Sabtu, 25 Jun 2011

Belajar di Universiti Al-Azhar Mesir


بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله والصلاة والسلام على رسولله



Ruang dalam Masjid Alazhar


Iringan nasihat
(Kata-kata dan Uslub diedit bagi menjaga sensitiviti pemberi)

Nasihat 1
"Ingat betul-betul kata saya ini..
sebaik sahaja tiba di airport cairo nanti, berpusu-pusu orang pelajar akan menyambut kamu, diorang akan hurung kamu macam hurung lalat. Dalam seminggu dua itu, diorang akan layan kamu bagai menatang minyak yang penuh. Susah diorang tolong, naik teksi/bas diorang pun diorang akan bayarkan, silap-silap haribulan makan pun diorang akan suapkan. Namun, semua itu bukan percuma, tunggulah tidak lama selepas itu, mereka akan datang hampir kepada kamu dan mengajak kamu menyertai kumpulan mereka, kalau tak caya.. kamu tengoklah nanti" Kata-kata seorang senior.

Nasihat 2
"Kamu percayalah cakap saya ni..
dekat sana diorang bukan nak belajar sangat pun. Tapi kalau pasal persatuan lain pula, huih.. memang semangat sungguh. Tapi belajar entah kemana, Kamu boleh bayangkan? Waktu kulliah boleh dibuatnya aktiviti-aktiviti persatuan. Ingat, nanti kalau dapat sampai ke Mesir, jangan duduk sekali dengan Orang Melayu. Biar duduk dengan bangsa lain. Baru boleh belajar dan praktis Bahasa Arab..." Nasihat seorang sahabat.

Nasihat 3
" Abang tak tipu kamu,
Budak-budak kat sana memang lain sikit semangatnya tentang persatuan ni. Kita nak pergi ke sana sebab nak menuntut Ilmu dan Belajar, jadi tumpu kepada belajar. Tapi jangan pula kamu nampakkan sangat kontranya. Kita kena pandai, kalau tidak,  diorang akan pulaukan kamu nanti.." Ingatan dari seorang teman.

Nasihat 4
"Susah nak cakaplah Din,
Kerajaan memang takleh nak salahkan geng-geng Persatuan ni coz terlalu kuat berpolitik, masalahnya Kelab UMNO pun ada kat sana. Pokoknya jati diri ko kena kuat lah, itu jep yang aku dapat cakap." Nasihat Mamat kepada saya.

Amacam.. 
Kata-kata ini saya petik daripada nasihat kenalan-kenalan kepada saya,
Sebelum bertolak ke Mesir dahulu,
Hampir 98% nasihat yang saya dengar di Malaysia dahulu adalah negatif. 

Pastinya
Kata-kata ini juga biasa anda dengari sebelum berlepas ke Mesir bukan?
khususnya bagi pelajar tajaan Kerajaan.

Konklusi: 
Datang dan lihat sendiri baru anda akan faham. Justeru soalan ini jawapannya adalah subjektif. Bukan ada hitam putih. Kembali kepada 'stigma pemikiran' si pemberi nasihat. Elakkan dari membuat konklusi awal. Kadangkala disebabkan ideologi, perkara kecil jadi besar. Jika tak dapat datang??.. Dengar daripada "Pelbagai" Sumber.

Kehidupan Ilmu
Majlis Ilmu adalah antara Harta Karun di Bumi Anbia' ini,
Tidak kiralah matlamat kita ke sini atas apa sekalipun,

Baik sekadar mendapat 'Ijazah University',
Pengalaman, arahan keluarga, mahupun terpengaruh dengan
....Fahri  -Ayat-Ayat Cinta,
....Abdullah Khairul Azam  -Ketika Cinta Bertasbih ,

Mahupun ingin selamatkan diri dari kehidupan remaja sosial di Malaysia.. Dengan duduk di bawah 'Biah Solehah' (Pergaulan Islamik) yang dibentuk oleh PMRAM (Persatuan Pelajar). 
....Maka Kita semestinya tidakkan lari daripada tempias 'Didikan Ulama Mesir'..

