Ahad, 24 April 2016

Tak suka dengar Tazkirah dan Ceramah


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Dulu aku perasan. Semasa di Mesir. Ada sebahagian pelajar lama yang alim-alim. Bila ada rakan sebaya yang beri tazkirah. Sebaik selesai solat. Dia akan keluar. Mungkinlah asalnya nampak perilaku ini macam tak sopan. Tapi lama aku selami. Aku boleh faham.

2. Tazkirah adalah suatu cara menyampaikan ilmu. Apa ilmu, peringatan atau saranan dakwah yang kita ada, kita sampaikan.

3. Namun. Masalah bila kita tidak alim. Kita nak juga bercakap tentang sesuatu perkara yang tidak kita belajar. Apatah lagi menyentuh bab ilmu dan agama. Sudah pasti banyak yang tersilap dan tidak kena.

4. Lantas bagi seorang yang dah belajar. Alim. Malah siap ingat lagi maroji'nya dan nak cari bab itu di kitab mana dan muka surat mana. Adakah sesuai untuk dia mendengar kita berikan fakta salah? Penerangan yang melencong dan saranan yang tak betul? Berlawan dengan apa yang ulama' muktabar beritahu?

5. Jika salah. Mereka patut menegur kita. Namun jika suasana semasa menekan mereka supaya tidak menegur. Baik kerana malas berbahas, sibuk, malu, tidak berani, tiada kekuatan, fakta asal yang sudah ingat-ingat lupa. Maka bagi saya, lebih baik cabut awal. Sebelum tazkirah bermula.

6. Walaupun tidak alim. Namun saya memang tidak suka mendengar ceramah, tazkirah dan majlis ilmu. Kecuali yang menyampaikan itu seorang alim atau pelajar talaqqi.

7. Adapun tazkirah dari seorang yang berpengalaman. Seperti Muallaf, bekas paderi, orang tua, pakar satu-satu bidang. Saya suka mendengarnya. Kerana saya bukan nak dengar 'fatwanya' dalam hukum agama. Tapi pengalamannya itu yang penting. Juga jika dia seorang yang petah berceramah, pandai buat lawak atau punyai cara persembahan yang unik. Yang ini pula kerana saya nak ambil mood darinya.

8. Saya boleh mendengar sehingga berjam-jam ceramah dari seorang alim. Tapi duduk 15 minit depan seorang ustaz yang suka 'fatwa' ikut kepala sendiri. Memang tak tahan. Atau ustaz yang baca kitab, tapi dia sendiri tak pernah belajar secara mushafahah dengan guru.

9. Atau sekurang-kurangnya ustaz itu pernah bertalaqqi satu-satu bidang ilmu. Walau kitab lain pun. Namun talaqqi dari kulit ke kulit. Walau tak alim pun. Malah ada satu dua perkara yang ia mungkin tersilap. Kerana sekurang-kurangnya kita boleh nampak ada bekas asuhan orang alim pada tutur katanya. Ini sudah memadai untuk saya duduk mendengar.

10. Namun saya gagahkan juga diri. Lawan rasa memberontak untuk duduk juga mendengar takirah subuh. Kerana nak beri contoh buat jemaah. Sudahlah malam-malam saya cabut awal, kerana nak pergi kelas tok ayah. Jadi bila saya dapat join mereka ketika subuh. tidaklah mereka rasa tidak selesa dengan sikap saya.



Khamis, 21 April 2016

Berburu ke Padang Datar versi Penyelaras


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Banyak aku nak tulis hari ini. Sangat banyak. Dari isu dakwah, pondok, masyarakat dan understanding. Tapi setelah makan nasi arab tadi. Jadi lembap satu badan. Asalnya memang aku taknak makan nasi. Tapi nak buat macam mana. Dah hadir majlis ilmu orang. Kena raikan asatizah yang lain.

2. Masalahnya. Semua yang aku nak tulis itu adalah kritikan. Hasil dari ketidak setujuan terhadap hujah mereka yang di sekeliling aku. Bukan bermaksud aku sudah tidak open minded. Cuma lebih kepada saling memahami. Dengan kata lain, memandang dari sudut logik akal.

3. Aku bersyukur sebab berpeluang ikuti pelbagai aliran.

A) Semasa aku STAM dan awal Diploma. Aku suka beli Majalah I. Sampai banyak juga koleksi yang aku simpan. Dalamnya selalu keluarkan artikel dari tokoh-tokoh Wahhabi. Seperti Dr. MAZA. Dari situ, aku belajar cara fikir logik, mendalam dan bernas.

B) Semasa awal aku di Mesir. Aku selalu ikuti kelas Syeikh Yusri. Di sini aku belajar Hadith. Melalui toriq Ahlil Fiqhi. Bagaimana cara ulama-ulama mazhab berbeza tafsiran terhadap satu-satu hadith. Disinilah check-point mindaku mula terbuka. Terhadap khilaf.

C) Kemudian. Aku mula belajar dengan Habaib Yaman. Tak silap aku, aku mula dengan Habib Omar anak Habib Zain. Kitab Kifayatul Akhyar dan Alazkar jika tidak silap. Sebelum kemudian aku belajar dengan Syeikh Ali cucu Habib Zain, Syeikh Salim Khatib, Habib Hassan Alkaf dan akhirnya Habib Ahmad bin Abdur Rahman Almaqdi. Di sinilah aku bertemu cinta. Akhirnya aku berpeluang belajar dari kulit ke kulit Mazhab Syafie. Baru aku kenal tatacara sebenar pengamalan Mazhab Syafie. Kitab pertama yang khatam tak silap aku Safinatun Naja atau Risalah Jamiah begitulah. Sangat-sangat best. Kitab yang paling cepat aku capai bila timbul persoalan kini. Kitab Taqrirat Sadidah.

D) Toriq Mesir. Aku mula belajar dari Syeikh Syaltut. Mula-mula pakai redah je masuk di ruwaq Alazhar. Masa itu Syeikh buka kitab Minhaj Tolibin. Dengan tak faham arabnya. Tapi sebab minat belajar punya pasal. Aku redah juga. Kemudian baru aku ikut flow. Seingat aku, toriq Mesir ini banyak aku ambil dari Ustaz Hairul Nizam dan Ustaz Nazrul Nasir. Sempat juga belajar dengan Ustaz Hairul Nizam Kitab Matan Abi Suja'. Tapi tidaklah habis. Caranya memang agak berbeza dengan Toriq Habaib. Jika toriq Habaib sentiasa petik kitab rujukan ketika bahas nas kitab. Toriq Mesir pula akan baca sahaja nas kitab kemudian terus bahas hukum. Masalahnya, kita yang kena cari mana asal sumber maklumat itu. Sesuailah dengan cara orang Mesir kan.

E) Toriq Syazariah (Aku bagi nama). Subjek Nahu dan Saraf. Memang masa dunia sekolah dulu aku tidak minat. Tapi makin besar. Bila kita tahu kepentingannya. Kita mula nak belajar. Syukur sebab Allah temukan aku dengan Ustaz Syazri. Beliaulah yang bimbing kami dan kawan-kawan. Beliau gunakan Kitab Nahu Wadeh. Kami dipaksa hafaz tasrif. Alhamdulillah. Dari pakai hentam kromo je baca kitab. Ikut sedap mulut. Sekarang boleh-lah sikit-sikit. Kalau jalan kat kedai-kedai. Pantang jumpa sign board.Mesti nak i'rob. hehe. Ustaz Syazri jugalah yang banyak dedahkan kami dengan Dunia Talaqqi. Hanya Allah mampu membalas.

F) Semasa di Mesir juga. Aku sempat berguru dengan dua orang pelajar pondok. Satu Kitab Munyatul Musolli dan satu lagi Kitab Hasyiah Baijuri tak silap aku. Ustaz yang ngajar Munyatul Musolli itu memang buat aku kagum habis. Cara dia urai dan pelbagai ilmu alat yang dia sembur. Buatkan aku mula jatuh cinta dengan pondok. Sebelum ini aku tak tahu pun. Apa itu pondok.

