Di Rumah
Kami balut bagasi dengan kain. Hakikatnya tak perlu pun. Sebab TH dah ada pelekat untuk tandakan beg kita. Sekadar buat penanda pun dah cukup, untuk mention alamat kita di Malaysia dan no fon. Tambahan, jika guna balutan. Kita juga nanti yang sulit nak usung beg ke sana ke mari. Khususnya ketika di Kelana Jaya nanti.
Kami dihantar dua buah kereta. Satu Grand Livina Bonda Yah. Satu HRV Ayah Di.
Di Airport Kuantan
Waktu untuk kami check-in di Airport Kuantan agak tergesa. Sejam sebelum dah boleh check-in beg bagasi. 45 minit sebelum berlepas dah boleh masuk balai berlepas. Di sana ada surau dan tandas.
Ada pelbagai cara nak ke Kelana Jaya. Bagi yang naik di Terengganu atau setaranya tiada masalah. Tapi bagiku yang dari Kuantan, kami pilih menaiki kapal terbang MAS domestik. Harga tiket tanggung sendiri, makin dekat tarikh beli dengan tarikh flight, maka semakin mahallah harganya. Terus terbang ke KLIA.
Di KLIA
Di KLIA petugas Tabung Haji dah menunggu di pintu keluar bagi tingkat Arrival, siap ada kaunter lagi. Sebelum ini, pihak TH dah ambil maklumat ketibaan kami. Semua perkhidmatan ini free (Atau mungkin dah termasuk dalam bayaran 9k tu).
Dari KLIA ke Kelana Jaya. Kami naiki bas disediakan TH. Walaupun kami sampai awal pagi, jadual pendaftaran pula malam, tiada masalah. Yang kelakarnya, kerana tiada orang yang serempak dengan kami. Kami empat beranak tetap dihantar dengan bas persiaran ke Kelana Jaya, perjalanan lebih kurang sejam juga. Bayangkan, empat orang je penumpang satu bas yang satu line tu tiga seat. Memang terbaik layanan Tabung Haji. Bas tetap pergi sebab kami dah tunggu lebih kurang dua jam. Campur sejam makan di food court. TH tak mahu kami tertunggu-tunggu lagi.
Di Kelana Jaya
Sebaik sampai. Kami terus ke kaunter pendaftaran. Sepatut ikutkan kami boleh dapat tempat menginap, sebab flight dalam pukul 12 tengah malam. Sekarang baru pukul 10 pagi lebih kurang. Tapi disebabkan ada flight KT yang delay, maka hotel penuh. Jadi kami ada beberapa pilihan, antaranya tel UBER dan menginap di hotel berhampiran dengan belanja sendiri. Tapi Abi buat keputusan, Abi nak i'tikaf di masjid TH je. Kami follow. Lagipun disitu lengkap, ada restoran, kedai, tandas. Tandas di sini berterabur, kena allert dengan lokasinya. Sebab orang terlalu ramai dan padat. Jika nak dapatkan kain ihram, nose-filter, spray-wuduk, sampul beg, beg bagasi. Semuanya ada dijual di bazar setentang kompleks TH.
Malamnya KT kami dipanggil. Kami beratur ambil gelang, beg galas dan pelekat beg. Kemudian kami check-in bagasi dan barulah kami ke kastam. Berbekal beg 5kg dan beg galas. Kami menuju ke bas
Kemudian kami dibawa ke KLIA. Inilah saat yang kami tunggu, kami lima buah bas diiringi polis bermotosikal besar, ditahannya semua kereta atau lori yang nak 'bersaing' dengan kami. Lampu isyarat merah pun kami dibenarkan lalu. Udah macam jenazah pula rasanya. Bersama kami ada ambulans turut iring bersama.
Aku pun tak ingat apa terjadi lepas tu. Sedar-sedar kami sudah nak kena beratur masuk gate. Tak tau ikut mana, sebab tidur. Dengan pengalaman-ku yang dah dekat berpuluh kali naik flight ni. Ni bukan prosedur biasa yang aku lalui. Mungkin tadi dah ketat pemeriksaan di Kelana Jaya. Sekarang sudah tidak perlu. Berkejar kami solat subuh di celah-celah kerusi, sebab subuh baru masuk dan flight pula dah nak berlepas.
Dalam flight menarik. Sebab pramugara je yang melayan. Doa perjalanan juga dibaca.
Dan kami pun berlepas.
Bersambung