Isnin, 13 April 2015

Saranan Cara Belajar Ilmu Agama Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Berbeza dengan pos saya sebelum ini yang berkisar cerita, "Belajar di Universiti Alazhar". Kali ini topik saya lebih kepada teori, hasil dari pengalaman saya belajar, mengajar dan berbual dengan teman-teman. 

2. Bagi mereka yang sudah tamat alam pengajian, juga bukan dari sekolah menengah aliran agama. Maka cadangan tempat pengajian agama terbaik bagi saya, adalah di pondok-pondok. Dan lebih khusus lagi, Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Kenapa di sini?  

3. Kelebihan Pondok Pasir Tumboh berbanding pondok yang lain;

- Di pondok ini ada ramai tenaga pengajar. Justeru pelajar yang baru masuk dapat dikenal pasti tahap penguasaan agamanya, sebelum diletakkan di dalam kelas yang bersesuaian. Jangan bimbang tentang kelemahan diri. Kerana Pondok Pasir Tumboh ini menyediakan kelas dari pelajar yang langsung tidak pandai membaca jawi dan Alquran sehinggalah mereka yang berminat belajar kitab-kitab arab. Di sini pelajar akan di ajar cabang Ilmu Fardhu Ain baik Tauhid, Feqah, Tasawwuf dan Alquran. Jangan bimbang dengan umur anda. Kerana ada pelajar yang baru mendaftar masuk di pondok ini sudah berumur 30-40 tahun. Malahan yang tua-tua pun ada. Yang muda berumur dalam 12 tahun turut boleh dijumpai di sini.  Hidayah Allah tiada had umur, bila sahaja dipilih Allah, maka anda perlu tekadkan azam dan kuatkan semangat. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web atau Facebook Pondok Pasir Tumboh atau nama rasminya Madrasah Albakriah Pondok Terusan Limbat. 

4. Bagi lepasan STAM pula. Saya cadangkan, boleh mahirkan dahulu Ilmu Nahu Saraf di Pondok. Lebih cantik jika dapat khatam Kitab Fiqh Jawi seperti Albahrul Wafi, Matlaul Badrain atau Sabilal Muhtadi di pondok. Saya bukan menidakkan anda untuk belajar Kitab Arab, namun inilah peluang terbaik dan terakhir anda untuk faham secara keseluruhan Ilmu Feqah beserta masail-masail yang berkait dengan dunia masyarakat melayu. 

5. Bagi peringkat Universiti. Sambunglah di Mesir.  Ini jika tuntutan supaya mengambil ijazah kuat ke atas bahu anda. Jika keluarga anda tidak kisah. Saya sarankan, anda masakkan dahulu ilmu anda di Pondok. Kita faham, zaman sekarang masyarakat memandang pada sijil. Jadi Mesir adalah pilihan terbaik. Kerana di samping memberikan sijil ijazah. Budaya talaqqi juga hidup di Mesir. Untuk dapatkan ilmu agama. Hanya dengan jalan talaqqi. Sebenarnya saya ada lagi dua tempat cadangan iaitu Syria dan Yaman (Universiti Alahqof). Namun disebabkan kedua-duanya sedang bergolak. Maka bagi saya Mesir adalah pilihan yang terbaik. Boleh ikuti pos saya yang terdahulu berkait "Belajar di Universiti AlAzhar".

6. Bagi yang berminat menghantar anak belajar agama sejak kecil. Memang saya sendiri akui, budaya pergaulan di sekolah agama dan sekolah lain memang berbeza. Kerana sekolah agama ini lebih terkesan dengan budaya agama Islam. Khusus nasyid-nasyid dan doa yang akan disemai. Ini berdasarkan pengalaman saya belajar di sekolah agama dan mengajar di sekolah lain. 

7. Jika memilih  Taska, Tadika dan sekolah rendah. Letaklah anak anda di sekolah agama. Anda boleh nampak beza yang sangat ketara. Di sekolah agama, permainan, nasyid, praktikal solat dan kegiatan sosial murid berteraskan agama. Justeru, yang lelakinya berseluar pendek dan perempuannya menanggalkan tudung ketika bersukan, memang anda tidak akan jumpa di sini. Asuhan agama amat penting buat kanak-kanak, Kerana ianya akan mempengaruhi perangai dan jati diri pelajar. Manakan sama seorang pelajar yang dibasahkan setiap hari telinganya dengan kisah kesolehan Ibrahim bin Adham.ra, kewarakan sahabat-sahabat nabi.ranhum dengan pelajar yang disajikan cerita Cinderella serta puteri snow white yang memakai skirt serta tergila-gilakan putera sultan menyelamatkannya. Percayalah, perkara-perkara ini sangat memberi kesan buat anak anda. 