G) Bila berpeluang balik Malaysia. Aku mula mencari tempat-tempat talaqqi. Di sinilah aku bertemu Toriq Syria. Dipelopoti Ustaz Amir Salam dan Ustaz Khairul Azmi. Best juga. Toriq ini lebih kepada dalil. Atau ittiba'. Kita akan belajar melalui hadith. Mirip-mirip toriq Syeikh Yusri. Cuma mungkin lebih detail bab perbahasan rowi. Kita akan belajar tentang hukum hakam. Melalui hadis. Kitab yan digunakan adalah Bilughul Maram.

H) Aku sempat belajar di Pondok Pasir Tumboh. Di sini aku mula belajar. Cara baca kitab dengan ilmu alat nahu. Nahu pondok. Aku mula terdedah dengan perbahasan akidah, sifat dua puluh, perbezaan ma'ani dan ma'nawiyah. Dibahas dari kerangka bahasa melayu atau setepatnya jawi lama. Mula terdedah dengan  kitab pondok. Memang best. Aku sempat belajar, walaupun tidak habis. Tapi sempatlah habiskan beberapa topik yang sangat-sangat penting dari Kitab Albahrul Wafi. Yang aku sangat-sangat bersyukur kepada Allah. Kerana topik-topik ini amatlah penting buat panduan hidupku. Aku juga sempat belajar Kitab Matla'ul Badrain. Kitab Matan Silyawiyah dalam ilmu nahu. Dan alhamdulillah. Sempat juga aku khatam Matan Ajurumiyah versi cara pondok. Kitab Masbuq muwaffiq, Matan bina' dan izzi sikit-sikit.

I) Dan sekarang. Aku ikuti pondok Tok Ayah. Belajar Kitab Sabilul Muhtadin, Bughyah Tullab dan Sairus Salikin. Banyak aku belajar bagaimana cara orang nusantara kita berfikir dari sini. Bila aku ikuti penulisan ulama-ulama nusantara. Kitab-kitab yang mereka susun. Wow, mereka memang hebat. Aku teringin masuk kembali kitab Akidatun Najin dalam akidah dan Hikam Jawi dalam Tasawwuf. Tapi masih belum diberikan kesempatan. Insha Allah tanam azam.

4. Walaupun setiap aliran ini banyak juga saling perli memerli. Tapi apa yang aku dapati. Isi atau maroji' mereka sama, cuma cara penyampaian mereka berbeza.

5. Bila bersama dengan masyarakat. Khususnya jemaah di qaryahku. Aku tidak boleh terlalu doktrin mereka untuk follow mana-mana aliran. Aku perlu jadi orang tengah. Penyelaras yang baik. Apa yang paling penting menjadi keutamaanku. Supaya mereka hampir dengan Allah, dapat beramal dan tidak berpecah.

6. Cara aku. Biasanya bila berhadapan dengan suatu ritual kebiasaan jemaah qaryah. Aku juz follow je apa yang mereka buat. Kemudian baru sikit-sikit terap apa yang aku belajar. Aku pernah berhadapan dengan situasi yag lebih gamat. Saling bertengkar dan menghina. Jadi walaupun mereka Sufi, Wahhabi, Pondok, toriq Syria, Mesir, Habaib. Semua itu bukanlah suatu yang besar bagiku. Aku pernah berhadapan dengan individu-individu yang lebih lebih sukar.

Cukuplah sekadar ini, Aku perlu masakkan lagi ilmu Fiqhku.

7. Jika Imam Syafie meninggal dalam usia sekitar 50 tahun lebih. Imam Nawawi sekitar 40 tahun lebih. Sudah sangat besar jariahnya. Aku juga perlu fikir ke arah itu. walaupun tidak sehebat mereka. Sekurang-kurangnya ada juga jariah buatku di Alam Barzakh dan Akhirat nanti.

8. Watak ulama mungkinlah tidak sesuai denganku. Tapi aku rasa lebih selesa dengan 'Penyelaras'. Ermm... Macam best..






Selasa, 19 April 2016

Hukum Kenduri Arwah 2


[SIRI KRITIKAN] Cikgu Geografi 'memperalat' kitab muktabar, 'memboneka' alim ulama??

Tahniah saya ucapkan kepada Cikgu Geografi Hairi Nonchi dalam usaha berhempas pulas menjawab tulisan saya.

♢ Sekadar peringatan kembali, tulisan saya ini dan sebelumnya tidaklah berhajat kepada wang RM30K itu. Ia suatu jumlah yang tidak bernilai di mata saya. Saya menjawab sekadar mengaplikasikan kaedah (Kamu Serang Kami Terang).

♢ Saya membuat tulisan yang sebelum ini kerana ingin menjawab kepada soalan sombong anda itu yang mana soalan itu wahabi indonesia pernah kemukakan dalam bentuk yang agak berbeza. Tujuan saya menulis siri jawapan yang sebelum ini kerana ingin menerangkan dalil dan hujjah majlis tahlilan bukanlah semata-mata mahu menjawab soalan kamu yang 'dijanjikan' ganjaran itu.

__________
Hujjah #1

Dalam hujjah pertama ini, cikgu geografi ini telah berusaha memanipulasikan kenyataan saya dengan menyatakan:

"kemaksuman Nabi shalallahu alaihi wasallam sebagai dalil untuk mencipta tatacara ibadah sendiri"
~ saya tidak fikir cikgu tersilap kerana pada point ke 2 cikgu mengulangi soalan yang sama berserta meminta dalil.

Saya kira, cikgu ini orangnya sangat gelojoh sekali dalam berhujjah, tujuan saya menjelaskan Nabi shalallahu alaihi wasallam maksum ialah kerana hendak menyatakan Majlis Tahlilan tidak perlu dilakukan kepada Nabi shalallahu alaihi wasallam kerana Nabi telah maksum dan tidak mempunyai sebarang dosa bahkan dijamin syurga. Melakukan majlis tahlilan kepada Nabi shalallahu alaihi wasallam tiada menghasilkan faedah yang dikehendaki atau matlamat sebenar.

Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan, siapakah yang mengadakan majlis tahlilan kepada Nabi shalallahu alaihi wasallam.

Jadi, pada bantahan kepada (Hujjah #1) ini persoalan saya:
"Cikgu gelojoh atau menyelewengkan hujjah saya"??
Baiklah cikgu, usaha penyelewengan pertama cikgu telah GAGAL!!
_____________
Hujjah #2

Memang betul ia hadith atau dalil bersifat umum. Ia sekadar ingin menerangkan menjamu makanan adalah dituntut dalam syarak.
Hakikatnya menjamu makanan adalah 'ibadah ghairu mahdhah' di mana ia tidak terikat dengan keadaan dan cara tertentu. Maka memadai dalil umum untuk menunjukkan anjuran syarak.

Namun, apabila dipersoalkan adakah jamuan makan yang dilakukan sebagai sedekah untuk dihadiah kepada si mati, maka jawapannya akan lebih panjang dan ulama akan mula berijtihad.

Meskipun sesuatu itu tidak ada zaman Nabi s.a.w, ia tidak boleh mudah-mudah dituduh bidaah kerana masih ada ruang ijtihad. Seperti sabda Nabi s.a.w kepada Muaz dan nasihat Saidina Umar r.a kepada Syuraih:

أَنِ اقْضِ بِكِتَابِ اللهِ فَإِنْ لَمْ تَجِدْهُ فَبِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ ص م فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَاقْضِ بِمَا قَضَى بِهِ الصَّالِحُوْنَ وَ إِلاَّ فَاجْتَهِدْ رَأْيَكَ.
“Hendaknya kamu memberi hukum dengan kitab Allah (al-Qur’an), jika kamu tidak mendapatkannya, maka dengan Sunnah Rasulullah, bila tidak kamu dapatkan maka hendaklah dengan apa-apa yang telah diputuskan oleh orang-orang shalih, dan bila tidak ada maka hendaknya berijtihad dengan pendapatmu”.

