Isnin, 21 Jun 2010

Tesis: Hukum Dakwah


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله




PENGENALAN KEPADA DAKWAH




Definisi Dakwah


Perkataan dakwah berasal daripada bahasa Arab yang mempunyai beberapa pengertian. Antara pengertian dakwah dalam Bahasa Arab yang paling menonjol ialah meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan melaung. Mengikut pengistilahan ahli dakwah, perkataan tersbut atau yang asalnya Dakwah Islamiah mempunyai maknanya yang tersendiri.

Muhammad Al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah;

Sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.



Dr. Yusuf al-Qaradawi pula memberi definisi dakwah sebagai;

Usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri daripada segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan berjihad pada jalan-Nya.


Adam Abdullah al-Aluri pula menjelaskan bahawa;

Dakwah ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi menyelamankan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus kedalamnya.


Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa;

Yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain kepada Allah dengan cara-cara tertentu.


Kesimpulan
Daripada pengertian dakwah yang telah dijelaskan oleh beberapa orang tokoh di atas, satu kesimpulan dapat dibuat iaitu dakwah ialah usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan dengan pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredaan Allah.

Dalam Alquran terdapat banyak ayat yang menerangkan pengertian dakwah yang dimaksudkan itu. Antara ayat-ayat tersebut adalah sebagaimana berikut:

1.
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِين َ



Mafhumnya:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.




2.
لِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ فَلاَ يُنَازِعُنَّكَ فِي الأَمْرِ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيم
ٍ

Mafhumnya:
Bagi tiap-tiap umat telah kami tetapkan syariat tertentu yang mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah engkau dalam urusan (syariat) ini dan serulah kepada (agama) Tuhanmu. Sesungguhnya kamu mudah-mudahan berada pada jalan yang lurus.


3.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِين
َ

Mafhumnya:
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata; sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.


4.
وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمْ الْكِتَابَ يَفْرَحُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمِنْ الأَحْزَابِ مَنْ يُنكِرُ بَعْضَهُ قُلْ إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ وَلاَ أُشْرِكَ بِهِ إِلَيْهِ أَدْعُو وَإِلَيْهِ مَآب


Mafhumnya:
Orang-orang yang telah kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu, dan di antara golongan-golongan yang bersekutu ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah, sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Dia. Hanya kepada-Nya aku menyeru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali.


Kesimpulan
Keempat-empat ayat tersebut memberi pengertian yang sama tentang dakwah, iaitu usaha membawa manusia kepada agama Allah.

Daripada pengenalan tentang dakwah ini dapat difahami bahawa dakwah itu bukan semata-mata laungan yang tidak menentu, tetapi ia merupakan satu seruan yang terancang. Dakwah bukanlah semata-mata mengajar ilmu yang diturunkan melalui wahyu atau selalu disebutkan ilmu agama, tetapi juga mengandungi ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah kehidupan manusia di dunia ini.

Dakwah bukan semata-mata mengajak manusia kepada agama Allah, tetapi ia mestilah disertakan dengan uslub dan tatacara yang baik bagi mempengaruhi orang yang diajak itu. Dakwah bukanlah bererti agama itu sendiri, tetapi usaha untuk membawa manusia kepada agama itu. Tegasnya, dakwah itu ialah usaha-usaha yang dirancang dengan baik bertujuan untuk membawa manusia supaya mengetahui tujuan hidup bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.



Hukum Berdakwah

Setiap kali persoalan hukum melaksanakan dakwah dimainkan, maka akan kelihatanlah ramai diantara umat Islam serta golongan huffaz khususnya yang masih tidak mengetahui secara pasti, apakah ianya Sunat ataupun fardu, baik fardu ain mahupun fardu kifayah.

Dikalangan ulama-ulama yang muktabar juga berlaku perbezaan pendapat berkenaan hal ini. Pebezaan ini timbul lantaran tiada ketetapan yang jelas baik daripada Alquran mahupun hadis bagi memperincikan akan hukum ini. Dengan sebab itu, wujudlah satu golongan yang menyatakan hukum berdakwah itu fardu ain dan golongan kedua pula menyatakan ianya fardu kifayah. Walau bagaimanapun, kedua-dua golongan ini mempunyai hujah tersendiri bagi menyokong pendapat masing-masing.



