بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله
Kenapa ISIS terlalu Sempurna?
Kini isu ISIS telah mula menjadi dendangan. Pelbagai kemungkinan boleh diteka. Baik ianya mungkin satu lagi lakonan ciptaan Zionis Amerika, bertujuan memburukkan gerakan Islam atau Mujahideen yang berjuang. Mungkin juga sebuah pertubuhan yang dijadikan kambing hitam oleh media, sebagai tiket menjayakan suatu agenda tersembunyi. Atau boleh jadi juga memang ISIS sendiri merupakan sebuah pertubuhan yang ber-oreantasikan keganasan. Wallahua'lam.. Hanya Allah sebaik-baik pelindung.
Namun, walau apapun alasannya. Bagi saya Cara Penonjolan ISIS ini terlalu sempurna;
Saya pernah cuba memuat naik sekitar enam buah klip video di Youtube. Semua klip video yang menceritakan tentang kesakitan, penderitaan dan kemusnahan Rakyat Palestin berjaya di muat naik. Namun video yang memaparkan kehebatan Briged Al-Qassam dan betapa lemahnya Israel gagal di muat naik. Pihak Youtube menghantar mesej kepada akaun saya, menyatakan klip video tersebut tidak sesuai dengan syarat mereka. Pelik bukan? Dari situ saya mulai yakin. Pihak Youtube atau Zionis tidak bimbang video-video ganas mereka ditayangkan. Kerana secara psikologinya baik berita itu pro atau kontra, ia tetap berjaya menonjolkan kehebatan Zionis. Juga menghadirkan rasa gentar di pihak musuh serta melonjakkan motivasi mereka.
Namun jika ada video yang menayangkan mereka lemah. Psikologinya mereka sudah kalah. Ramai pihak akan mulai rasa berani untuk ganyang mereka. Juga melemahkan motivasi tentera dan kaum keluarga mereka.
Rasa yakin saya ini dikuatkan lagi, dengan laporan yang telah di muat naik oleh Facebook Aman Palestin. Tentang Akaun Facebook mereka yang sering bermasalah seolah-olah sengaja disekat.
Saya pernah menggunakan gambar profil Facebook yang berupa screenshot kepada suatu berita. Yang boleh menaikkan semangat orang ramai bagi menentang Zionis. Berita itu berbahasa Inggeris. Hasilnya, screenshot itu langsung tidak terlihat kepada umum. Gambar yang ada di profil hanyalah gambar saya sebelum ini.
Anda nampak permainannya di situ bukan?
Persoalan yang sering berlegar difikiran. Kenapakah ISIS terlalu sempurna publisitinya?
Bukan semua perkara kita boleh tangani. Namun amat sayang jika ada perkara yang boleh kita tangani, namun kita abaikan. Contohnya Fahaman Ekstreem di Malaysia.
Istilah Ekstreem
Istilah ekstreem sebenarnya boleh juga terpalit kepada kita. Tidak kira bermazhab Syafie-Maliki-Hambali ataupun Hanafi. Tidak terhad hanya kepada Sahabat Wahhabi dan Ahbash. Bilamana kita memaksa dan memeras orang ramai untuk mengikut mazhab dan pendapat kita. Pendapat lain, yang walaupun dari Ulama Muktabar dan dipersetujui oleh ramai Ulama, dikira semua salah.
Bermula dari sikap sebeginilah maka akan lahir masyarakat yang suka bergaduh, berkasar, menghina dan merendah-rendahkan maruah saudara se-Islam yang tidak sama pandangan. Lebih memburukkan keadaan, bila mereka yang suka bergaduh ini dibantu pula oleh pengaruh politik. Lebih teruk lagi, bila sampai sanggup berbunuhan dan mengangkat senjata hanya kerana terlalu ingin manusia mengikut pendapatnya.
Hilanglah segala kasih sayang dan hormat-menghormati hanya kerana perbezaan ini. Walhal ini bukanlah budaya Rakyat Malaysia dan Dunia Islam yang kita impikan.
Pendekatan Orang Tengah
Sebenarnya kita di Malaysia punyai senjata rahsia. Kita amat bagus dan berpengalaman dari sudut diplomasi dan meraikan kepelbagaian ragam manusia. Walaupun masih kelihatan ada sedikit lopong-lopong di beberapa tempat. Namun kita tetap dikira berjaya menangai perbezaan agama, bangsa, budaya dan ideologi dengan baik sekali. Pencapaian Malaysia ini jauh lebih baik berbanding sebahagian negara-negara lain. Jadi, perkara menangani masalah percakaran ideologi Agama sebegini tidaklah terlalu besar bagi kita. Namun tetap perlu diurus dengan baik.
