Jumaat, 17 Mac 2017

Kemana selepas Diploma Qiraat


بسم الله الرحمن الرحيم


الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Sebahagian daripada kita. Adakala ketika memilih untuk sambung di Diploma Qiraat dahulu, semata-mata kerana Alquran. Kerana nak menghafaz Alquran. Langsung tak terfikir akan terbabit dengan ilmu Qiraat, Dabt, Fawasil, Rasm dan sebagainya. Nah, kerana itu. Walaupun ramai yang berjaya khatam 30juz Alquran. Namun mungkin tidak ramai yang menghargai ilmu-ilmu tadi. Walau hakikatnya, ada belajar sekali.

2. Baru ini sempat berbual dengan seorang pelajar yang baru tamat Diploma Qiraat. Dia menunjukkan minat untuk teruskan dalam bidang qiraat. Seronok mendengarnya.

3. Salah satu tempat untuk sambung ijazah cadangan saya. Maahad Qiraat Shoubro. Kerana disini biah Ilmu Alquran hidup. Juga tenaga pengajar yang mahir ramai. Cara pembelajaran yang sistematik. Lantas peluang untuk kita kuasai Ilmu-ilmu Alquran lebih realistik.

 Fokus kepada poin di bawah;

- Mahirkan Tajwid. Ikuti kitab yang tinggi lagi rinci. Contoh Muqoddimah Jazari.
- Mahirkan pembacaan Qiraat. Bagi kesepuluh-sepuluh imam. Pastikan talaqqi dengan guru.
- Ingat hafalan Alquran
- Fahami perbincangan di dalam Dabt, Fawasil, Rasm dan Ulum Alquran.
- Mahirkan Fiqh. Pastikan khatam satu kitab walaupun senipis Nailur Raja'. Cukup satu kitab.
- Fahami Ilmu Akidah. Pastikan khatam belajar. Cukup satu kitab.
- Mahirkan Nahu Saraf. Walau gunakan kitab pra seperti Nahu Wadeh.
- Usik Kitab Mustalah Hadith, Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah dan ilmu-ilmu alat lain. Walaupun sekadar risalah.

5. Masa anda disini tidak lama. Insha Allah 3 tahun habislah. Jika punyai rezeki sambung Tanta, itu cerita lain.

6. Justeru. Anda perlu bijak. Dan satu perkara yang PALING-PALING perlu anda ingat. Anda mungkin tidak mampu mahir semua ilmu yang anda mahu, jadi anda perlu buat pilihan sukar tapi perlu tepat. Biarkan dahulu yang lain. Bukan bermakna anda tinggal terus. Atau ianya kurang penting. Malah mungkin lagi penting.  Cuma untuk waktu dan ketika ini. Anda perlu rebut sesuatu yang mungkin anda sudah sukar nak ketemunya di lain waktu. Insha Allah yang lain itu, anda akan rebut juga selepas ini. Berdoalah pada Allah, diberikan pilihan yang tepat.

7. Insha Allah ada masa. Nanti saya rincikan lagi sebab anda perlu rebut yang di atas ini terlebih dahulu. Dan ini hanya untuk calon siswa Qiraat Shoubro. Adapun bidang lain, atau siswa qiraat di tempat lain. mungkin caranya  berbeza. Juga nanti, saya akan cadangkan anda kitab apa anda perlu belajar di Mesir dan guru-guru yang anda perlu cari.



Syair Qad Kafani Ilmu Rabbi

oleh Syeikh Rouf bin Nurin




Dua tiga minggu ini. Saya sedang asyik menyelami Syeikh Aleey Attohiri, Syeikh Rauf bin Nurin, Pondok Tampin dan Madrasah Aliah. Hasil selaman saya menjumpai banyak permata berharga. Yang buatkan kita rasa, Indahnya Hidup Bertuhan..

Sabtu, 4 Mac 2017

Oh Halal ke Oh Haram ?


بسم الله الرحمن الرحيم


الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Petang ini aku nak tulis satu perkara yang menghantui aku seminggu ini. Berkaitan kerjaku. Lebih tepat halal atau haram gajiku.

2. 8.00-5.00 petang: Aku kerja di sebuah kolej dengan gajiku dibayar per hari.

3. Disebabkan jadual kelasku yang boleh dianjak. Aku himpunkan kelasku di tengah-tengah. Jadi aku dapat buat kerja tambahan lagi di awal pagi dan petang.

4. Justeru. Dari jam 8.00-9.00 pagi: Selepas punch-card di kolej. Aku keluar untuk bekerja di sebuah maahad tahfiz swasta tidak jauh dari kolej. Dengan elaun dibayar mengikut jam.

