Jumaat, 24 April 2015

Lagi Guruku Berlalu

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Semalam, lagi sekali aku mendapat pengkhabaran yang sama, Abang Hazri nak berpindah. Dengarnya Abang Hazri bakal balik mengajar di Selangor. 

2. Berita ini sebenarnya membuatkan aku lemah sebentar. Kerana Kitab Albahru Alwafi yang diajarnya memang mengasyikkan. Kitab yang berbicara tentang Ilmu Fiqh ini sangat terperinci penerangannya serta banyak mendatangkan masail yang mudah aku cerna. 

3. Aku tidak pasti samaada akan ada ustaz yang tolong gantikan tempatnya atau terbiar begitu sahaja. Mudah-mudahan biarlah ada, dan ustaz itu juga sebaik Abang Hazri atau lebih baik lagi. 

4. Semalam berbual dengan seorang warga pondok. Aku sengaja buka topik ini (Pengganti Abang Hazri). Hamba Allah ini beritahu aku, kalau setakat baca kitab, semua orang boleh. Cuba ambil kitab tu dari dia. Insha Allah tak boleh mengajar. Aku diam sahaja. 

5. Sebenarnya hatiku tidak setuju. Betul kita terlalu berhantung pada kitab untuk mengajar. Namun harus dimengerti, bila sahaja ustaz tersebut membuka kitab. Manfaat yang bakal keluar nanti bukan sahaja topik-topik yang ada di dalam kitab. Bahkan, turut keluar nanti adalah ilmu mengenalpasti kaedah nahu yang terkandung di dalam setiap ayat dan kalimah. Justeru, kebolehan mengenalpasti ini biasanya takkan mampu dilakukan oleh orang biasa, kecuali Ustaz yang sudah mahir dan terlatih dalam ilmu nahu dan pembacaan kitab. Mengenalpasti unsur nahu ini amat penting, walaupun untuk kitab berbahasa melayu. Kerana pengarang kitab menggunakan lenggok bahasa arab dalam menulis kitab ini. Bahkan, inilah cara kitab-kitab kuning atau turath dikarang.

6. Namun, biarlah. Malas pula nak berhujah. Kalau dihujjah dari sudut manfaat memahami lenggok nahu ini. Takut satu hal pula nak menerangkan Ilmu Nahu itu apa, jika dia tidak tahu. 

7. Tidak boleh salahkan dia juga. Kerana mungkin dia berhujjah berdasarkan pemerhatian beliau selama ini. 

8. Cukuplah sampai di sini. Hanya nak beritahu. Seminggu dua ini, minggu mengarut bagi saya. Kerana malam tidak dapat tidur dan siangnya terlalu mengantuk, sampai tersengguk di dalam kelas. Memang merugikan masa dan tak dapat maksimumkan istifadhah di dalam kelas. Semalam dah tertidur semasa kelas Matla' Badrain, Matan Ajrumiah dan Bahru Wafi petang. Memang rugu sangat-sangat. Hari ini, bercadang nak ponteng kelas pagi. Untuk manfaat kelas petang. 

9. Mudah-mudahan lepas ini dapat tidur malam. Kemudian siangnya segar. Sekian sahaja, gooooood niteee.....  hehehe,  wslm... 

20 April 2015 - 08:13 am,

Isnin, 13 April 2015

Saranan Cara Belajar Ilmu Agama Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


1. Berbeza dengan pos saya sebelum ini yang berkisar cerita, "Belajar di Universiti Alazhar". Kali ini topik saya lebih kepada teori, hasil dari pengalaman saya belajar, mengajar dan berbual dengan teman-teman. 

2. Bagi mereka yang sudah tamat alam pengajian, juga bukan dari sekolah menengah aliran agama. Maka cadangan tempat pengajian agama terbaik bagi saya, adalah di pondok-pondok. Dan lebih khusus lagi, Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Kenapa di sini?  