Golongan pertama:


Antara hujah golongan ini ialah berdasarkan firman Allah sebagaimana berikut:

Firman Allah s.w.t :
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ




Mafhumnya:
Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.


Menurut golongan ini, kalimah di antara kamu (مِنْكُمْ) dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa perintah ayat tersebut ditujukan kepada sebahagian daripada orang Islam sahaja.



Al-Qurtubi menyatakan;
Menyuruh dan mencegah mungkar itu fardu kifayah. Al-Shawkani pula menjelaskan; perintah tersebut khusus kepada ahli ilmu yang mengetahui tentang apa yang ditegah dan apa yang disuruh.


Firman Allah s.w.t:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
.


Mafhumnya:
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajarkan kaum mereka (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga”.

Sewaktu mentafsirkan ayat tersebut, Al-Qurtubi menjelaskan bahawa;
Jihad itu fardu kifayah bukan fardu ain, kerana ada orang yang dimestikan keluar berjihad dan ada orang yang dimestikan belajar mendalami ilmu.


Firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ لاَ يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُون َ



Mafhumnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri tidak mendapat hidayah petunjuk. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) bagi apa yang kamu telah lakukan.

Ayat di atas menyeru orang Islam supaya menjaga diri dari melakukan maksiat. Ayat ini juga menerangkan bahawa orang-orang yang sesat itu tidak boleh berbuat apa-apa terhadap orang yang telah diberikan hidayah.


Berdasarkan dalil daripada ayat-ayat al-Quran di atas, golongan ini membuat kesimpulan bahawa dakwah tidak diwajibkan kepada semua orang, dengan itu ia fardu kifayah sahaja.





Golongan kedua:

Sementara golongan kedua pula berpendapat dakwah itu fardu ain. Bagi mereka, pendapat tersebut adalah berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan qias.

Antara hujah golongan ini ialah berdasarkan dalil-dalil yang dipetik daripada al-Quran serta hadis sebagaimana berikut:
1.
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنْ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ
لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ


Mafhumnya:
Wahai Rasulullah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka (bermakna) tidaklah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kajahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum kafir.


Menghuraikan ayat ini al-Sayyid Nawfal menjelaskan;
Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. ditaklifkan dengan tugas menyampaikan agama Allah, maka umatnya juga ditaklifkan dengan tugas itu. Nabi s.a.w. adalah contoh yang mesti diikuti oleh umatnya.


2.

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِين
َ


Mafhumnya:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.


3.
وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِين
َ

Mafhumnya:
Dan serulah manusia kepada (agama) Tuhanmu; dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang menyertai orang-orang musyrik.

Berdasarkan dua ayat di atas, golongan kedua ini memberi hujah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan secara khusus supaya berdakwah. Maka orang Islam juga diperintahkan supaya melaksanakan tanggungjawab tersebut, kerana ia tidak termasuk ke dalam perkara yang khusus bagi Nabi s.a.w. sahaja.


4.
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللهِ
َ


Mafhumnya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah…

Ayat ini menjelaskan dua perkara; pertama, tentang umat Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan sebaik-baik umat dan kedua, tentang tugas umat ini, iaitu menyuruh makruf dan menegah mungkar. Dakwah adalah perkara yang mula-mula sekali termasuk ke dalam tugas tersebut.

5.
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ. كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
.


Maksudnya:
Orang-orang kafir Yahudi dan Bani Israel telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.

Ayat tersebut, antara lain menjelaskan bahawa di antara sebab Bani Israel dilaknat dahulu ialah kerana mereka tidak bersikap menegah kemungkaran dan kedosaan yang berlaku di hadapan mereka.


Berdasarkan ayat-ayat yang telah disebutkan, golongan ini mengambil kesimpulan bahawa dakwah adalah satu tuntutan besar yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam , kerana ayat-ayat tersebut menyeru setiap orang Islam berbuat demikian.
Dalil-dalil hadis adalah seperti berikut:


1.
Mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang hadir itu hendaklah menyampaikan kepada orang-orang yang tidak hadir. Boleh jadi, orang yang hadir itu menyampaikan perkhabaran dari Nabi s.a.w. kepada orang yang lebih sedar daripadanya sendiri”.