Pada siri (Hujjah #2) ini, cikgu sekali jadi berusaha melakukan penyelewengan dengan menyatakan:
"Memandangkan kenduri arwah adalah sebuah ritual ibadah yang bersifat khusus"
Cikgu dengan sangkaan dirinya sendiri cuba mengkategorikan Majlis Tahlilan kepada ibadah khusus sedangkan ibadah khusus ialah solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain.
Kami yang mengamalkan Majlis Tahlilan ini tidak pernah menganggap/merasakan ia sebagai ibadah khusus. Bahkan ia hanya ibadah ghairu mahdhah yang tidak terikat dan boleh dilakukan bila-bila masa, dimana jua, walau bagaimana cara pun selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Berbeza dengan ibadah khusus yang lain seperti solat, mempunyai cara perlaksanaan tertentu, bilangan tertentu, cara tertentu, dikerjakan pada waktu tertentu dan dilakukan dalam keadaan tertentu.
Baiklah cikgu, usaha penyelewengan kali kedua GAGAL lagi!! Usaha lagi ye.
___________
Hujjah #3

Baiklah, untuk menghangatkan lagi kritikan, Cikgu Geografi ini cuba mendatangkan hujjah-hujjah mengenai mengirim pahala kepada si mati.

‪#‎Pertamanya‬, saya telah tegaskan pada post saya yang pertama bahawa mengirim pahala bacaan Al-Quran adalah khilaf. Walau bagaimanapun, mengirim pahala sedekah dan doa adalah ijmak seperti kata-kata Imam Nawawi dalam kitab Fatawa:
يصله ثواب الدعاء وثواب الصدقة بالاجماع
"Pahala doa dan pahala sedekah sampai (kepada si mati) dengan IJMAK ULAMA"
(Rujuklah kitab Fatawa Imam Nawawi, ms.146)

》Imam Nawawi sendiri mengatakan ia sebagai Ijmak Ulama. Adakah kamu berani membantahnya? Saya yakin kamu tidak berani kerana kamu sendiri menuqil pendapat Imam Nawawi dari Al-Majmu' dan Syarah Sahih Muslim.

》Walau bagaimanapun, yang pasti dalam majlis tahlilan lebih banyak zikir, doa dan sedekah makanan kepada para hadirin berbanding bacaan Al-Quran.

》Soalan saya, adakah cikgu setuju untuk menyatakan doa dan sedekah makanan itu sampai kepada si mati seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi??

Baiklah, ‪#‎kedua‬ sebelum saya menerangkan mengenai surah An-Najm ayat 39, saya merasakan lebih elok saya dedahkan terus penyelewengan ketiga cikgu ini.

Cikgu telah mengemukakan beberapa perkataan Imam Nawawi mengenai pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati. Soalnya benarkah itu pendirian Imam Nawawi atau ia hanya sebagai naqalan yang menunjukkan berlaku khilaf di kalangan ulama?

Pendirian/Ijtihad Imam Nawawi telah dijelaskan pada kitabnya Syarah Sahih Muslim iaitu:
واستحب العلماء قراءة القران عند القبر لهذا الحديث لانه اذا كان يرجى التخفيف بتسبيح الجريد فتلاوة القران اولى والله اعلم
"Dan ulama menyatakan mustahab (sunat) bacaan Al-Quran DI SISI KUBUR berdasarkan hadis ini kerana jika diharapkan keringanan (azab kubur) dengan tasbih maka yang lebih utama/baik ialah bacaan Al-Quran"
(Rujuklah Syarah Sahih Muslim, j.3, ms.145, cet. Dar Taufiqiah Li Thurath)

Begitu juga fatwa Amirul Mukminin fil Hadis Imam Ibnu Hajar al-Asqalani melalui kitab Fath Al-Bari:
وكذلك فيما فيه بركة الذكر وتلاوة القران من باب الاولى
"Dan demikian (dalam usaha meringankan azab si mati) dengan berkat zikir dan bacaan Al-Quran yang menjadi lebih utama"
(Rujuklah Fath Al-Bari, j.1, ms.465, cet. Dar Mishr Li Tiba'ah)

Bahkan, cikgu telah kantoi tidak amanah dalam menaqalkan perkataan Imam Nawawi. Naqalan yang lebih luas dari Syarah Sahih Muslim adalah seperti berikut:
وفى هذالحديث أن الصدقة عن الميت تنفع الميت ويصله ثوابها وهو على كذالك باجماع العلماء وكذا أجمعوا على وصول الدعاء و قضاء الدين الواردة فى الجميع و يصح الحج عن الميت اذا كان حج الاسلام و كذا اذا وصى بحج التطوع على الاصح عندنا و اختلف العلماء فى الصوم اذا مات وعليه صوم فالراجح جوازه عنه للاحاديث الصحيحة فيه و المشهور فى مذهبنا أن قراءة القرأن لا يصله ثوابها و قال جماعة من أصحابنا يصله ثوابها
"Dan pada hadis ini, sesungguhnya bersedekah atas nama si mati ini memberi manfaat kepada si mati dan pahala sedekahnya sampai pada si mati, dan demikianlah sesuai dengan IJMAK para ulama, dan juga ulama bersepakat atas sampainya doa, membayar hutang yang telah warid."

"Dan sah juga menghajikan haji atas si mati apabila hajinya itu haji Islam dan begitu juga sah apabila si mati mewasiatkan agar dihajikan dengan haji sunnah, ini menurut pendapat yang muktamad menurut kami."

"Dan ulama berselisih pendapat di dalam masalah puasa, apabila seseorang mati dan dia masih mempunyai tanggungan puasa, maka pendapat yang rajih itu dibolehkan berpuasa atas nama si mati karena adanya hadis-hadis yang sahih"

"Dan yang masyhur pada mazhab kami bahawa bacaan Al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati, dan berkata sebilangan besar dari ashab kami bahwa pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati"

* Jelaslah bahawa Ijmak ulama mengatakan sampai pahala sedekah dan doa kepada si mati
* Imam Nawawi menyatakan berlaku khilaf pada masalah bacaan Al-Quran kerana qaul masyhur menyatakan tidak sampai dan qaul yang lain (qaul mukhtar) menyatakan sampai pahala.

Soalnya adakah kamu tahu pengertian qaul masyhur? Dan berapa pembahagian qaul dalam mazhab Syafie??

Mari kita lihat penerangan ulama Syafiyyah iaitu Imam Ibnu Hajar Al-Haitami berkata:
( فَالمَشْهُور ) هُوَ الذَّى أَعْبَرَ بِهِ لاِءشْعَارِهِ بِخَفَاءِ مُقَابِلِهِ وَيَقَعُ لِلْمُؤَلِّفِ تَنَاقُضٌ بَيْنَ كُتُبِهِ فِى التَّرْجِيْحِ يَنْشَأُ عَنْ تَغَيُّرِ اِجْتِهَادِهِ فَالْيَعْتَنَّ بِتَحْرِيْرِهِ ذَلِكِ مَنْ يُرِيْدُ تَحْقِيْقَ الأَشْيَأَ عَلَى وَجْهِهَا.
"Maka 'qaul masyhur', ialah pengarang mengibaratkan dengannya, bagi tujuan memberitahu bahawa ada kesamaran pada lawan (bagi sesuatu pendapat fatwa tersebut). Dan bagi pengarang (Nawawi) ,terjadi pentarjihan yang berlawanan diantara kitab-kitab beliau, yang disebabkan berubah ijtihad (samada Imam Syafie sendiri atau mujtahid mazhab atau mujtahid tarjih). Maka hendaklah memerhati dengan menghuraikan perkara tersebut atas mereka yang mahu ( yakni mampu) mentahqiqkan (memeriksa dalil-dalilnya dengan ) mengikut jalan –jalan (kaedah) nya”. (Rujuklah Tuhfah Al-Muhtaj, j.1, ms.84)

Pendapat/qaul masyhur bukanlah qaul muktamad dalam mazhab Syafie bahkan memahami qaul masyhur dengan pemahaman pendapat yang terkenal adalah suatu kejahilan semata-mata kerana:
وقد تتبع من جاء بعدهما و بينوا المعتمد من غيره بحسب ما ظهر لهم.
"Dan sesungguhnya telah memperhalusi dan membahas fatwa-fatwa kedua Mujtahid fil Mazhab(Imam Ar-Rafie dan Imam Nawawi) oleh para ulamak yang terkemudian , dan mereka telah menerangkan yang mana muktamad berbanding yang tidak muktamad, dengan penilaian mereka"
(Rujuklah Majmu' Kutub As-Sab a'h al Mufidah, ms.34)

Tak faham?