3. Kelebihan Pondok Pasir Tumboh berbanding pondok yang lain;

- Di pondok ini ada ramai tenaga pengajar. Justeru pelajar yang baru masuk dapat dikenal pasti tahap penguasaan agamanya, sebelum diletakkan di dalam kelas yang bersesuaian. Jangan bimbang tentang kelemahan diri. Kerana Pondok Pasir Tumboh ini menyediakan kelas dari pelajar yang langsung tidak pandai membaca jawi dan Alquran sehinggalah mereka yang berminat belajar kitab-kitab arab. Di sini pelajar akan di ajar cabang Ilmu Fardhu Ain baik Tauhid, Feqah, Tasawwuf dan Alquran. Jangan bimbang dengan umur anda. Kerana ada pelajar yang baru mendaftar masuk di pondok ini sudah berumur 30-40 tahun. Malahan yang tua-tua pun ada. Yang muda berumur dalam 12 tahun turut boleh dijumpai di sini.  Hidayah Allah tiada had umur, bila sahaja dipilih Allah, maka anda perlu tekadkan azam dan kuatkan semangat. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web atau Facebook Pondok Pasir Tumboh atau nama rasminya Madrasah Albakriah Pondok Terusan Limbat. 

4. Bagi lepasan STAM pula. Saya cadangkan, boleh mahirkan dahulu Ilmu Nahu Saraf di Pondok. Lebih cantik jika dapat khatam Kitab Fiqh Jawi seperti Albahrul Wafi, Matlaul Badrain atau Sabilal Muhtadi di pondok. Saya bukan menidakkan anda untuk belajar Kitab Arab, namun inilah peluang terbaik dan terakhir anda untuk faham secara keseluruhan Ilmu Feqah beserta masail-masail yang berkait dengan dunia masyarakat melayu. 

5. Bagi peringkat Universiti. Sambunglah di Mesir.  Ini jika tuntutan supaya mengambil ijazah kuat ke atas bahu anda. Jika keluarga anda tidak kisah. Saya sarankan, anda masakkan dahulu ilmu anda di Pondok. Kita faham, zaman sekarang masyarakat memandang pada sijil. Jadi Mesir adalah pilihan terbaik. Kerana di samping memberikan sijil ijazah. Budaya talaqqi juga hidup di Mesir. Untuk dapatkan ilmu agama. Hanya dengan jalan talaqqi. Sebenarnya saya ada lagi dua tempat cadangan iaitu Syria dan Yaman (Universiti Alahqof). Namun disebabkan kedua-duanya sedang bergolak. Maka bagi saya Mesir adalah pilihan yang terbaik. Boleh ikuti pos saya yang terdahulu berkait "Belajar di Universiti AlAzhar".

6. Bagi yang berminat menghantar anak belajar agama sejak kecil. Memang saya sendiri akui, budaya pergaulan di sekolah agama dan sekolah lain memang berbeza. Kerana sekolah agama ini lebih terkesan dengan budaya agama Islam. Khusus nasyid-nasyid dan doa yang akan disemai. Ini berdasarkan pengalaman saya belajar di sekolah agama dan mengajar di sekolah lain. 

7. Jika memilih  Taska, Tadika dan sekolah rendah. Letaklah anak anda di sekolah agama. Anda boleh nampak beza yang sangat ketara. Di sekolah agama, permainan, nasyid, praktikal solat dan kegiatan sosial murid berteraskan agama. Justeru, yang lelakinya berseluar pendek dan perempuannya menanggalkan tudung ketika bersukan, memang anda tidak akan jumpa di sini. Asuhan agama amat penting buat kanak-kanak, Kerana ianya akan mempengaruhi perangai dan jati diri pelajar. Manakan sama seorang pelajar yang dibasahkan setiap hari telinganya dengan kisah kesolehan Ibrahim bin Adham.ra, kewarakan sahabat-sahabat nabi.ranhum dengan pelajar yang disajikan cerita Cinderella serta puteri snow white yang memakai skirt serta tergila-gilakan putera sultan menyelamatkannya. Percayalah, perkara-perkara ini sangat memberi kesan buat anak anda. 

