Isnin, 13 Ogos 2018

Ds.Najib menyelamatkan Malaysia 2008-2009

Sebagai permulaan. saya kongsikan laporan mengenai keadaan ekonomi Malaysia pada bulan Mei 2009 yang mungkin sudah dilupakan atau ada yang masih terlalu muda untuk mengetahuinya.
----
27 Mei 2009 - Ekonomi Malaysia menguncup lebih teruk berbanding unjuran sebelumnya apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2009 berada di paras -6.2 berbanding 7.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu berikutan krisis semasa ekonomi dunia terus berlarutan.

Ini adalah penguncupan KDNK terburuk sejak suku keempat 1998 apabila ekonomi Malaysia terjerumus dalam kemelesetan ketika krisis kewangan Asia. KDNK pada waktu itu adalah -8.1 peratus

Keadaan semasa ini menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan negara berdepan dengan kemelesetan yang teruk.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata krisis ekonomi global itu telah menyebabkan kemerosotan ketara dalam permintaan ekoran kemelesetan ekonomi yang teruk di negara-negara maju.

Pelaburan tetap juga menyusut ekoran sentimen perniagaan yang lemah namun perbelanjaan awam telah menyokong pertumbuhan.

Kecuali sektor pembinaan, semua sektor ekonomi juga terjejas dengan sektor pembuatan mencatatkan penurunan besar sebanyak 17.6 peratus khususnya dalam industri berorientasikan eksport sebanyak 23.1 peratus dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) menjunam sebanyak 41.1 peratus.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0528&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
----
Apabila saya mengambil alih sebagai Menteri Kewangan pada bulan  Oktober 2008 dan Perdana Menteri pada bulan April 2009, Malaysia berada di ambang kemungkinan terjebak dalam krisis ekonomi kerana dunia sedang berada dalam krisis ekonomi yang paling teruk sejak tahun 1930an.

Pada masa itu, kemelesatan ekonomi sangat teruk. Hampir kesemua sektor ekonomi negara mengalami penurunan yang besar.

Ramai yang meramal bahawa krisis tahun 2009 akan jauh lebih teruk daripada krisis ekonomi Malaysia tahun 1998.

Walaupun baru mengambil alih negara ketika itu, saya terus berusaha untuk menyelamatkan keadaan.

Lalu, kerajaan saya melaksanakan dua pakej ransangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

Alhamdulillah, lanjutan usaha ini, Malaysia berjaya diselamatkan dari terjerumus ke dalam krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah.

Tetapi ekoran langkah-langkah rangsangan yang diambil untuk menyelamatkan negara, nisbah hutang berbanding KDNK pada 2009, meningkat 11 peratus. Nisbah ini terus naik sedikit lagi untuk tahun 2010 dan 2011 kerana pakej rangsangan masih diperlukan dalam mendepani kemeseletan ekonomi dunia.

(Dengan kawalan ketat defisit bajet-bajet seterusnya, nisbah hutang ini juga dapat diturunkan pada tahun-tahun kebelakangan ini kepada tahap 50.8% pada akhir tahun 2017 dan tidak setinggi jika dibanding dengan sejarah.)

Susulan pakej ransangan yang aktif untuk beberapa tahun dan dasar transformasi negara yang komprehensif dan tersusun, Malaysia menikmati kadar pertumbuhan ekonomi yang sihat dan antara tertinggi di dunia sepanjang 9 tahun ini.

Semenjak peningkatan nisbah hutang yang tinggi pada tahun 2009-2011, kerajaan BN dan saya terus dikecam kononnya mahu memufliskan negara walaupun ianya ialah untuk menyelamatkan negara dan kita tidak terjatuh ke dalam krisis yang lebih teruk dari tahun 1998 di mana sistem perbankan dan industri kita hampir lumpuh sepenuhnya.

Mungkin kerana, kerajaan saya dan saya tidak pandai untuk kuat menghebohkan usaha kita pada masa itu seperti Perdana Menteri pada tahun 1998 yang sering membangkitkan usaha beliau untuk menyelamatkan negara dari Perdana Menteri tahun 1997, maka kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu tentang keadaan ekonomi pada tahun 2008-2009.

Lanjutan itu, saya berterusan dikecam kerana menaikkan hutang negara walhal kita berjaya menyelamatkan negara dari krisis ekonomi yang mungkin lebih teruk dari tahun 1998.

Kepentingan utama saya pada masa itu dan selama saya menjadi Perdana Menteri ialah untuk menjaga ekonomi dan negara tetapi malangnya, kita tidak dapat menangkis serangan propaganda yang berjaya memesong pemikiran rakyat dari apa yang sebenarnya berlaku.