Lihat betul-betul ilmuan kamu sendiri menerangkan mengenai makna sebenar Qaul Masyhur:
https://youtu.be/AVgmyoJepaU

Sebagai pengukuhan, Al-Allamah Sulaiman Al-Jumal telah menaqalkan perkataan Imam Nawawi dalam kitabnya Hasyiah Al-Jumal:
قال النووى: فالاختيار أن يقول القارئ بعد فراغه: اللهمّ أوصلْ ثوابَ ما قرأته إلى فلانٍ؛ والله أعلم
“Dan yang terpilih (qaul mukhtar) ialah perlu berdoa setelah pembacaan al-Qur’an, Ya Allah sampaikan (kepada Fulan) pahala apa yang telah aku baca, wallahu a’lam”.

والمختار الوصول إذا سأل الله أيصال ثواب قراءته
“Dan pendapat yang terpilih (qaul mukhtar) adalah sampai (pahala kepada si mati), apabila memohon kepada Allah menyampaikan pahala bacaannya,

Nampaknya, untuk kali ketiga penyelewengan Cikgu Geografi‪#‎TERBONGKAR‬!!

☆ Untuk kali terakhir saya ingatkan, Imam Nawawi menyatakan bahawa pahala sedekah dan doa SAMPAI KEPADA SI MATI DENGAN IJMAK. Dan pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati berdasarkan qaul mukhtar.
_____________

Hujjah #4

Seterusnya, jika adalah mengenai perkataan Imam Ibnu Hajar Al-Haitami yang Cikgu Geografi cuba berdusta.

Cikgu ini dengan beraninya mengambil satu naqalan sahaja dan meninggalkan penegasan (ijtihad) daripada Imam Ibnu Hajar Al-Haitami.

Sekali lagi, cikgu menunjukkan sifat gelojohnya apabila salah tulis nama kitab Imam Ibnu Hajar Al-Haitami. Dia tulis nama الفتاوى الكبرى الفقهية sedangkan nama kitab yang sebenar الفتاوى الفقهية الكبرى.
Nama kitab dah silap bagaimana pula isinya? Cikgu telah mengambil naqalan yang menyatakan tidak boleh dibacakan Al-Quran kepada si mati dan pahalanya tidak sampai. 

* Sedangkan Imam Ibnu Hajar Al-Haitami sendiri berpandangan bahawa:
وكلام الشافعي هذا تأييد للمتأخرين في حملهم مشهور المذهب على ما إذا لم يكن بحضرة الميت أو لم يدع عقبه
"Dan perkataan Imam asy-Syafie ini (mengenai bacaan al-Qur’an disamping jenazah/kubur) membuktikan pernyataan ulama-ulama Mutaakhkhirin dalam membawa 'qaul masyhur' dengan pengertian (pahala bacaan Al-Quran tidak sampai) apabila tidak berada hadapan si mati atau apabila tidak mengiringinya dengan doa”. (Rujuk balik sambungan kitab Al-Fatawa Al-Fiqhiah Al-Kubra yang telah cikgu geografi itu cuba selewengkan)

Bahkan tidak terhenti disitu, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami sekali lagi mengukuhkan pandangannya dalamnya Tuhfatul Muhtaj ala Minhaj:
قال عنه المصنف في شرح مسلم: إنه مشهور المذهب على ما إذا قرأ لا بحضرة الميت ولم ينو القارئ ثواب قراءته له أو نواه ولم يدع له
“Sesungguhnya qaul masyhur adalah diatas pengertian apabila pembacaan tidak dihadapan si mati, pembacanya tidak meniatkan pahala bacaannya untuk si mati atau meniatkannya, atau dia telah meniatkan kepada si mati tetapi tidak mendoakannya untuknya”.

Akhirnya, penipuan keempat cikgu geografi ini ‪#‎GAGAL‬.
____________

Seterusnya ialah mengenai surah Najm ayat 39. Cikgu telah mengunakan tafsir Ibn Kathir satu je.
Adakah cikgu ‪#‎melupakan‬ kitab tafsir yang lain?

1) Tafsir Tobari, j.9, ms.27:
Ayat ini turun ketika Walid Ibn Mughirah masuk Islam diejek oleh orang musyrik, dan orang musyrik tadi berkata: "Kalau kami kembali kepada agama kami dan memberi wang kepada kami, kami akan menanggung seksaanmu di akhirat"
Kemudian Allah menurunkan ayat ini sebagai bantahan kepada mereka.

Pada berikutnya, Imam Tobari menyatakan:
عن ابن عباس: قوله تعالى (وان ليس للانسان الا ما سعى) فانزل الله بعد هذا: (والذين ءامنوا واتبعهم بإيمان الحقنابهم ذريتهم) فادخ الله الابناء بصلاح الجنة الاباء
"Dari Ibn Abbas dalam firman Allah taala: (Tidaklah bagi seseorang itu kecuali apa yang telah dikerjakan) KEMUDIAN ALLAH MENURUNKAN ayat surah Ath-Thur: 21, (Dan orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami pertemukan anak cucu mereka dengan mereka, maka Allah memasukkan anak kecil ke syurga keeana kebaikan orang tua"
* maka yang dapat kita fahami disini ayat tersebut telah DIMANSUKHKAN dan diganti dengan hukum lain.

2) Tafsir Qurtubi, j.9, ms.82
قوله تعالى: (وان ليس للانسان الا ما سعى) روى عن ابن عباس انها منسوخة بقوله تعالى: (والذين ءامنوا واتبعهم بإيمان الحقنابهم ذريتهم)
"Firman Allah taala: (Tidaklah bagi seseorang itu kecuali apa yang telah dikerjakan) dan diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a sesungguhnya ayat ini telah MANSUKH dengan Allah menurunkan ayat surah Ath-Thur: 21, (Dan orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami pertemukan anak cucu mereka dengan mereka"

3) Tafsir Idhwa'u Al-Bayan fi Idhahu Al-Quran bil Quran, j.7, ms.419:
Pada mentafsirkan surah An-Najm ayat 39, penulis telah berkata:
"وقد اجمع العلماء على انتفاع الميت بالصلاة عليه والدعاء له والحج عنه ونحوى ذلك مما ثبت الانتفاع بعمل الغير فيه"
"Dan telah Ijmak ulama dalam masalah si mati memperoleh manfaat dengan selawat ke atasnya, doa kepadanya, haji baginya dan seumpamanya daripada apa yang telah tetap bermanfaat amalan orang lain padanya"
* Ketiga-tiga tafsir ini menunjukkan ayat Al-Quran yang kamu guna itu telah mansukh (dibatalkan) dengan turunnya surah At-Thur ayat 21 dan pahala doa kepada si mati adalah sampai.
Bagaimana cikgu?? Ada jawapan kepada tafsiran ulama muktabar ini??

____________

Masalah seterusnya, cikgu telah mendatangkan perkataan Imam Malik untuk menunjukkan perkataan Imam Syafie itu tidak wujud.

* Ini adalah suatu ‪#‎keanehan‬ yang berlaku.

Pertama: Cikgu hanya menaqalkan suatu perkataan umum yang tidak menunjukkan perkataan itu berbicara mengenai mengirim bacaan pahala kepada si mati.

Kedua: Perkataan Imam Malik itu bukan daripada kitab Imam Malik sendiri. Bahkan daripada kitab idola Wahabi.