8. Untuk peringkat sekolah menengah. Saya cadangkan anda menghantar anak ke maahad tahfiz. Insha Allah Alquran yang dia hafaz itu nanti boleh membimbing dia. Namun harus di ingat, maahad tahfiz juga perlu dicari yang terbaik. Seeloknya yang sudah lama dan terbukti berjaya lahirkan huffaz. Saya lebih galakkan anda menghantar anak ke maahad tahfiz yang terangkum tiga ciri iaitu  Tahfiz-Ilmu Agama- Akademik. Bagi saya, yang terbaiknya sudah pasti maahad tahfiz yang bagus dari sudut rekod semasa. Banyak bergantung juga pada siapa guru. Jika yang bagus, akademik terjaga. Saya cadang Maahad Tahfiz Ampuan Afzan di Pekan Pahang. Namun macam biasalah, proses pemilihan masuk juga memang sangat ketat, namapun elit. Cubalah dahulu, mana tahu ada rezeki Allah.swa letak di situ. Namun jangan bimbang jika payah, kerana ada banyak lagi maahad tahfiz swasta yang telah tumbuh sekarang.  Justeru, cubalah bertanya kepada guru-guru tahfiz, perihal maahad yang terbaik dan terbukti berkesan untuk anak anda. Ingat, dalam bidang tahfiz ini. semakin garang guru semakin bagus anak murid.

9. Sekolah Menengah Agama? Saya cadangkan anda menghantar anak ke Maahad Tahfiz terlebih dahulu. Kerana waktu umur sebeginilah, saat terbaik anak anda mudah menghafaz. Nanti jika sudah khatam menghafaz 30juzuk Alquran dalam masa biasanya tiga tahun, barulah bertukar ke sekolah agama jika mahu, untuk memasuki aliran ekonomi mahupun sains. 


Penting untuk anda faham. Budak-budak dalam umur 13-15 tahun (mungkin ada sampai 17 tahun). Biasanya pendidikan agama yang paling sesuai bagi mereka adalah bidang hafalan. Bukan belajar berkitab. 


Jika berikan mereka pendidikan belajar berkitab (seperti di sekolah agama dan pondok), mereka akan menerimanya secara main-main. Lalu, mereka hanya belajar kerana peperiksaan, kemudian ilmu mereka terus hilang. Merugikan umur mereka. Kerana itu, tidak hairan kita terjumpa anak-anak perempuan lulusan sekolah agama yang berpakaian ketat atau tidak menutup aurat dengan  sempurna setelah alam persekolahan. Kerana faktor inilah. Justeru cara yang paling sesuai, dengan mengahafaz Alquran. Walaupun pelajar itu main-main atau sebagainya. Alquran tetap akan terlekat dikepalanya. Kemudian bila matang nanti, baru berpindah kepada belajar berkitab dan mengasah lagi hafalan Alqurannya. Agar semakin tajam. 

10. Namun Jika sukar, alternatifnya adalah sekolah agama dari seawal tingkatan satu. Di sini, anda perlu juga memilih sekolah agama terbaik. Perhatikan pada wardennya, suasana pelajarnya dan pencapaian akademiknya. Anda perlu buat survey. Adakala sekolah kerajaan negeri atau SABK lebih baik dan adakala sekolah swasta terlebih baik. Saya cadangkan, anda merujuk guru-guru sekolah agama yang neutral memberikan pendapat, minta pendapatnya tentang sekolah agama yang terbaik dan terjaga akhlak pelajar-pelajarnya. Akhlak pelajar biasanya akan menjadi virus. Jika nampak keadaan sekolah itu seperti tidak terkawal, cuba beralih ke sekolah lain pula. Namun biasanya keadaan sekolah-sekolah agama ini terkawal perilaku pelajarnya. Jika adapun yang kedengaran tidak enak, biasanya kes terpencil. 

11. Namun jika anda sudah bekerja dan sibuk. Cuba cari pondok-pondok sekitar anda. Jika di Kuantan Pahang. Saya cadangkan Pondok Tok Ayah Wan di Jaya Gading. Bimbingan Tok Guru Haji Wan Zukir. Boleh rujuk jadual pengajiannya di sini. Jadual Pengajian Pondok Seri Damai. Kelas untuk masyarakat awam dibuat pada waktu malam. Dari lepas Solat Maghrib hingga pukul 9-9.30 malam.  Pilih pondok yang menyediakan silibus Fardhu Ain tiga serangkai. Iaitu Akidah-Fiqh-Tasawwuf. Jadi automatik. Dapat cover kewajipan menuntut ilmu fardhu ain kita. Boleh juga memilih Jadual pengajian Ustaz Zul Mukhsah. Jika anda tinggal di kejiranan orang alim. Mana tahu, jika jiran anda lulusan pondok, bekas kepala mutollaah lagi. Anda boleh minta beliau mengajar. 