Dalam keadaan sebegini. Bagi mengelak situasi menjadi lebih gawat khususnya di Malaysia. Kita perlu pandang jauh ke depan dalam bertindak, khususnya oleh Jabatan Agama Islam dan mufti-mufti.
Sebagai langkah selamat dari percakaran mazhab. Khusus buat masyarakat awam. Standard Of Procedure (SOP) terhadap pembelajaran agama perlu kembali dikemaskini. Kekalkan rujukan sedia ada yang telah disepakati zaman-berzaman. Jika tidak silap saya. Perkara ini juga sebenarnya telah digazet oleh JAKIM.
Dengan menjadikan Mazhab Syafie sebagai akar amalan di Malaysia. Kemudian Mazhab Abu Hassan Al-Asyaari dan Abu Mansur Al-Maturidi sebagai asas bagi Mazhab Aqidah. Hanya ruang lingkup ini dibenarkan diajar secara terbuka kepada masyarakat awam. Namun pengajaran terhadap Mazhab lain seperti Hanafi, Syafie, Maliki dan Hambali tetap boleh diajarkan, namun secara tertutup.Bila kita kembali kepada asas ini. Maka bibit-bibit pergaduhan dapat kita redakan.
Demi Keselarasan
Tenaga Pengajar Fardhu Ain bagi masjid, surau, kelas kendalian KEMAS, KAFA serta kelas-kelas fardhu ain dewasa perlu dimahirkan dengan kandungan Mazhab. Kursus dan latihan perlu diberi kepada tenaga pengajar. Senarai kitab rujukan perlu dibekalkan. Wujudkan skim-skim pekerjaan yang membantu ke arah ini. Sebagai contoh, Skim Guru Fardhu Ain bagi setiap masjid desa dan daerah. Selain jawatan Imam, Briged dakwah dan Imam Hafiz sebagai contoh jika di Pahang.
Keselarasan penting, bagi menjamin pergaduhan mazhab tidak berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia. Biarlah ianya dibincangkan hanya dikalangan mereka yang berautoriti.
Keselarasan bertujuan mengelak Percakaran sesama Masyarakat, Bukan memusnahkan mana-mana Mazhab.
Sistem Pendidikan
Langkah seterunya. Silibus Agama Islam bagi Sekolah Menengah dan rendah perlu dirombak kembali mengikut acuan ini. Aspek Fiqh dan Aqidah perlu selari dengan amalan masyarakat Malaysia. Elakkan dari memasukkan silibus yang bakal mencetuskan polemik pergaduhan dalam masyarakat. Silibus Fiqh Muqorran dari Al-Azhar mungkin boleh diserap di dalam silibus kita, agar pelajar lebih menghormati kepelbagaian mazhab yang ada.
Dan seterusnya, halatuju pendidikan selepas SPM, STAM dan Diploma perlu kembali dipantau. Kerana jika diselidiki, inilah antara punca utama kepada percakaran mazhab yang berlaku di Malaysia sekarang. Setiap pelajar yang ke luar negara, akan membawa balik ideologi yang diperolehi dari tempat mereka belajar. Kemudian menyebarkan kepada masyarakat Malaysia. Walaupun ianya bertentangan dengan Mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Jadi inilah antara PUNCA UTAMA perbalahan antara penyokong dan penentang tercetus di masjid-masjid kita.
Perhatikan, masalah ini tidak timbul pada mereka yang benar-benar belajar dari kulit ke kulit. Perhatikan pada pendapat mereka yang sangat mu'tadil (adil). Misalannya Dr.Zulkifli Mohd Albakri. Boleh dikatakan beliau ikuti kesemua aliran di dunia. Beliau belajar di KUSZA, aliran Pondok, Madinah, Syria dan belajar juga dengan Ulama Al-Azhar. Beliau dilihat antara Ilmuan harapan yang boleh merapatkan jurang-jurang di Malaysia. Kesemua aliran menghormatinya. Kenapa beliau seorang? Sebab beliau bukan sahaja faham dan ikuti semua aliran. Bahkan beliau juga menguasai semua aliran tersebut. Belajar dari 'kulit ke kulit' istilahnya.
Justeru. Jangan sia-siakan kelebihan yang kita ada. Khususnya pengalaman kita Rakyat Malaysia yang telah lama hidup di dalam kepelbagaian. Mudah-mudahan Malaysia kekal menjadi negara yang Aman dan dirahmati Allah.