Ketiga: Imam Malik meninggal dunia 179H manakala Imam Syafie berkunjung ke Mesir pada tahun 198H di mana di sana terbina qaul jadidi (pendapat baharu)

* Maka, jelaslah bahawa perkataan Imam Malik tidak menatijahkan apa-apa terhadap kata-kata Imam Syafie.

Sebaliknya, mari kita lihat bagaimana ulama bermazhab Syafie memahami kepelbagaian ijtihad Imam Syafie. Perkataan Imam Syafie yang dinaqalkan dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir adalah qaul masyhur yang bersandarkan dalil yang lemah (seperti huraian dalam video di atas). Sebaliknya, timbul qaul mukhtar di kalangan ulama bermazhab Syafie kerana ada kata-kata Imam Syafie yang lain seperti:
قال الشافعى : وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت
"Asy-Syafie berkata : Aku menyukai sekiranya dibacakan Al-Quran di sisi kubur dan di doakan untuk si mati”

Juga disebutkan oleh Imam al-Mawardi di dalam al-Hawi al-Kabir, Imam Nawawi dalam Al-Majmu' al-Imam Ibnu ‘Allan dan yang lainnya dalam kitab mereka dengan lafaz berikut :
قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمهُ اللَّه: ويُسْتَحَبُّ أنْ يُقرَأَ عِنْدَهُ شيءٌ مِنَ القُرآنِ، وَإن خَتَمُوا القُرآن عِنْدهُ كانَ حَسناً
"Imam Asy-Syafie rhm berkata : Disunnahkan agar membaca sesuatu dari al-Quran disisi kubur, dan apabila mereka mengkhatamkan al-Quran disisi kubur maka itu adalah baik”

Untuk lebih memahami lagi, lihatlah penerangan Syeikhul Islam Imam Zakaria al-Anshari dalam dalam Fathul Wahab :
أما القراءة فقال النووي في شرح مسلم المشهور من مذهب الشافعي أنه لا يصل ثوابها إلى الميت وقال بعض أصحابنا يصل وذهب جماعات من العلماء إلى أنه يصل إليه ثواب جميع العبادات من صلاة وصوم وقراءة وغيرها وما قاله من مشهور المذهب محمول على ما إذا قرأ لا بحضرة الميت ولم ينو ثواب قراءته له أو نواه ولم يدع بل قال السبكي الذي دل عليه الخبر بالاستنباط أن بعض القرآن إذا قصد به نفع الميت نفعه وبين ذلك وقد ذكرته في شرح الروض
“Adapun pembacaan al-Quran, Imam Nawawi mengatakan didalam Syarh Muslim, yakni qaul masyhur dari mazhab Syafie bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati, sedangkan sebagian ashhab kami menyatakan ia sampai, dan sebahagian ulama berpendapat bahwa sampainya pahala seluruh ibadah kepada si mati seperti solat, puasa, pembacaan al-Quran dan yang lainnya."

"Dan apa yang dikatakan sebagai qaul masyhur dibawa atas pengertian apabila pembacaannya tidak di hadapan si mati, tidak meniatkan pahala bacaannya untuknya atau meniatkannya, dan tidak mendoakannya."

"Bahkan Imam as-Subkiy berkata ; Yang menunjukkan atas hal itu (sampainya pahala) adalah hadis berdasarkan istinbath bahwa sebagian al-Qur’an apabila diniatkan dengan bacaannya akan bermanfaat bagi si mati dan diantara yang demikian, bahawa ia telah dinyatakan di dalam syarah ar-Raudhah"

Sebab itulah, pada peringkat awal saya hanya menaqalkan perkataan Syeikhul Islam Imam Zakaria Al-Anshari:
والقول المذكور مبني على عمل الامام الشافعي فإنه كان يزور قبر الامام الليث بن سعد ثم يتلو الاذكار والقران الكريم : وقد تواتر أن الشافعي زار الليث بن سعد و أثنى وقرأ عنده ختمة و قال أرجو أن تدوم فكان الامر كذالك (الذخيرة الثمنية ص ٦٤
"Dan perkataan tersebut (ijtihad Imam Zakaria Al Anshori), berdasarkan perbuatan Imam Syafie, bahawasanya Imam Syafie menziarahi makam Imam Laith bin Sa’ad kemudian melantunkan zikir-zikir dan Al-Quran, dan sungguh telah mutawatir, bahawasanya Imam Syafie menziarahi kubur Imam Laiths bin Sa’ad, memujinya dan membaca (alquran) dengan sekali khatam, dan beliau berkata : Aku mengharapkan agar ia (amalan membaca Al-Quran seperti di sisi makan Imam Laith) akan berterusan, maka begitulah seperti apa yang dikatakan (didoakan) oleh Imam Syafie"
(Rujuklah kitab az-Zakhirah Ath-Thaminah, ms.64)

وفى مناسبة أخرى قال الامام الشافعي : ويستحب أن يقرأ عنده شيئ من القرأن ، وإن ختموا القرأن كله كان حسنا (دليل الفالحين ج ٦ ص ١٠٣)
"Pada tempat lain, Imam Syafie berkata : Disunnahkan agar membaca sesuatu dari al-Quran disisi kubur, dan apabila mereka mengkhatamkan al-Quran disisi kubur maka itu adalah baik"
(Rujuklah Dalilul Falihin, j.6, ms.103)

Kesimpulan pada bab ini,

Ada pelbagai perkataan Imam Syafie samada ia mujmal ataupun ia saling bercanggah. Maka untuk memahaminya kita perlu merujuk ulama bermazhab syafie bukannya buat-buat pandai.
__________
Selain itu, cikgu cuba menolak hujjah yang disandarkan kepada Thowus sedangkan para ulama yang alim hadis menerimanya:

i) Al-Hafiz Imam Suyuthi dalam Al-Hawi, j.2, ms.178:
“Sesungguhnya Imam Thowus berkata: Seorang yang mati akan beroleh ujian dari Allah dalam kuburnya selama 7 hari. Untuk itu, sebaiknya mereka (yang masih hidup) mengadakan jamuan makan (sedekah) untuknya selama hari-hari tersebut. Sahabat Ubaid ibn Umair berkata: ‘Seorang mukmin dan seorang munafiq sama-sama akan mengalami ujian dalam kubur. Bagi seorang mukmin akan beroleh ujian selama 7 hari, sedangkan seorang munafiq selama 40 hari di waktu pagi.”

Manakala, Imam Suyuthi menyambung lagi pada kitab yang sama pada ms.194:
“Sesungguhnya sunatnya bersedekah memberi makan selama 7 hari telah sampai kepadaku (iaitu Imam Suyuthi), ia berterusan hingga sekarang di Makkah dan Madinah. Secara zahirnya ia tidak ditinggalkan (daripada melakukannya) dari masa sahabat sehingga sekarang dan mereka melakukannya sebagai tradisi diambil dari ulama Salaf sejak generasi pertama (iaitu sahabat).”

ii) Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Al-Fatawa Al-Fiqhiah Al-Kubraa, j.2, ms.30-31 :
- Al-Haithami menyatakan bahawa dalam riwayat di atas mengandung pengertian bahawa kaum muslimin telah melakukannya pada masa Rasulullah s.a.w, sedangkan Rasulullah s,a,w mengetahui dan taqrir terhadap perkara tersebut.
-Dikatakan juga bahawa para sahabat melakukannya namun tidak sampai kepada Rasulullah. Atas hal ini kemudian dikatakan bahawa ‘khabar’ ini berasal daripada seluruh sahabat maka jadilah itu sebagai ijmak.
-Dikatakan hanya sebahagian sahabat sahaja, dan masyhur pada masa mereka tanpa ada yang mengingkarinya.
- Ibnu Hajar Al-Haithami mengatakan pendapat mayat diuji atau disoal 7 hari dalam kubur selepas kematian, adalah mempunyai asal yang kukuh dalam Syara’ kerana sejumlah ulama telah meriwayatkannya daripada tabi’in yang terkemuka termasuklah Thowus, Ubaid bin Umair dan Mujahid.