Hadis di atas dengan jelas memerintahkan sesiapa sahaja yang mengetahui tentang agama ini supaya memberitahu kepada orang lain. Bagaimanapun, “tidak mengetahui” tidak boleh menjadi alasan untuk tidak berdakwah, kerana Islam mewajibkan setiap orang Islam belajar.

2.
Mafhumnya: “Sampaikanlah dari aku kepada sesiapa, walaupun satu ayat (sedikit), dan beritahulah sesiapa mengenai keburukan Bani Israel tanpa rasa berat. Barangsiapa membohongi ke atas aku dengan sengaja, maka bersedialah untuk masuk neraka.”


Hadis tersebut dengan jelas menerangkan bahawa walau bagaimana sedikit pun pengetahuan agama yang dipelajari oleh seseorang itu, ia perlu disampaikan pula kepada orang lain.

3.
Mafhumnya: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah (menghapuskan) dengan tangannya. Jika dia tidak berkuasa berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya (mulutnya). Jika dengan itu juga dia tidak berkuasa, maka hendaklah dengan hatinya. Tetapi, itu merupakan selemah-lemah iman”.


Dalam mentafsirkan hadis tersebut, al- Qurtubi menjelaskan bahawa;
menyuruh makruf dengan menggunakan tangan (kekuasaan) mesti dilakukan oleh pemerintah, dengan lidah oleh ulama, sedangkan dengan hati sahaja oleh orang awam yang bersikap lemah.

Tafsiran tersebut menunjukkan bahawa menegah kemungkaran itu mesti dilakukan oleh setiap orang, mengikut kemampuan masing-masing, walaupun dengan hatinya sahaja. Ia juga menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak berbuat demikian, akan terlepas dari ikatan iman.


4.
Maksudnya: “Berjuanglah menentang orang-orang musyrik dengan harta benda kamu, tangan kamu dan lidah kamu (mulut kamu).”


Hadis tersebut menunjukkan bahawa setiap orang Islam mesti berjihad melawan orang-orang musyrik dengan harta benda, kekuasaan dam mulut.

Daripada hadis-hadis yang telah dikemukakan, dapat disimpulkan bahawa perintah yang tersebut dalam hadis-hadis itu terkena ke atas semua orang Islam, tanpa kecuali. Dengan itu, setiap orang mesti melaksanakan tanggungjawab tersebut mengikut kemampuan masing-masing.

Dalil lain, iaitu qiyas berdasarkan satu kaedah yang maksudnya:

Jika sesuatu perkara yang wajib itu tidak dapat dilakukan kerana ia bergantung kepada benda lain, maka benda lain itu juga menjadi wajib disempurnakan, jika benda itu di dalam lingkungan kekuasaan tabiat manusia.


Kaedah tersebut dipadankan dengan dakwah, iaitu segala dasar, peraturan dan kewajipan yang terdapat di dalam Islam wajib dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh setiap orang Islam. Namun, untuk melaksanakan perkara-perkara tersebut mestilah didahulukan dengan dakwah. Dengan yang demikian, menjadi kewajipan kepada setap orang melakukan dakwah.



Penilaian Hujah

Daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua golongan bagi menentukan hukum berdakwah, didapati bahawa hujah-hujah daripada golongan pertama masih banyak boleh diperbincangkan. Ayat-ayat Alquran yang dikemukakan oleh golongan ini untuk dijadikan hujah pendapat mereka adalah tidak tepat.

