangat baru berlaku. Seolah0olah semalam. Sangat-sangat hijau dalam ingatan.

12. Sedar tak sedar. Umurku kini dah nak cecah 30 tahun. Aku sanga rindu dengan Yong, Bonda Mon, Tok Chu dan kenangan yang lain. Mungkin sebab segarnya ingatanku ini, Terasa seperti mereka 'masih hidup'. Namun aku redo dan pasrah. Inilah takdir Allah buat makluknya. 

Dan inilah yang terbaik buat kami.