iii) Mujtahid fil Mazhab Al-Hafiz Imam Rafie :
-Beliau mengatakan bahawa amalan ini masyhur di kalangan para sahabat tanpa diingkari.
iv) Al-Hafiz Ibnu Asakir dalam Tabyin Kazb Al-Muftari fi ma Nusiba ila Al-Imam Abi Al-Hasan Al-Asy’ari:
“Beliau telah mendengar As-Syeikh Al-Faqih Abu Al-Fath Nashrullah Bin Muhammad Bin Abd Al-Qawi Al-Masyisyi berkata: ‘Telah wafat As-Syeikh Nashr Bin Ibrahim Al-Maqdisi pada hari Selasa 9 Muharam 490H di Damsyiq. Kami telah berdiri/berhenti/berada di kuburnya selama 7 malam, membaca Al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam.

v) Al-Hafiz Imam Syubramallisi:
“Apabila seseorang berniat pahala bacaannya dihadiahkan kepada si mati atau dia berdoa selepas bacaan Al-Quran kepada si mati, sampailah pahalanya kepada si mati itu. Sekiranya dia membaca di atas kubur ayat-ayat Al-Quran, dapatlah pahala bacaan itu kepada si mati dan kepada dirinya juga. Perkara ini telah dipilih oleh Imam As-Subki, Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitlami dan Imam Ramli dan lainnya. Harus (tidak mustahil) menghadiahkan pahala bacaan itu kepada Rasulullah, qiyas kepada selawat ke atas Baginda s.a.w...”
___________

Sama juga dalam hal riwayat Saidina Umar menyuruh diadakan solat tiga hari dan menyediakan makanan.

Agak ‪#‎melucukan‬ apabila, dia cuba takhrijkan riwayat ini melalui, dua kitab Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Sedangkan riwayat ini disebutkan dalam kitab Al-Matholib Al-Aliah yang dikarang oleh Imam Ibnu Hajar itu sendiri. 

Emotikon smile
"Ahmad Ibn Muni' melaporkan di dalam Musnadnya daripada Al-Ahnaf Ibnu Qais berkata: Apabila Saidina Umar r.a telah ditikam (dibunuh) beliau telah memerintahkan Suhaib untuk mengerjakan sembahyang dengan orang ramai selama 3 hari dan beliau menyuruh agar disedikan makanan kepada orang ramai." Kata Amirul Mukminin Fil Hadis Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Isnadnya adalah hasan.
(Rujuklah Al-Mathalib Al-Aliyyah, j.1, ms.199, hadis no. 709)

* Jelaslah bahawa Amirul Mukminin fil Hadis Imam Jarh Wal Ta'dil Ibn Hajar Al-Asqalani menyatakan sanadnya Hasan.

* Walaupun mempunyai perawi mutakallam fiih atau perawi yang dianggap bermasalah, ulama tidak bermudah-mudah mendhaifkan atau memalsukan hadis tersebut. Bahkan Imam Ibn Hajar menilai sebagai Hasan.

__________

Pada hujjah ke 7, cikgu ini menyatakan kenduri arwah dalam hadis Sunan Abu Daud dan Misykat itu tidak sama dengan majlis tahlilan.

Kalau begitu, kami juga katakan konsep kenduri arwah jahiliah yang dikaitkan dengam niyahah (ratapan) juga berkonsep berbeza dengan majlis tahlilan yang kita lakukan sekarang ini.
Konsep berbeza, hukum juga berbeza.

Majlis Tahlilan yang kita lakukan adalah berbeza dengan Majlis Maktam dan Majlis Wahsyah yang dinyatakan dalam kitab-kitab fiqh. Illah berbeza melahirkan hukum berbeza.

Begitu juga, Majlis Tahlilan yang kita lakukan adalah berbeza dengan majlis kenduri arwah yang para sahabat anggap sebagai niyahah itu.

MENJAWAB HUJJAH MEREKA YANG MENGUNAPAKAI KITAB MAZHAB SYAFIE UNTUK MENGHARAMKAN MAJLIS TAHLILAN

Untuk menjawab kepada mereka, kami hanya perlu menggunakan kata-kata Mufti Negeri Sarawak, Datu’ Haji Loling Othman bin Haji Alwi dalam fatwanya pada tahun 1931:
Adapun perkataan Imam Syafie menyatakan: ‘Aku benci diadakan maktam iaitu berhimpun walaupun tidak ada tangisan mereka kerana sesungguhnya pada yang demikian itu memperbaharui kedukaan, membebankan tanggungan.’

Membaca nas perkataan Imam Syafie jelas menunjukkan TIDAK MUTLAK kebencian tersebut kerana ianya dikaitkan dengan memperbaharui kesedihan dan membebankan. Apakata jika perhimpunan dilakukan dalam rangka mendoakan si mati, bersedekah buat pihak si mati, menghiburkan ahli keluarga si mati, tidak membebankan keluarga si mati yang berkemampuan?

Dalam masalah ini setelah meneliti hujah-hujah dan dalil-dalil jika sekiranya perhimpunan dalam rangka yang diharuskan seperti mendoakan pada si mati, bersedekah bagi pihak si mati, menghiburkan keluarga si mati dan tidak membebankan keluarga si mati bukanlah maktam yang dibenci sebagaimana yang dimaksudkan oleh Imam Syafie.

Yang ditentang ulama kita ialah mereka yang menjalankannya sehingga menyusahkan diri dan keluarga si mati atau semata-mata menjalankan adat atau lebih jahat lagi dengan niat bermuka-muka atau riak. Ini yang difatwakan oleh Sayyid Ahmad Zaini dalam I’anatuth Tholibin.

(Beliau juga menjawab hujjah orang yang mengharamkan kenduri arwah secara mutlak dengan apa yang tersebut di dalam Al-Fiqh Al-Manhaji ala Al-Mazhab Asy-Syafie (1/263) iaitu: “Menyusahkan keluarga si mati dengan membuat makan dan berhimpun orang ramai kepadanya (makanan) seperti mana yang menjadi kebiasaan di zaman ini adalah bidaah yang bertentangan dengan sunnah”, dengan katanya):

“Dalam nas diqaidkan (dikaitkan) dengan menyusahkan ertinya kalau membuat kenduri mendatangkan kesusahan kepada keluarga si mati maka hukumnya adalah haram. Maka jika tidak menyusahkan keluarga si mati maka hukum adalah sebaliknya.”

(Hujjah lain seperti di dalam Kasyfu Al-Litham, juzu 1 iaitu: “Dan dikerjakan ‘wahsah’ iaitu berhimpun dengan memberi makan awal malam kenduri daripada tanam mayat 7, 20, 40, hari dan seumpamanya yang demikian itu seperti yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh Syara”, dengan katanya):

“Dalam nas menyatakan Wahsah dengan berhimpun melahirkan kesedihan adalah haram. Kalau berhimpun dengan membaca tahlil dan berdoa untuk sedekah pahala kepada si mati maka hukumnya adalah sunat.”

Maka dengan ini jelaslah dakwaan orang yang mengharamkan kenduri arwah secara mutlak adalah suatu dakwaan yang tidak berasas sama sekali...Biarlah perkara ini menjadi rahmat kepada umat Islam dengan tidak menimbulkan perbalahan dengan membidaah di antara satu sama lain yang boleh menggugat perpaduan umat Islam dan membawa kepada perpecahan yang sangat-sangat dilarang oleh Islam. Semoga Allah SWT menunjukkan kita ke jalan yang diredhainya. Amin Ya Rabbal a’lamin”

-> Inilah suatu penjelasan yang sangat baik daripada Mufti Negeri Sarawak. Maka, mereka yang sibukkan diri membidaahkan orang lain mestilah perhatikan perbezaan Majlis Tahlilan dengan Wahsah dan Maktam. Selain itu, kalian perlu perhatikan setiap kitab yang diguna untuk berhujjah bagi mengharamkan tahlilan samada mempunyai sebab pengharaman atau tidak. Jika ada, maka majlis yang tidak dikaitkan dengan sebab pengharaman tidak menjadi haram seperti yang telah Wahabi selewengkan.