Hujah pertama,
iaitu Surah Ali Imran ayat 104 yang dibawa untuk menjadi dalil bahawa dakwah itu tertentu kepada sesetengah golongan sahaja, tidak membawa maksud yang muktamad ke arah itu. Terjemahan pada satu perkataan yang terdapat di dalam ayat tersebut, iaitu (مِنْكُمْ) dengan maksud daripada kamu adalah tidak tepat. Memang tidak dinafikan bahawa ulama tafsir yang menterjemahkan demikian. Contohnya, al-Shawkani yang menyebut bahawa tugas dakwah adalah tertentu kepada ahli-ahli ilmu sahaja. Tetapi ada sesetengah ulama yang tidak berpendapat demikian.
Mengikut Muhammad ‘Abduh (1849-1905);

Perkataan (مِنْكُمْ) bukan bererti daripada kamu. Bahkan ianya sebagai satu tambahan bagi menjelaskan perintah selepasnya. Dengan yang demikian, perintah dalam ayat tersebut, iaitu tanggungjawab dakwah adalah atas semua orang. Ia tidak terkhusus kepada sesuatu golongan sahaja. Bandingannya sebagaimana penjelasan Allah dalam Surah al-‘Asr dan Surah al-Maidah (ayat 78-79), yang maksudnya ditujukan kepada umum.


Berdasarkan pendapat seperti di atas, al-Sayyid Nawfal menjelaskan , ayat tersebut bererti:

“Dan hendaklah kamu semua, wahai orang-orang Islam! Menjadi satu golongan yang menyeru kepada kebaikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah..”


Hujah kedua, iaitu Surah al-Taubah (ayat 122), yang dibawa sebagai dalil bahawa dakwah itu tertentu kepada golongan ahli ilmu atau orang-orang yang belajar tentang Islam sahaja tidaklah dapat diterima.

Kalau dilihat dengan teliti, ayat tersebut tidaklah menunjukkan bahawa dakwah itu ditentukan kepada golongan ahli ilmu sahaja. Ini kerana berjihad itu merupakan sebahagian daripada kerja-kerja Islam atau laluan dakwah, atau lebih tepat dikatakan kemuncak dakwah. Dengan yang demikian, jihad merupakan salah satu daripada cara berdakwah, khususnya pada masa Nabi s.a.w. kerana Perang Badar (2H), Perang Uhud (3H), Perang ahzab (5H), pembukaan Mekah (8H) dan lain-lain merupakan perang yang mempunyaI motif dakwah.

Dr. Muhyuddin Abdul Halim menjelaskan;
Sesiapa sahaja yang sedar tidak boleh mengingkari peranan yang jelas yang dimainkan oleh jihad di dalam dakwah. Peperangan-peperangan yang berlaku pada masa Nabi s.a.w. merupakan sebesar-besar unsur kepada perkembangan Islam. Perang dalam pembukaan kawasan yang berdasarkan Islam merupakan laluan kepada dakwah Islamiah.

Oleh itu, ayat tersebut menuntut sebahagian umat Islam supaya keluar berperang manakala sebahagian yang lain pula mendalami ilmu supaya dapat diajar kepada orang yang terpaksa keluar berperang. Dari sini dapat dilihat bahawa semua orang mesti bekerja untuk kepentingan Islam.

Cukup jelas bahawa ayat tersebut tidak melepaskan tuntutan dakwah terhadap sesetengah golongan sahaja. Malahan, ia juga menunjukkan bahawa telah wujud kepelbagaian kerja di dalam dakwah mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Hujah ketiga, iaitu Surah al-Maidah, ayat 105 yang dibawa untuk menjadi dalil bahawa usaha dakwah tidak diperlukan bagi membawa orang yang lain kepada hidayah Allah, setelah dia diberikan hidayah itu; hujah ini diertikan bahawa taklif dakwah tidak ada bagi seseorang yang telah diberikan hidayah.

Ibn Majah (207H.-273H) telah menyebut bahawa;
Abu Bakar al-Siddiq sendiri menolak kefahaman seperti itu dari ayat tersebut.

Dari huraian-huraian yang dijelaskan, dapat dibuat kesimpulan bahawa percanggahan pentafsiran di kalangan ulama wujud dengan ketaranya pada dalil-dalil yang dibawa oleh golongan pertama untuk menentukn hukum dakwah. Dengan yang demikian, pendapat golongan pertama yang didasarkan di atas hujah-hujah tersebut adalah tidak kukuh. Bagi golongan kedua pula, selain daripada kepelbagaian sumber hukum yang dibawa adalah jelas dan tepat. Maka, pendapat yang mengatakan dakwah itu fardu ain mengikut kemampuan masing-masing adalah lebih tepat.