8. Untuk peringkat sekolah menengah. Saya cadangkan anda menghantar anak ke maahad tahfiz. Insha Allah Alquran yang dia hafaz itu nanti boleh membimbing dia. Namun harus di ingat, maahad tahfiz juga perlu dicari yang terbaik. Seeloknya yang sudah lama dan terbukti berjaya lahirkan huffaz. Saya lebih galakkan anda menghantar anak ke maahad tahfiz yang terangkum tiga ciri iaitu  Tahfiz-Ilmu Agama- Akademik. Bagi saya, yang terbaiknya sudah pasti maahad tahfiz yang bagus dari sudut rekod semasa. Banyak bergantung juga pada siapa guru. Jika yang bagus, akademik terjaga. Saya cadang Maahad Tahfiz Ampuan Afzan di Pekan Pahang. Namun macam biasalah, proses pemilihan masuk juga memang sangat ketat, namapun elit. Cubalah dahulu, mana tahu ada rezeki Allah.swa letak di situ. Namun jangan bimbang jika payah, kerana ada banyak lagi maahad tahfiz swasta yang telah tumbuh sekarang.  Justeru, cubalah bertanya kepada guru-guru tahfiz, perihal maahad yang terbaik dan terbukti berkesan untuk anak anda. Ingat, dalam bidang tahfiz ini. semakin garang guru semakin bagus anak murid.

9. Sekolah Menengah Agama? Saya cadangkan anda menghantar anak ke Maahad Tahfiz terlebih dahulu. Kerana waktu umur sebeginilah, saat terbaik anak anda mudah menghafaz. Nanti jika sudah khatam menghafaz 30juzuk Alquran dalam masa biasanya tiga tahun, barulah bertukar ke sekolah agama jika mahu, untuk memasuki aliran ekonomi mahupun sains. 


Penting untuk anda faham. Budak-budak dalam umur 13-15 tahun (mungkin ada sampai 17 tahun). Biasanya pendidikan agama yang paling sesuai bagi mereka adalah bidang hafalan. Bukan belajar berkitab. 


Jika berikan mereka pendidikan belajar berkitab (seperti di sekolah agama dan pondok), mereka akan menerimanya secara main-main. Lalu, mereka hanya belajar kerana peperiksaan, kemudian ilmu mereka terus hilang. Merugikan umur mereka. Kerana itu, tidak hairan kita terjumpa anak-anak perempuan lulusan sekolah agama yang berpakaian ketat atau tidak menutup aurat dengan  sempurna setelah alam persekolahan. Kerana faktor inilah. Justeru cara yang paling sesuai, dengan mengahafaz Alquran. Walaupun pelajar itu main-main atau sebagainya. Alquran tetap akan terlekat dikepalanya. Kemudian bila matang nanti, baru berpindah kepada belajar berkitab dan mengasah lagi hafalan Alqurannya. Agar semakin tajam. 

10. Namun Jika sukar, alternatifnya adalah sekolah agama dari seawal tingkatan satu. Di sini, anda perlu juga memilih sekolah agama terbaik. Perhatikan pada wardennya, suasana pelajarnya dan pencapaian akademiknya. Anda perlu buat survey. Adakala sekolah kerajaan negeri atau SABK lebih baik dan adakala sekolah swasta terlebih baik. Saya cadangkan, anda merujuk guru-guru sekolah agama yang neutral memberikan pendapat, minta pendapatnya tentang sekolah agama yang terbaik dan terjaga akhlak pelajar-pelajarnya. Akhlak pelajar biasanya akan menjadi virus. Jika nampak keadaan sekolah itu seperti tidak terkawal, cuba beralih ke sekolah lain pula. Namun biasanya keadaan sekolah-sekolah agama ini terkawal perilaku pelajarnya. Jika adapun yang kedengaran tidak enak, biasanya kes terpencil. 