Majlis-majlis Ilmu
Antara Majlis llmu yang sangat-sangat saya suka, Ialah Majlis Tafaqquh (Belajar FIQH). Setiap perkataan di Kitab, sebenarnya sangat-sangat penting. Ulama' kita di sini akan terang secara menyeluruh. Dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil hukum,
Sebetulnya, Inilah kali pertama dalam hidup saya. Diajar Belajar untuk llmu bukan Sijil semata-mata,

Di sini, kita boleh hadiri berpuluh-puluh Kelas Pengajian Ilmu,
Pilih sendiri mana-mana kelas yang kita suka. Dalam pelbagai disiplin Ilmu, 
Merangkumi Qiraat, Tafsir, Hadith, Fiqah dan banyak lagi.
Pastinya anda tidak diajar Seorang Ustaz biasa, Tetapi guru Yang "Ahli",

Kita akan didedahkan dengan Kefahaman Ulama-ulama hebat silam,
Perihal sesuatu nas, Melalui kitab-kitab yang mereka tulis atau susun,
Proses belajar itu mestilah melalui Guru, Bukan sahaja membaca,
Jika tidak, Akan banyak wujud salah faham, dan terus membuatkan kita silap faham,

Cara faham Kitab Arab tidak seperti faham Kitab Melayu,
Cara belajar Ilmu Agama juga tidak sama belajar Ilmu Dunia,
....Kerana Ilmu2 Agama itu di nuqil (dipindah) dari dada-dada Ulama',
....Bukan kita yang wujud atau adakan sendiri..

Waktu kelas juga banyak..
Hampir setiap waktu, Baik Sebelum atau selepas selesai Solat,
Ada juga yang tidak mengira waktu, Contohnya Talaqqi Al-Quran
Namun seperti yang saya katakan tadi.. itupun jika kita mahu(^^,),
Kelas-kelas yang pengantarnya Bahasa Melayu juga banyak..
Dibuat oleh Ustaz-ustaz Senior Yang Alim..
Khususnya dari Indonesia, Malaysia, Thailand dan Kemboja.

Talaqqi (Bacaan berguru) Alquran
Jika sudah belajar di Malaysia, Itu baru muqaddimah (permulaan sebenarnya),
Pengalaman saya belajar Al-Qur'an, sehingga sampai ke tahap Diploma Tahfiz,
Ikhlas kata, Semua itu hanyalah secubit dari permulaan..

Ya Allah..
sebenarnya memang banyak lagi kesalahan bacaan kita, Namun tidak kita sedari,

Namun percayalah..
di sini kita akan diajar atau dilatih dengan lebih dalam lagi !!

Yupp... ada lagi yang lebih dalam daripada yang kita biasa pelajari di Malaysia(^^,)..
Semuanya akan diajar oleh Syeikh-syeikh yang mahir. Mesir adalah lubuk Ilmu Alquran.

Lebih mengujakan..
bila sanadnya (salasilah bacaan) sampai kepada Rasulullah,
Subhanallah.. kadangkala terasa betapa rendahnya diri ini,

Manhaj Alazhar (Pendekatan)
Jika nak disebut soal 'Manhaj Ilmu' pula,
Manhaj Alazhar khususnya di bawah pimpinan Syeikhul Azhar (Syeikh Ahmad Toyyib.ha). Adalah 'Wasotiyah (pertengahan)',
Tidak terlalu extreem (keras), Taksub dan tidak juga terlalu longgar,

Perbezaan Pendapat
Ikhtilaf Antara para Ulama' dalam memahami nas Al-Quran dan Hadith. Ianya patut kita hormat dan tangani dengan Bijaksana. Apatah lagi mereka berijtihad (buat keputusan) berdasarkan Ilmu mereka yang menggunung, Jangan disebabkan dua Gajah bergaduh,
...Pelanduk pula yang mati ditengah-tengah

Graduan AlAzhar 
anti Kerajaan ??
Tidak dapat lari, persoalan ini sering berlegar dibenak fikiran ramai pihak,
Khususnya bagi agensi-agensi yang bakal menaja Pelajar-pelajar ke Mesir,
Namun pandangan saya (Keluarga saya UMNO dan Rakan-rakan saya majoriti PAS),
Hakikatnya isu ini tidaklah terlampau serius, Serta kadangkala disalah anggap,

Pokoknya.. 
Kehidupan Mahasiswa Universiti AlAzhar,
Khususnya Siswa Melayu adalah agak 'terbuka',
Dan mudah "terdedah" dengan angin 'Politik antarabangsa',

Justeru..
Mahasiwa-mahasiswa telah terbiasa untuk menilai setiap Isu secara rasional dan bebas,
Khususnya dalam Politik (topik yang digemari Mahasiswa),
tanpa perlu takut dengan ancaman mana-mana pihak.