5. Setiap waktu solat Zohor dan Asar: Dalam jangkamasa lebih kurang sejam setiap waktu, aku keluar untuk bertugas sebagai imam di satu masjid tidak jauh dari sini. Dengan gajiku dibayar per bulan.

6. Kemudian pada pukul 5.00 petang, aku punch-card pulang di kolej.

7. Sebelum ini aku pernah perihalkan kerja-kerjaku ini kepada ketua jabatanku. Dia juga terdiam, mungkin juga tidak pandai nak putuskan. Namun reaksi dan tuturnya seperti tidak melarang. Dari bacaanku, dia tidak kisah asalkan kelasku di kolej terjaga. Namun dia mungkin tak berani nak buat keputusan.

8. Tambahan semasa menghantar resume melalui email tempoh hari. Aku dah kepilkan sekali surat, menyatakan syarat untuk tidak lepaskan jawatanku di tempat lain, seandainya mereka terima aku. Dan takdir Allah mereka pilih juga aku. Padahal aku dah tetapkan syarat dalam surat. Aku rasa, faktor keterikatanku dengan kawasan ini (dari sudut rumah yang dekat dan komitmenku dengan kawasan ini), menjadi faktor aku terpilih bagi jawatan ini. Sebab biasa pesyarah sambilan ramai cabut, tidak kekal lama bekerja. Sebab bukan jawatan tetap. Jadi dengan memilih aku, Mereka sudah sudah tidak perlu pening-pening pilih pensyarah, sebab secara logik, aku sukar nak berhenti insha Allah.

9. Dalam mesyuarat bersama pensyarah-pensyarah jabatan baru-baru ini juga. Mereka kata taknak bebankan aku dengan kerja tambahan, sebab tahu aku sibuk dan ada komitmen lain. Bukankah ini juga suatu signal?

10. Tidakkah semua ini mengisyaratkan kepada bacaan aku tadi?

11. Namun baru-baru ini. Keluar satu pekeliling, ditampal di pejabat. Menyatakan larangan berkeliaran ke tempat lain bagi staff sewaktu fatrah kerja (8.00-5.00 petang). Sebahagian teman sekerjaku juga ada yang berpandangan tidak boleh buat kerja sampingan lain diwaktu ini.

12. Aku jenis orang yang kalau buat salah. Aku dapat kesan. Sebab akan ada perkara yang tak kena berlaku. Tapi kalau sesuatu itu baik, selalunya kehidupanku juga lancar. Insha Allah. Aku anggap itu firasatku dan signal dari Allah.

13. Nah, untuk kerja-kerjaku itu. Aku tak rasa bersalah. Malahan biasa sahaja. Kecuali jika aku sengaja balik rumah untuk rehat bila tiada kelas. Yang itu aku rasa bersalah.

14. Namun sejak teman-teman pensyarahku berbincang tentang hal ini. Kebetulan juga, banyak muncul kalam-kalam baik dari telegram yang bercerita tentang sumber pendapatan yang haram. Aku jadi terfikir pula dengan sumber-sumber pendapatanku ini.

15. Kebetulan pula. Minggu ini aku terima pula satu email, dari KPM. Untuk hadiri temuduga guru tahfiz interim, Khamis depan. Kerja kerajaan, yang majoriti orang berebut. Ikutkan hati aku taknak, sebab taknak berenggang dengan mak ayahku disaat umur mereka dah 64-65 ini. Apatah lagi, gaji KPM rasaku dibayar dari hasil cukai (sumber kerajaan). Yang mana sebahagian ulama hukumkan haram kutipan cukai terhadap orang Islam, sebab mereka dah bayar  zakat. Jadi zalim kat mereka. Namun tahan sikit dari isu kolej ini. Sebab mungkin tak timbul buat 2-3 kerja dalam satu masa. Cuma bab sumber rezeki pulalah.

16. Nah sekarang bagaimana? Pantang teringat, hatiku tak henti-henti doa minta Allah berikan aku yang terbaik, rezeki dari sumber yang haram. Jika haram sucikanlah.

17. Setakat ini aku hanya terfikirkan satu cara. Aku mungkin tidak pergi KPM. Kecuali kalau Allah takdirkan aku itu yang terbaik. Namun aku ingat nak buat surat kepada ketua pendaftar kolej (?). Untuk mohon kebenaran teruskan kerja-kerja sampingan ini. Jika dia nak aku gaji ikut jam pun, tidak mengapa. Aku rasa inilah cara terbaik.

18. Main dengan gaji ini memang bahaya. Sebab waktu yang berlalu dah tak boleh undur. Jahanam aku kat akhirat nanti, kalau dihitung sumber rezekiku haram. Dahlah dosa mulut bertimbun-timbun. Dosa hati usah cerita. Allah, payahnya hidup.

19. Doakan Allah jagaku. Wassalam.