11. Namun jika anda sudah bekerja dan sibuk. Cuba cari pondok-pondok sekitar anda. Jika di Kuantan Pahang. Saya cadangkan Pondok Tok Ayah Wan di Jaya Gading. Bimbingan Tok Guru Haji Wan Zukir. Boleh rujuk jadual pengajiannya di sini. Jadual Pengajian Pondok Seri Damai. Kelas untuk masyarakat awam dibuat pada waktu malam. Dari lepas Solat Maghrib hingga pukul 9-9.30 malam.  Pilih pondok yang menyediakan silibus Fardhu Ain tiga serangkai. Iaitu Akidah-Fiqh-Tasawwuf. Jadi automatik. Dapat cover kewajipan menuntut ilmu fardhu ain kita. Boleh juga memilih Jadual pengajian Ustaz Zul Mukhsah. Jika anda tinggal di kejiranan orang alim. Mana tahu, jika jiran anda lulusan pondok, bekas kepala mutollaah lagi. Anda boleh minta beliau mengajar. 

12. Jika berminat dengan Ilmu Alquran. Jika di Pahang. Pergi sahaja ke masjid-masjid daerah. Kerana pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dah letakkan Guru Hafiz di situ. Dengan tujuan memastikan pengajian Ilmu Alquran hidup. Jika di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu Kauntan Pahang juga ada disedia kelas-kelas Alquran mengikut kebolehan masing-masing.

Malah Pengajaran Ilmu Alquran kini lebih teratur dan bersistematik. Dengan wujudnya Pusat Albaghdadi dan sebagainya. Namun jika ingin belajar dengan lebih mendalam (Sudah tentu. Setelah mahir ilmu tajwid dan lancar bacaannya). Pastikan anda cari guru lulusan Maahad Qiraat Shoubro Mesir atau jika guru perempuan dari Maahad Qiraat Mansoura Mesir (Lulusan Alazhar Tanta min babil awla). Kerana untuk peringkat tinggi. Guru anda mestilah seorang yang mahir Bahasa Arab dan Mahir Ilmu Qiraat baik a'syarah Kubro mahupun Sughra. Jika tidak memang pening dengan khilaf rowi. Antara tempat terbaik untuk belajar Ilmu Qiraat adalah di Mesir dan Syria. Namun kerana Syria bergolak. Maka kini tinggal Mesir. 

13. Jika anda keluaran Pondok, Ribath dan Ruwaq. Cubalah melawat tempat pendidikan yang berbeza dengan kalian. Mauritania, Hadramaut, Pondok-pondok di Patani, Persantren di Indonesia. Ambil istifadah dari tempat-tempat tersebut. Kenali tokoh-tokoh ilmuan di situ. Lain padang lain belalangnya.

14. Jika anda muallaf atau saudara baru. Anda boleh hubungi Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Juga NGO seperti Hidayah Centre, Islamic Relief Malaysia. juga PERKIM. Mereka kebiasaannya menyediakan kelas dan bimbingan buat muallaf. Tahniah, Allah telah memilih anda untuk masuk Islam. Jangan putus asa jika diuji, memang semua orang diuji, cuma berbeza bentuk sahaja. Kuatkan semangat dan berusaha gighlah untuk hampir kepada Allah.

15. Jika anda ingin murtad. Keluar dari Agama Islam (Nauzubillah). Mungkin kerana ragu-ragu dengan ajaran Agama Islam. Maka anda boleh bertemu dengan Kumpulan Saba' Islamic Media. Mereka biasa beroperasi melalui media. Mereka punyai penerbitan dan program tersendiri. Bagi menangani masalah murtad. Antara figura Saba' yang terkenal adalah Brother Shah Kirit. Jika di Kuantan Pahang. Pejabat mereka setentang dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 atau Klinik Alamin. Bersebelahan pejabat MUIP.

16. Jika jiwa anda rasa kosong. Inginkan kemanisan dan hidup lebih bermakna. Sertailah Jemaah Tabligh. Mereka punyai method yang sangat baik bagi menaikkan ghairah anda terhadap beramal. Biasanya Jemaah Tabligh punyai markaz di setiap tempat. Namun yang besar pastinya di Sri Petaling. Jika di Kuantan. Boleh ketemu di Batu 5. Setentang Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Tepi Giatmara Batu 5.


17. Cukuplah sampai di sini dahulu. Lain kali kita bicara lagi. Insya Allah ingat nak bercerita pula bagaimana ingin mahir Ilmu Feqah, Nahu dan Ilmu agama yang lain.  Wassalam.