Secara peribadi saya suka teman-teman saya cakna soal politik,
Jelas.. Ia mematangkan mereka dan meluaskan sudut pandangan,
Baik menyertai Kelab cenderung PR seperti SUARA atau KELAB UMNO,
Cuma janganlah kerana politik, Kita katakan yang putih itu hitam, Jangan taksub,

Berkait soal peranan Persatuan Pelajar pula..
Saya lebih suka menerima semua yang positif dan menolak semua negatif;
..Adalah tidak adil untuk mengatakan Persatuan Mahasiswa Republik Arab Mesir (PMRAM) itu condong kepada Pembangkang khususnya PAS. Lantaran tiada satupun mesyuarat, seminar mahupun kenyataan-kenyataan bertulis yang menunjukkan PMRAM itu adalah PAS. Persatuan Kebajikan Mahasiswa dimana-mana sahaja perlu adil dan rasional, tidak boleh ditarik hidung oleh orang politik. Persatuan sepatutnya mewakili semua rakyat MALAYSIA di situ.

Jika adapun yang bertindak sebaliknya.. maka sudah pasti ianya bersifat emosi Individu dan tidak berkaitan dengan Induk Persatuan. Saya sendiri tidak setuju persatuan kebajikan dijadikan puppet oleh orang politik. Cumanya kalau Kelab UMNO Luar Negara... itu sudah terang lagi bersuluh sebuah perkaderan politik. Tapi baguslah.. Memang pemimpin negara perlu dibentuk dari awal. Ternanti-nanti juga saya bila Kelab PAS ingin ditubuhkan di Mesir. ISMA dan ABIM sepertinya sangat aktif.

p/s: Saya lihat pihak kedutaan bagus kerana sangat bersungguh membantu masalah pelajar. Termasuk pegawai negeri-negeri. Begitu juga pimpinan pelajar dari PMRAM. Banyak saya lihat dengan mata saya sendiri, pengorbanan mereka membantu masalah pelajar Malaysia di Mesir.

Kehadiran Kulliah
Kehadiran ke Kulliah adalah tidak diwajibkan,
Kecuali untuk beberapa kursus,
Seperti Markaz Bahasa Universiti AlAzhar,
Juga Kulliah Ulum Islamiah dan beberapa tempat lainnya..

Ia..
mungkin itulah antara faktor Mahasiswa liat untuk ke kelas,

Namun harus juga dijadikan motivasi..
Itulah juga antara penyebab kenapa ramai pelajar kita gagal. 

Namun kita kena adil
Al-Azhar bukan sahaja milik kita.. tetapi juga milik Mahasiswa Mesir,
Majoriti dari mereka adalah keluarga yang benar-benar susah dan miskin,
Jika Kulliah itu diwajibkan.. Keluarga mereka mungkin akan kelaparan di Rumah,
Dalam waktu yang sama, Kehendak Dunia Pekerjaan adalah Ijazah, kan susah tu..
Untuk husnuzon (sangka baikkan) hati kita.

Anggaplah mereka termasuk dalam kateori uzur, Lagipun..
mereka sudah khatam kitab Audohu Masalik (Nahu), Al-Ikna'(Fiqh)
Dan banyak lagi kitab-kitab penting, sejak dari bangku sekolah lagi,
Tambahan, Mereka juga tinggal dikelilingi Alim Ulama'.

Pendek kata, bukan semua perkara di dunia ini mampu kita selesaikan,
Justeru mana yang boleh, kita perlu utamakan,

Apakah itu? Menggali dan mengambil manfaat yang ada di Bumi Mesir ini.

Penyelesaian terbaik
Mufti Mesir, Syeikhul Azhar dan Ulama' Al-Azhar banyak adakan kelas,
Bertempat di Masjid Al-Azhar, Masjid persendirian dan Rumah-rumah,
Dari sinilah pelajar-pelajar melayu dan antarabangsa memperkemaskan lagi Ilmu,
Semua Ilmu akan diajar dari Kulit ke kulit, Tanpa main langkah-langkah tajuk,

 
Membuat Permohonan Belajar
di Universiti Al-Azhar As-Syarif
Bagi Rakyat Malaysia, ada beberapa cara untuk menempatkan diri di Universiti AlAzhar; ...




Pertamanya STAM; 
Hanya ada beberapa sekolah di Malaysia yang menawarkan tempat untuk menduduki STAM. Namun tiada masalah jika anda ingin mengambilnya atas tiket Calon Persendirian. Anda boleh merujuk Pejabat Pendidikan yang berhampiran. Cuma satu perkara yang anda perlu maklum;

Sijil STAM hanya boleh diguna pakai tidak lebih dua tahun mengikut Syarat KPT dan tiga tahun mengikut syarat Universiti Alazhar.