12. Jika berminat dengan Ilmu Alquran. Jika di Pahang. Pergi sahaja ke masjid-masjid daerah. Kerana pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dah letakkan Guru Hafiz di situ. Dengan tujuan memastikan pengajian Ilmu Alquran hidup. Jika di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu Kauntan Pahang juga ada disedia kelas-kelas Alquran mengikut kebolehan masing-masing.

Malah Pengajaran Ilmu Alquran kini lebih teratur dan bersistematik. Dengan wujudnya Pusat Albaghdadi dan sebagainya. Namun jika ingin belajar dengan lebih mendalam (Sudah tentu. Setelah mahir ilmu tajwid dan lancar bacaannya). Pastikan anda cari guru lulusan Maahad Qiraat Shoubro Mesir atau jika guru perempuan dari Maahad Qiraat Mansoura Mesir (Lulusan Alazhar Tanta min babil awla). Kerana untuk peringkat tinggi. Guru anda mestilah seorang yang mahir Bahasa Arab dan Mahir Ilmu Qiraat baik a'syarah Kubro mahupun Sughra. Jika tidak memang pening dengan khilaf rowi. Antara tempat terbaik untuk belajar Ilmu Qiraat adalah di Mesir dan Syria. Namun kerana Syria bergolak. Maka kini tinggal Mesir. 

13. Jika anda keluaran Pondok, Ribath dan Ruwaq. Cubalah melawat tempat pendidikan yang berbeza dengan kalian. Mauritania, Hadramaut, Pondok-pondok di Patani, Persantren di Indonesia. Ambil istifadah dari tempat-tempat tersebut. Kenali tokoh-tokoh ilmuan di situ. Lain padang lain belalangnya.

14. Jika anda muallaf atau saudara baru. Anda boleh hubungi Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Juga NGO seperti Hidayah Centre, Islamic Relief Malaysia. juga PERKIM. Mereka kebiasaannya menyediakan kelas dan bimbingan buat muallaf. Tahniah, Allah telah memilih anda untuk masuk Islam. Jangan putus asa jika diuji, memang semua orang diuji, cuma berbeza bentuk sahaja. Kuatkan semangat dan berusaha gighlah untuk hampir kepada Allah.

15. Jika anda ingin murtad. Keluar dari Agama Islam (Nauzubillah). Mungkin kerana ragu-ragu dengan ajaran Agama Islam. Maka anda boleh bertemu dengan Kumpulan Saba' Islamic Media. Mereka biasa beroperasi melalui media. Mereka punyai penerbitan dan program tersendiri. Bagi menangani masalah murtad. Antara figura Saba' yang terkenal adalah Brother Shah Kirit. Jika di Kuantan Pahang. Pejabat mereka setentang dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 atau Klinik Alamin. Bersebelahan pejabat MUIP.

16. Jika jiwa anda rasa kosong. Inginkan kemanisan dan hidup lebih bermakna. Sertailah Jemaah Tabligh. Mereka punyai method yang sangat baik bagi menaikkan ghairah anda terhadap beramal. Biasanya Jemaah Tabligh punyai markaz di setiap tempat. Namun yang besar pastinya di Sri Petaling. Jika di Kuantan. Boleh ketemu di Batu 5. Setentang Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Tepi Giatmara Batu 5.


17. Cukuplah sampai di sini dahulu. Lain kali kita bicara lagi. Insya Allah ingat nak bercerita pula bagaimana ingin mahir Ilmu Feqah, Nahu dan Ilmu agama yang lain.  Wassalam.

Khamis, 29 Januari 2015

Dunia Baruku

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Kembali Jumaat
1. Hampir seminggu juga aku berada di sini. Pondok Pasir Tumboh. Sebuah tempat musafir yang baru dua ke tiga bulan bermain di congakan, destinasi pilihan selepas Shoubro. Sebelum ini jika adapun, kebarangkaliannya mungkin hanya 10-20% sahaja untuk aku bermusafir ke pondok. Insha Allah 80-90% lagi aku sangat berharap dapat ke Hadramaut Yaman.