Antara lain, Dr. Maza telah menggunakan kitab ulama besar nusantara dalam buku terbarunya (Menjawab Persoalan Menjelaskan Kekeliruan : 262) bagi mengharamkan kenduri arwah dengan membaca nas:

Syeikh Daud Al-Fathani mengatakan :
"(Dan makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyerukan segala manusia atas memakan dia samada ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakkan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya." (Syeikh Daud Al-Fathani, Bughyah Tullab, 2/34)

-Kami telah bertanya kepada guru-guru pondok, lalu mereka menjawab yang bidaah disini ialah apabila mengadakan kenduri semata-mata disebabkan ada kematian, iaitu menjadi bidaah apabila ada kematian, kita menghimpunkan orang ramai untuk jamuan disebabkan kematian. Hal ini seolah-olah meraikan kematian atau menjadikan kematian suatu keramaian.

-Bahkan tidak menjadi bidaah jika diadakan tahlil yang dalamnya diisi zikir, bacaan Al-Quran, selawat dan membuat jamuan dengan diniatkan sedekah pahala kepada si mati. Majoriti ulama mengatakan sampai pahala sedekah kepada si mati dan diharuskan mengadakan majlis sedemikian.

BILAKAH KENDURI ARWAH MENJADI HARAM?

1) Apabila digunakan harta anak yatim
2) Apabila menyusahkan ahli keluarga yang miskin
3) Diadakan bagi meratapi kematian
4) Memperbaharui perasaan sedih
5) Bagi menyebut-nyebut kebaikan si mati
6) Diadakan dengan penuh riak dan membazir
7) Mewajibkan atau menganggap wajib pada hari-hari tertentu
8) dan dalam bentuk beberapa situasi yang ada larangan daripada dalil umum atau khusus.

* Sudah lama saya memerhati hujjah-hujjah cikgu geografi ini daripada jauh. Sekarang apabila saya mula berhujjah dengannya, saya mendapati cikgu adalah SPINNER WAHABI terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia.

Disediakan oleh: Hafiz Al Za'farani (HAZA)

Hukum Kenduri Arwah 1


JAWAPAN kepada soalan Wahabi iaitu Cikgu Hairi Nonchi.
1) Adakah umat Islam mengadakan kenduri Arwah kepada Nabi Muhammad s.a.w?

Jawapannya:
Tiada seorang pun yang mengadakan kenduri arwah atau majlis tahlilan kepada Baginda s.a.w kerana Rasulullah s.a.w adalah MAKSUM dan telah dijamin Syurga.

》Majlis Tahlilan bertujuan untuk keluarga si mati sedekahkan makanan kepada keluarga jauh dan jiran tetangga yang mana sedekah itu diniatkan pahalanya kepada si mati. Dan hadirin berzikir, membaca Al-Quran, berdoa agar pahala disedekahkan kepada si mati.

عن عمرو بن عبسة قال اتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم فقلت: يا رسول الله ما الاسلام؟ قال طيب الكلام واطعام الطعام
"Dari Amru bin Abasah berkata: Aku mendatangi Rasulullah s.a.w lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w, apakah Islam? Baginda s.a.w berkata: Perkataan yang baik dan menjamu makanan" (Hr. Ahmad)

》Jika ada yang mempertikaikan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad, mari kita lihat hadis Muslim:
عن عبد الله بن عمرو ان رجلا سال رسول الله صلى الله عليه وسلم اي الاسلام خير؟ قال "تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف"
"Dari Abdullah bin Amru berkata, telah datang seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shalallah alaihi wasallam, bagaimana Islam yang terbaik? Baginda s.a.w bersabda, yang menjamu makanan dan menyebarkan salam kepada yang kamu kenali atau kepada orang yang tidak kamu kenali" (Hr. Muslim, no.39)

》Mengenai persoalan sampai atau tidak kiriman pahala kepada si mati, ia telah dijawab bahawa pahala sampai kepada si mati oleh:

1) Imam Nawawi melalui kitab Fatawa Nawawi
2) Imam Ibnu Hajar Al-Haitami melalui kitab Al-Fatawa Al-Fiqhiah Al-Kubra, j.2, ms.30-31.
3) Ibnu Qayyim melalui kitab Al-Ruh, ms.143.
4) Ibnu Taimiyyah melalui kitab Hukm Al-Syar'iyyah Al-Islamiyyah fi Ma'tam Al-Arbain, ms.36
Dan lain-lain.

》Imam Suyuthi telah menyatakan boleh diadakan jamuan makan sebagai sedekah kepada si mati selama 7 hari atau 40 hari:

"Sesungguhnya At-Thowus berkata: Seorang yang mati akan beroleh ujian dari Allah dalam kuburnya selama 7 hari"

Untuk itu, sebaiknya mereka (yang masih hidup) mengadakan jamuan makan (sebagai sedekah) untuk si mati selama hari-hari tersebut." 

Sahabat Ubaid bin Umair berkata: "Seorang mukmin dan munafiq sama-sama akan mengalami ujian dalam kubur. Bagi seorang mukmin akan beroleh ujian selama 7 hari, sedangkan seorang munafiq selama 40 hari di waktu pagi"
(Rujuklah kitab al-Hawi, Imam Suyuthi, j.2, ms. 178)

》Selain itu, Imam Suyuthi telah bersaksi bahawa:
"Sesungguhnya sunatnya bersedekah memberi makan selama 7 hari telah sampai kepadaku, ia berterusan hingga sekarang di Mekkah dan Madinah. Secara zahirnya ia tidak ditinggalkan (daripada diamalkannya) dari masa sahabat sehingga sekarang dan mereka melakukannya sebagai tradisi diambil dari ulama Salaf sejak generasi pertama"
(Rujuklah kitab al-Hawi, Imam Suyuthi, j.2, ms. 194)

》Kelihatannya, persaksian Imam Syuthi yang hidup sepanjang tahun 849-911H ada benarnya juga kerana telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Asakir:
"Beliau telah mendengar Al-Syeikh Al-Faqih Abu Al-Fath Nashrullah bin Muhammad bin Abd Al-Qawi Al-Masyisyi berkata: Telah wafat Al-Syeikh Nashr bin Ibrahim Al- Maqdisi pada hari Selasa 9 Muharram 490H di Damsyiq. Kami telah berhenti/berada di kuburnya selama 7 malam, membaca Al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam.
(Rujuklah Tabyin Kazb Al-Muftari fi Ma Nusiba ila Al-Imam Abi Al-Hasan al-Asy'ari)
* Hal ini berlaku pada tahun 490H.

》Dan juga dibuktikan oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani:
"Ahmad Ibn Muni' melaporkan di dalam Musnadnya daripada Al-Ahnaf Ibnu Qais berkata: Apabila Saidina Umar r.a telah ditikam (dibunuh) beliau telah memerintahkan Suhaib untuk mengerjakan sembahyang dengan orang ramai selama 3 hari dan beliau menyuruh agar disedikan makanan kepada orang ramai." Kata Amirul Mukminin Fil Hadis Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Isnadnya adalah hasan.
(Rujuklah Al-Mathalib Al-Aliyyah, j.1, ms.199, hadis no. 709)
* Hal ini berlaku sekitar tahun 23H.