Keduanya Sek Men AlAzhar (Booth AlAzhar); 
Akan ada suatu Peperiksaan bagi memastikan anda layak berada di kelas mana. Paling kurang anda akan ditempatkan di Booth selama dua tahun sebelum melangkah ke Universiti AlAzhar,


Antara Agensi yang menguruskan dari Malaysia adalah: http://syihabtravel.blogspot.my/2015/11/sekolah-antarabangsa-al-azhar-markaz.html


Ketiganya Diploma Tahfiz JAKIM (Sijil2 yang sama taraf); 
Mahasiswa Qiraat pula rasanya tiada masalah. Lantaran cabarannya agak kurang kerana saluran untuk ke Maahad Al-Azhar banyak di Malaysia.  Selebihnya saya tidak pasti. Justeru sekarang mua'dalah (MOU) antara Universiti bersama Kolej-kolej luar memang telah dibatalkan.



Keempatnya TANPA SEBARANG SIJIL; 
Dengan memasuki Markaz Bahasa Arab (Markaz Nil). Semua Orang pun boleh datang dan memohon. Walau apapun  latar belakang pendidikan, Dari lulusan Sek Men Keb, UITM, MMU, Makcik yang baru pencen dan Ustaz-ustaz yang masih minat nak belajar. Semua boleh sertai. Dengarnya sijil di sini diiktiraf sebagai Diploma. Wallahua'lam. Tapi memang sistemnya berkualiti. Markaz ini juga terkenal dalam kalangan pelajar  AlAzhar. Bagi menambahkan lagi pengetahuan Bahasa Arab mereka. 

Bagi saya. Jika anda Nak tinjau-tinjau dahulu Suasana di Mesir,
Atau Nak bercuti sambil belajar. Atau Nak tambah Ilmu tapi tak mahu lama-lama,
Jalan yang ke empat Inilah antara cara terbaik untuk anda berada di Mesir,
Untuk maklumat lebih lanjut berkait Markaz Bahasa Arab ini. Boleh pergi ke alamat: http://www.syihabtravel.com/p/blog-page_2.html


Kelimanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM);
Saya letakkan ini yang terakhir. Kerana ini program baru. Iaitu Ijazah Sarjana Muda Ulum Islamiah (jika tidak silap namanya). Berita baiknya. Berdasarkan pemerhatian rawak. Jurusan ini antara jurusan paling mudah nak lulus di Alazhar. Selain jurusan ini mengkhususkan kepada pelajar antarabangsa. 

Namun begitu, berbeza dengan yuran jurusan lain yang murah dan hampir-hampir free. Jurusan lain sekitar Le100 (RM50.00) lebih kurang setahun atau kurang lagi. Namun yuran bagi Kulliah Ulum Islamiah sekitar USD1000 (RM3000.00) setahun lebih kuranglah. Terdapat 5 tahun sesi pengajian. Jika nak dibanding dengan kursus lain di Alazhar memanglah mahal. Sebab Alazhar sudah terbiasa dengan yuran hampir percuma. Harta wakaf yang banyak lagi. Namun jika nak dibanding dengan yuran-yuran IPT di Malaysia. Rasanya memang amat-amat murah.

Dari pemerhatian sayalah. Jika jurusan lain. Walaupun bersepah yang mumtaz ketika STAM, ramai yang kelihatan berusaha bersungguh-sungguh. Tapi peratusan yang lulus dan mampu untuk naik tahun sangat-sangat kurang. Adakala daripada beratus-ratus pelajar yang mendaftar bagi satu negeri. Hanya 3-4 orang lelaki dan 6-7 orang perempuan sahaja yang mampu lulus peperiksaan dan naik tahun. Alazhar ini pelik sedikit susahnya. Kerana bila diselidiki mereka yang sangkut di Alazhar, kemudian mengambil keputusan menyambung di IPT di Malaysia. Boleh pula lulus. Malah boleh skor mumtaz lagi. Di Alazhar ini, tiada caring mark. Semata-mata bergantung kepada peperiksaan. Soalannya mungkin hanya 3-4 soalan. Tapi yang penting bagaimana anda mampu atau tidak menjawab.

Justeru cadangan. Jika anda berkemampuan, masuklah Jurusan Ulum Islamiah. Ianya dikhabarkan lebih mudah untuk lulus dan skor. Jadi kebarangkalian untuk lulus itu tinggi. Sebab jika anda nak grade dengan masa sekitar 4 tahun tepat, melalui jurusan Syariah Walqonun, Qiraat Tanta, Lughah, Usuluddin. Ianya amat-amat sukar. Walaupun bukan juga mustahil.

