Isnin, 5 Januari 2015

Betulkah Sistem Mazhab Nafikan peranan Alquran?



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Analogi Matematik, Sains, Add Math dan Fizik;

1. Semasa kita bersekolah dahulu. Semasa di peringkat pra belajar mengira. Kita akan diajar dengan mata pelajaran Matematik terlebih dahulu. Kemudian semakin meningkat tahun. Silibus kita mula menyentuh subjek Add Math dan Fizik.

2. Kita percaya. Silibus ini dirangka bagi memudahkan pelajar mendaki tangga Ilmu mengira. Cuba bayangkan jika pengetahuan asas dalam Matematik dan Sains menengah rendah juga pelajar tidak kuasai. Bagaimana pelajar mampu selesaikan masalah-masalah rumit yang terdapat di dalam Add Math dan Fizik di menengah atas.

3. Jadi, dakian tangga perlu dibina. Step by step. Agar akal pelajar dapat tangkap apa yang dipelajari sekarang dan boleh gunakan untuk faham pelajaran akan datang. Begitulah, semakin hari maka pelajar itu akan semakin meningkat dakiannya.

4. Begitu jugalah dengan mempelajari Ilmu Agama. Kita fokuskan kepada Feqah.

5. Bila dilihat pada hirarki seorang muslim. Di dalam Ilmu Usul Fiqh telah dibincangkan dengan jelas masalah ini. Di dalam matan Alwaraqat karangan Imamul Haramain Al-Juwaini juga ada. Beza antara seorang Muqallid dan Mujtahid.

6. Bagaimana mungkin seorang yang baru masuk Islam boleh menjatuhkan hukum. Kerana untuk punyai kebolehan tersebut, ia perlu mahir dan menguasai beberapa perkara. Kerana itu, ulama telah membina tangga-tangganya. Step-step yang perlu dilalui.

7. Kerana itu. Antara perkara asas yang akan diterangkan kepada seorang pelajar yang mengikuti Majlis Pengajian Agama baik yang mengikut method Al-Azhar atau Hadramaut Yaman. Tidak kira di mana mereka berada (Untuk institusi pondok dan yang lain tidak tahu bagaimana). Adalah step-step tersebut. Apa fokus pembelajaran dan autoriti dimiliki di peringkat Mubtadieen, Mutawassiteen, Muntahi. Sebelum seterusnya naik ke peringkat Mujtahid atau lebih tinggi Mujtahid Mutlaq.

8. Kerana itu, jika ada yang mengatakan sistem Mazhab seolah-olah menafikan peranan Al-Quran dan Hadith. Atau ianya menghalang akal untuk berfikir, maka perlu berfikir kembali. Kerana bukan sahaja mazhab itu berpandu Alquran dan Hadith, bahkan sistem mazhab jugalah yang memelihara Agama Islam dengan memberikan autoriti fatwa dan Ijtihad hanya kepada mereka yang pakar dan layak.

9. Bukan semua yang sudah menguasai tambah, tolak, bahagi dan campur mampu menyelesaikan masalah Kuadratik di dalam Add Math. Namun bukanlah bermaksud tidak boleh. Cuma buat waktu sekarang, bukan masanya lagi.

Wallahua'lam