Jumaat, 16 Januari 2015

Belajar Menyebut AKU TIDAK TAHU



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Belajar Menyebut AKU TIDAK TAHU;

1. Antara perkara paling bimbang nak buat, ialah dengar ceramah Agama di Televisyen. Lebih khusus, yang menyentuh hukum-hakam mengikut lunas Mazhab Syafie. Mazhab yang kita amalkan di Malaysia. Perasaan ini tidak akan wujud jika yang menyampaikannya Habib Ali Zainal Abidin Alhamid, Dr.Zulkifli Mohd Albakri atau dari Mufti-mufti.

2. Sangat gementar nak dengar. Bimbang dari mana datangnya sumber hukum tersebut.

3. Adakah ianya diambil dari kalam Ulama' atau dari Kitab mu'tabar. Atau semata-mata berdasar Ijtihad sendiri. Apatah lagi oleh yang belum cukup syarat menjadi Mujtahid.

4. Antara pesan yang selalu diungkapkan Habib Ahmad Almaqdi;

"Belajarlah menyebut AKU TIDAK TAHU. Sepertimana kamu belajar menyebut AKU TAHU. "

5. Rasa tidak tahu adalah anugerah. Membuatkan kita lebih gigih untuk belajar dan terus belajar. Banyak kali kita lihat dengan mata kita sendiri. Seorang Ulama yang diiktiraf Fuqaha' (Pakar Ilmu Fiqh) menyatakan AKU TIDAK TAHU bila disoal beberapa persoalan. Walhal beliau seorang Pakar yang dihormati. Belajarlah dari sikap Ulama' ini.

6. Matan 'Safinatun Naja' yang disusun oleh Syeikh Salim bin Sumair Alhadrami adalah antara matan asas bagi membantu kita mempelajari Pendapat Muktamad bagi Fiqh Mazhab Syafie. Kebiasaannya Ustaz Uwais Alqarni Abdul Wahab (Nama kami hampir sama, tapi individu berbeza) akan menggunakan Kitab Nailu Raja' yang disusun oleh Syeikh Ahmad bin Omar AsSyatiri sebagai syarahnya.

7. Kitab Matan Safinatun Naja ada dijual di Kedai Buku Ayah Ngah. Berdekatan SK Batu Tiga, Kuantan.

8. Mari kita rebut peluang ini. Antara tempat yang terbaik melahirkan individu yang mahir dalam Ilmu Fiqh bermazhab Syafie adalah di Hadramaut Yaman. Walaupun mungkin bukan rezeki kita mendalaminya di sana. Dapat menimba dan bertalaqqi ilmu dari ahlinya sahaja sudah amat-amat bertuah.

9. Seronok bila tahu apa yang kita lakukan di dalam ibadah. Khususnya ketika solat. Memang telah diberitahu di dalam kitab. Nak ambil hukum terus dari Al-quran dan Hadith? Sabarlah dahulu.... Orang tua-tua selalu pesan;

"Pelan-pelan(Perlahan-perlahan) "