2. Namun Allah.swa sebaik-baik perancang. Akhirnya aku bermusafir juga ke Kota Serambi Makkah ini. Tanah kelahiran bapaku. Jadi perasaanku sekarang;
"Seolah-olah sedang balik kampung.."

3. Ditambah dengan suasana Pondok yang mewajibkan pelajar berkain pelikat dan galakan berserban sambil berjubah atau berbaju melayu. Juga binaan pondok, kedai dan rumah masyarakat  yang berasaskan kayu dan dikelilingi pokok-pokok. Begitu juga suasana kehidupan yang tenang menambahkan buai rasa persis berada di kampung halaman, Kg Seri Makmur atau Kg Belimbing di Pahang.

4. Untuk suasana hidup dan biah ilmu di sini, mungkin saya akan post di lain waktu.

5. Sekarang saya masih sedang mencari rentak di sini. Hasil pemerhatian awal saya;

- Suasana pengajian di sini seperti di Masjid Alazhar, ada banyak kelas pengajian.
- Sebahagian kelas punyai ikatan yang sangat erat. Seolah-olah punyai jadual, mursyid dan pendokong atau murid yang tersendiri.
- Juga punyai marhalah. Bagi yang baru dan lama. Kitab kecil dan kitab besar.
- Durasi setiap kelas sekitar setengah jam, satu jam dan satu jam setengah.
- Meraikan semua golongan. Dari yang baru nak kenal Islam seperti muallaf sehinggalah yang ingin mahir ilmu maqosid atau ilmu alat.
- Amalan zikir juga sangat subur di sini.
Zikir selepas solat fardhu dialun beramai-ramai oleh Tok-tok guru, pelajar dan masyarakat.
- Kitab tasawwuf seperti Pelita
Penuntut -ta'lim muta'allim- menjadi kitab mesti belajar di sini.
- Walaupun undang-undang dan perlaksanaannya tidak terlalu ketat. Namun mungkin atas dasar minat dan  pilihan sendiri untuk belajar di pondok. Disiplin, akhlak dan adab pelajar begitu baik. Budaya khidmat terhadap Guru, membantu melancarkan perjalanan pondok, membimbing pelajar baru dan ringan tulang bergotong-royong   juga sangat subur.

- Tiada makanan disediakan bagi kami yang tinggal di asrama wakaf. Jadi saya lebih suka masak sendiri. Adapun kalau ingin beli di kedai, mungkinlah sekali sekala. Sebab harganya boleh tahan juga. Kebiasaan teman-teman saya hanya membeli lauk di luar dan menanak nasi di bilik.

6. Dalam diam sebenarnya saya semakin seronok berada di sini. Namun saya masih belum berpuas hati dengan jadual kelas yang ada. Banyak lagi rasanya kelas-kelas yang saya tidak ketemu seperti yang bersifat khususi di pondok-pondok atau yang kurang hebahannya disebabkan tidak sesuai untuk semua pelajar.

7. Doakan saya teman-teman. Setakat ini saya baru tertarik dengan dua kelas. Doakan saya dapat ambil istifadah yang maksimum dari Pondok Pasir Tumbuh ini.

8. Hari ini Jumaat. Hari cuti bagi Negeri Tok Kenali.  Peluang untuk saya melayan hobi menulis. Terima kasih kerana membaca. Wassalam.

Rabu, 21 Januari 2015

Agama itu mudah, jangan dipayahkan




 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



'Bro.. Agama itu mudah, jangan dipayahkan,'

Lama juga bermenung dengan istilah ini. Saya pernah dengar ada Seorang Pak Kiyai dan ramai cendekiawan yang punyai jawapan balas yang ilmiah, berkualiti dan tidak kurang 'perlian kembali' untuk perlian sebegini. Namun sebagai bukan ahlinya, ada benda lain yang bermain di fikiran. Aplikasi Ilmu Agama memayahkan?