》Dan juga, terdapat hadith dalam Sunan Abu Daud yang menyatakan selepas mengebumian jenazah, Rasulullah menerima jemputan ke rumah untuk makan. Menurut syarah Sunan Abu Daud:
(داعى امراة)...وفى المشكاة، داعي امرأته بالاضافة الى الضمير. فال القاري: أي زوجة المتوفي
(Da'i Imra'ah)... dan di dalam kitab al-Misykat digunakan 'da'i imra'atihi' yang disandarkan kepada dhamir (iaitu 'nya'). Al-Qari berkata: iaitu ISTERI SI MATI.
(Rujuklah 'Aun Al-Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud)

* Hal ini menunjukkan ahli keluarga si mati menjemput nabi s.a.w makan seperti yang telah disimpulkan oleh Syeikh Ibrahim Al-Halabi:
"Hadith ini menunjukkan atas bolehnya ahli keluarga mayat menyediakan makanan dan menjemput orang lain untuk makan. Jika makanan itu diberikan kepada fakir miskin adalah baik. Melainkan (iaitu tidak boleh berbuat demikian) jika salah seorang dari ahli waris ada yang masih kecil makan tidak boleh diambol dari harta ahli waris si mati"
(Rujuklah Al-Bariqah Al-Muhammadiyyah, j.3, ms.235 dan Al-Masail Al-Muntakhabah,ms.49)
* Hal ini berlaku pada zaman Nabi s.a.w.

= = = = = = = = = = = =
2. Siapa pula yang memimpin majlis tahlilan ketika Imam Syafie wafat?

Jawapannya:

Ia adalah seorang wali (penguasa) yang bernama Muhammad bin as-Suri bin al-Hakam.
Muhammad bin as-Suri bin al-Hakam adalah seseorang yang diwasiatkan oleh Imam Syafie, apabila beliau wafat agar dimandikan dan diurus oleh Muhammad bin as-Suri bin al-Hakam, dari kerja-kerja memandikan, memimpin solat jenazah, menguburkan, mendoakan serta mengadakan majlis tahlilan bersama jamaah yang lain yang hadir saat Imam Syafi’i wafat.

Imam Syafie wafat pada malam Jumaat pada waktu subuh pada hari terakhir bulan Rejab tahun 204 Hijriyyah atau tahun 809 Masihi pada usia 52 tahun.

Jenazah kemudian dibawa, sampai ke tanah anak-anak Ibnu Abdi al-Hakam, disanalah ia dikuburkan, yang kemudian terkenal dengan Turbah asy-Syafie sampai hari ini, dan disana pula dibangun sebuan masjid yang diberi nama Masjid asy-Syafie. Penduduk Mesir terus menerus menziarahi makam sang Imam sampai 40 hari 40 malam, setiap penziarah tak mudah dapat sampai ke makamnya kerana banyaknya penziarah. (Sila rujuk kitab tarikh atau Manaqib Imam Syafie)

》Persoalan mengenai pendirian Imam Syafie:
Imam Al-Hasan bin Muhammad Az-Za'farani berkata: "Saya pernah bertanya kepada Imam Syafie mengenai bacaan Al-Quran di kubur. Ternyata beliau itu (Imam Syafie) membolehkannya".

》Hal ini dikukuhkan lagi apabila Imam Syafie sendiri pernah menziarahi makam Imam Laith bin Sa'ad, kemudian beliau membaca Al-Quran.
وقد تواتر ان الشافعي زار الليث بن سعد واثنى خيرا وقرأ عنده ختمة وقال: ارجوا ان تدوم فكان الامر كذلك
"Dan telah mutawatir (masyhur) riwayat bahawa Imam Syafie telag menziarahi makam Imam Laith bin Sa'ad. Beliau memujinya dan membaca Al-Quran di sisi kuburnya dengan sekali khatam. Imam Syafie berkata: Aku mengharapkan agar ia (amalan membaca Al-Quran seperti di sisi makan Imam Laith) akan berterusan, maka begitulah seperti apa yang dikatakan (didoakan) oleh Imam Syafie"
(Rujuklah kitab az-Zakhirah Ath-Thaminah, ms.64)

》Bagaimana pula dengan perkataan Imam Syafie:
وأكره المأتم وهي جماعة وان لم يكن لهم بكاء فان ذلك يحدد الحزن ويكلف المؤنة
"Dan aku membenci ma'tam iaitu adanya perkumpulan walaupun tidaklah berlaku pada mereka perbuatan menangir kerana perbuatan itu akan mengembalikan kesedihan dan menambahkan bebanan." (Al-Umm, j.1, ms.318)

* Segelintir orang jahil bertopengkan 'ustaz' telah menyangka Majlis Ma'tam yang dibenci oleh Imam Syafie adalah sama dengan Majlis Tahlilan. Sedangkan "ma'tam ialah perkumpulan orang yang kebiasaannya akan bertambahlah kesedihan dalam perkumpulan mereka." (Rujuklah Al-Munjid, ms.2)

* Maka, illah larangan ma'tam ialah kerana ia termasuk dalam 'niyahah' iaitu meratap pemergian si mati. Hal ini dilarang dalam agama kerana Nabi s.a.w bersabda:

الميت يعذب ببكاء الحي عليه او ببكاء اهله عليه
"Mayat akan diazab kerana tangisan rantapan orang hidup ke atasnya atau tangisan rantapan keluarganya" (HR. Muslim)

* Konsep yang berbeza pada majlis tahlilan, kerana ia bukan majlis meratap dan bersedih. Melainkan sebagai suatu usaha keluarga si mati untuk mengirimkan pahala kepada si mati dengan pelbagai amalan kebaikan.

》Begitu juga seperti larangan kenduri wahsyah yang diterangkan dalam kitab-kitab fiqh yang lain, larangan tersebut berserta dengan illah yang berbeza. Sebab itulah, urusan menentukan hukum diberikan kepada alim ulama bukannya kepada cikgu geografi.

》Bagaimana pula, dengan pendapat Imam Syafie mengenai mengirim pahala bacaan Al-Quran?
* Imam Nawawi telah menyatakan mengirim pahala doa dan sedekah adalah sampai dengan IJMAK ULAMA.
يصله ثواب الدعاء وثواب الصدقة بالاجماع
(Rujuklah Fatawa Imam Nawawi, ms.146)

* Ini bermakna, usaha keluarga mengirim pahala sedekah makanan dalam majlis tahlilan itu SAMPAI kepada si mati dengan ijmak ulama.

》Namun, yang menjadi khilaf ialah 0ahala bacaam Al-Quran. Menurut Imam Nawawi, ia sampai. Dan menurut Syeikhul Islam Zakaria Al-Anshari:
ان مشهور المذهب اي فى تلاوة القران محمول على ما اذا قرأ لا بحضرة الميت ولم ينو الثواب له او نواه ولم يدع
"Sesungguhnya pendapat masyhur dalam mazhab Syafie mengenai bacaan Al-Quran (yang pahalanya dikirimkan kepada si mati) adalah apabila dibaca tidak dilakukan ketika mayat berada dihadapan pembaca, dan jika tidak diniatkan hadiah pahala kepadanya atau diniatkan pahala bacaan kepadanya tetapi tidak membaca doa sesudah bacaan Al-Quran tersebut."
(Rujuklah Hukm Asy-Syar'iyyah Al-Islamiah fil Ma'tam Al-Arbain, ms.43)

* Maka, beginilah kesimpulan ulama bermazhab Syafie simpulkan setiap perbuatan, ijtihad dan wasiat Imam Syafie. Kerana mereka lebih memahami fiqh dalam mazhab berbanding cikgu geografi.

☆ Penulis kitab Al-Hawi iaitu Imam Suyuthi & penulis kitab Hukm Asy-Sya'iyyah Al-Islamiah fil Ma'tam Al-Arbain ialah Syeikh Hasanain Makhluf, kedua-duanya tinggal di Mesir. Mereka menyokong majlis tahlilan dengan pelbagai hujjah yang dinyatakan dalam kitab mereka tersebut.

SOALNYA, bilakah amalan hindu bertapak di Mesir?

"Jadilah seperti ulama bermazhab Syafie,
Jangan jadi seperti cikgu Geografie."

PERINGATAN:

Tulisan ini sebagai merealisasikan kaedah ASWJ iaitu "Kamu Serang Kami Terang". Bukan kerana mahu menuntut duit daripada Wahabi. 

Emotikon smile
Disediakan oleh: Hafiz Al Za'farani (HAZA)