Fardu Kifayah dan Fardu Ain

Setelah diteliti segala hujah yang dikemukakan, dapatlah difahami bahawa dakwah itu satu tuntutan yang terlalu besar. Ia mempunyai hubung kait yang rapat dengan matlamat diciptakan manusia. Kalaulah matlamat dijadikan manusia adalah untuk beribadat atau perhambaan diri kepada Allah, maka dakwah merupakan saluran untuk memperjelaskan matlamat tersebut kepada sasaran. Atas alasan inilah dakwah Islamiah merupakan pokok dalam kehidupan orang Islam. Dengan itu, hukum dakwah bukan setakat fardu ain atau fardu kifayah, malah lebih daripada itu.



Al-Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa;
Baginya tidak ada halangan unuk dikatakan bahawa hukum dakwah itu kedua-duanya sekali, iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Dakwah itu fardu ain, kerana setiap orang Islam diwajibkan menjelas serta mengemukakan kepada orang yang masih jahil tentang pengajaran asas di dalam Islam yang menjadi fardu ain kepada setiap orang, kerana orang yang jahil tentangnya terdapat dimana-mana. Di samping itu, ia juga menjadi fardu kifayah , kerana keperluan menyediakan golongan tertentu di kalangan orang Islam untuk lebih dipertanggungjawabkan ke atas mereka dalam urusan dakwah.


Muhammad Abu Zahrah mengemukakan pendapat yang sama. Beliau membuat kesimpulan bahawa;
Apabila melihat kepada usaha dan tenaga yang telah dicurahkan oleh para sahabat dan tabi’in yang masing-masing mengambil bahagian dengan sepenuhnya terhadap usaha dakwah, maka dapatlah difahami bahawa dakwah itu hukumnya fardu ain. Di samping itu, ianya menjadi fardu kifayah bagi mewujudkan Jamaah Islamiah yang istiqamah berdakwah. Dengan itu, hukum dakwah bagi setiap insan ialah kedua-duanya sekali.


Muhammad ‘Abduh membahagikan dakwah kepada dua bahagian;
Iaitu dakwah kepada seluruh manusia dan dakwah kepada orang Islam. Dakwah bahagian kedua ini terbahagi pula kepada bentuk umum dan bentuk khusus. Dakwah bentuk khusus ialah dengan cara nasihat-menasihati antar satu sama lain, sama-sama menolong untuk kebaikan dan sama-sama menegah kemungkaran. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama, tanpa mengira si alim atau si jahil.


Manakala ‘Abd al-Karim zaydan pula menjelaskan bahawa kewajipan dakwah ke atas seseorang itu ada dua peringkat. Pertama, peringkat perseorangan yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam, berdasarkan dia itu orang Islam. Kedua, peringkat berjamaah, berdasarkan dia itu menjadi anggota kepada jamaah dakwah.


Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan, dapatlah disimpulkan bahawa tanggungjawab dakwah adalah terlalu besar. Ianya bukan sekadar FARDHU AIN bahkan juga FARDHU KIFAYAH buat seluruh umat Islam untuk membentuk suatu kumpulan yang benar-komited menjalankannya secara tersusun dan istiqamah, bergantung terhadap kemampuan masing-masing. Dakwah bukan setakat ceramah agama, tetapi usaha-usaha yang disusun dengan baik untuk mengubah fikiran, sikap dan tabiat manusia supaya selaras dengan kehendak Allah dan rasul-Nya.

[Sumber Tesis akhir Pakwan: Bertajuk 'Dakwah dalam kalangan Huffaz']








Pakwan: Noktah kaki tidak saya sertakan sekali.., Anda perlu "teliti" sebaik mungkin jika mahu copy & paste... khusus pada baris Ayat Al-Quran, Artikel ini juga sudah tidak berapa sesuai untuk dibuat tesis lantaran telah di edit, Untuk dapatkan soft copy.. Boleh email kepada saya wank947@yahoo.com / Facebook.....wassalam