1. Pernahkah kita terfikir had minima sesuatu ibadah? Had yang membezakan ianya diiktiraf suatu ibadah atau tidak.

2. Apakah ciri-ciri atau syarat paling minima yang perlu ada;

- Sewaktu Doa Qunut ketika solat subuh? sehingga dengannya, kita dikira telah sempurna atau belum mengerjakan sunat ab'ad tersebut.
- Ketika ruku' dan sujud, yang membezakan solat kita sah atau tidak.
- Ketika duduk yang di akhir solat itu, sehingga sahlah ianya diiktiraf sebagai tasyahhud akhir?

3. Apakah ciri minima satu cawan air itu, sehingga layak digelar sebagai air Tea-O? Adakah memadai dengan meletakkan sebutir halus habuk tea, maka ianya layak digelar air tea-O? Dan pastinya kita sangat marah dan terus boikot jika ada restoran yang lakukan sebegini kepada kita.

4. Jika tidak, berapa? dua butir habuk tea? satu sudu? 1/5 cawan? sehingga air berwarna keemasan?

5. Jika berdepan dengan situasi tertinggal rukun di dalam solat. i'tidal atau ruku' contohnya. Apakah yang patut kita buat? Adakah semudah itu kita batalkan solat? Atau adakah cara ini paling tepat?

6. Ilmu Agama bukan memayahkan kita. Bahkan Ilmu Agama mengajar kita cara berfikir. Memilih keputusan yang tepat. Menunjuk jalan ketika kita keliru. Ilmu Agama membantu kita sampai kepada Allah.swa, mengikut tatacara yang betul.

7. Bukan semua istilah sesuai diguna pakai pada semua keadaan dan tempat.

LAGU: ANAK KECIL MAIN API

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



Oleh: Tan Sri Sanusi Junid
 
(Rangkap berikut yang berwarna hitam di dalam lagu ini adalah versi asal yang telah digubah oleh Tan Sri Nordin Kardi. Rangkap yang berwarna unggu ialah tambah yang dibuat tiga kali oleh Allahyarham Dato' Hamdan Sulaiman, YABhgia Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Abdullah Khair. Tambahan ini dibuat mengikut perkembangan masa. Rangkap terakhir bolehlah dipilih antara versi asal atau versi terakhir. Versi asal lagu ini, walaupun siap digubal dalam tahun 1977 hanya diperkenalkan dalam kurus-kursus anjuran BTN. Tambahan yang dibuat oleh Dato' Hamdan ialah di waktu lagu ini hendak diperkenalkan kepada masyarakat Melayu melalui KEMAS di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar di mana Dato' Hamdan bertugas sebagai pegawai seranta. Tambahan kedua oleh Datin Seri Dr. Siti Hasmah dibuat di waktu lagu ini diperkenal kepada UMNO di waktu saya menjadi Setiausaha Agung. Abdullah Khair membuat pindaan dan tambahan ketiga setelah prestasi Barisan Nasional yang paling buruk dalam PRU ke 12)
   
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang


Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri


Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang


Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri


Nenek moyangku menangis
Kenapa kita berdiam diri
Negara tergadai kerana dia lalai
Tak dengar rintihan yang ramai

Air mataku bertabur
Hatiku luka amatnya sedih
Marilah membangun gerakkan yang tidur
Selamatkan bangsa dan negeri

Janganlah kita main api
Teruslah negeri yang disayangi
Warisan dah lemas marilah bertega
Minta pemimpin undur diri

Melayu bangsa yang dihina
Bukan salah yang mempercayai
Manusia berkuasa sampai tak sedar diri
Kabullah do'a kami Ya Rabbi

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara


Atau

Kita sudah tiada masa
Marilah berjuang bersama
Janganlah lalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Malaysia
Melayu kan gagah di Nusantara

SAJAK: MELAYU MUDAH LUPA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya terpencil
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa

Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah

Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah

Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai.

Deklamasi: Tun Dr.Mahathir (Ketika ini Perdana Menteri Malaysia)


Sumber

SAJAK: PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله




Oleh: Tun Dr. Mahathir Mohamad
 
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian.
Di manakah silapnya?sehingga bangsa ku berasa kecil dan rendah diri.Apakah angkara penjajah lalu bangsaku mulai melupakan kegemilanagn silam membina empayar.

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.

– Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)


Sumber:
Blog Tan Sri Sanusi Junid dan
http://unity.my/2013/02/27/puisi-tun-dr-mahathir-perjuangan-belum-selesai/