Boleh rujuk alamat di bawah untuk lanjutan:

Bercakap Soal tua-tua nak belajar..
Boleh ke lagi.. Rasa dah macam nak semput jep
Otak berat nak belajar?
Oklah.. Tak perlu setkan minda untuk tuntut Ilmu pun,
Apa yang anda suka? Sukakan kerja praktikal? sukakan seni?
Jika saya.. saya suka create 'Projek', Bisnes, Program atau Planning,

Kemudian saya akan enjoy dengan memahaminya sebaik mungkin
dan bekerja sungguh-sungguh bagi memastikan ianya berjaya.

Justeru.. saya jadikan menuntut Ilmu juga seperti itu,
Saya bukan datang Majlis Ilmu kerana nak Ilmu/Belajar,
Kerana istilah-istilah itu akan "memberatkan" kepala saya...

Saya hanya hadir Majlis itu dengan hati yang santai,
dan untuk Faham akan topik perbincangan, sama seperti saya faham kertas kerja.
Saya cuba fahami topik-topik Ilmu seperti saya fahami 'flow' tentatif Program..

Bertanya bila semacam ada sesuatu yang saya tidak fahami..
sama seperti saya 'persoal' sesuatu yang nampak 'tidak jelas' di dalam mesyuarat.
Nah.. ianya membuatkan saya benar-benar enjoy dengan 'Projek' baru saya..
Anda juga boleh mencubanya(^^,).... Itupun jika anda mahu.

Kisah Seorang Teman
Saya punyai seorang teman satu Kulliah.. yang datang ke sini selepas SPM,
Umurnya ketika itu adalah 17 tahun, apa yang menariknya..
Sahabat ini adalah lepasan Sek Men Keb biasa (tiada sijil STAM),

Jadi, dia terpaksa menghabiskan Booth AlAzhar selama enam tahun, bermula daripada tingkatan satu. Lantaran tiada asas Bahasa Arab, boleh anda hitung umurnya sekarang?

Namun atas dasar minat yang sangat mendalam..
Dia nekad mengharungi tempoh masa tersebut
& sekarang sama-sama berada di tahun satu Kulliah bersama teman-teman yang baru sampai.
Namun Ilmunya Masya Allah, cukup-cukup hebat. Besar hikmahnya bukan(^^,)


Suasana Biah Solehah
Antara perkara yang membuatkan saya suka belajar di Mesir,
Di sini Biah Solehahnya (Pergaulan) terjaga. Tiada ruang untuk pergaulan bebas,
Pihak Persatuan amat menitik beratkan masalah ini,
Kadangkala dalam seminggu itu, hanya beberapa kali sahaja bertembung muslimah melayu,

Perempuan ini ibarat tombak bagi lelaki,
Rawatan terbaiknya adalah tidak berjumpa terus,
Jadi fokus hati kita kepada belajar akan terjaga,


Halaqah Berkelompok
Lagi satu ilmu hidup, yang banyak saya belajar dari sini,
Sikap persatuan dan pelajar, yang amat mengambil berat akan diri kita,
Pantang sakit, eksiden, poket kosong, dirompak atau alami masalah peribadi,
Budaya ambil berat dan suka menolong sangat mekar di Mesir ini,

Tidak hanya kebajikan. Malah juga ibadah,
Jika lama tidak turun solat berjemaah,
Maka akan adalah naqib yang menghantar mesej ingatan,
Sikap cakna yang jarang jumpa ditempat lain,

Saya rasa mungkin dari faktor inilah. Ramai yang tersalah sangka dengan JK persatuan.
Saya di sini hanyalah pelajar biasa. Tidak terlalu aktif dan tidak terlalu pasif melibatkan diri dengan aktiviti persatuan. Tambahan, saya jenis yang jarang lekat di rumah atau asrama. Namun secara peribadi, saya amat menghormati dan menghargai mereka. Banyak pengorbanan dari mereka terhadap pelajar yang saya terlihat di depan mata sendiri.
Justeru, bila difikir komen 98% yang negatif yang saya dengar dan ada saya catatkan di awal tadi. Saya lebih suka menganggapnya sebagai salah faham.

Sekian sahaja  
Untuk gambaran yang lebih jelas. Berbual-buallah dengan Pelajar-pelajar Al-Azhar, Cuma ingat satu perkara. Dengar dari segenap penjuru. Baru kita faham,

Nak lebih faham. Datang sendiri ke Mesir. Pergi sendiri ke Majlis Ilmu di sini,
Dengan Niat yang betul. I'Allah Allah akan tunjukkan kita jalan terbaiknya.





Pakwan:
Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan padanya..
Allah akan beri Kefahaman yang mendalam soal Agama Islam..