Sabtu, 8 September 2018

Kekalahan BN 2018 bertitik mula dari krisis Mahathir-Anwar 1999

UMNO selalu menang PRU sejak 60 tahun lepas. Namun akhirnya kalah pada pilihanraya kali ini. Namun bagiku, Ds.Najib bukanlah penyebab utamanya. Cuba flash back tahun-tahun sebelumnya, UMNO sentiasa kuat. Sehinggalah kes pergeseran antara Tun Mahathir dan Ds.Anwar. Dan natijahnya  pilihanraya tahun 1999. Barisan Alternatif yang di luapkan oleh kes Anwar semakin berjaya meratah BN. Keputusan yang sangat buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.  Malah Terengganu juga telah dapat kepada PAS.

Tahun demi tahun, sentimen anti-Mahathir semakin kuat. Rakyat dilihat semakin lantang menentang kerajaan. Gelombang kebencian merata-rata. Malah istilah mahafiraun tidak asing bagi kita. Kerajaan BN dikihat seperti raksasa yang ganas. Melihatkan prestasi BN ketika itu, tidak mustahil BN akan cedera parah jika berlaku pilihanraya berikutnya.

Namun siapa sangka. Keputusan besar telah dibuat ketika itu. Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatan nya, dan digantikan Pak Lah.

Suatu titik garis utama, yang menyebabkan UMNO dipandang buruk telah dipadam. Dengan naiknya Pak Lah, seorang yang terkenal dengan jolokan Mr.Nice Man. Maka BN kembali disokong rakyat. Justeru pada PRU 2004, UMNO telah menang besar, malah terbesar dalam sejarah sejak 1978. Imej Islamik dan pembawakan sopan Pak Lah memukau ramai pihak. Malah Kelantan juga hampir-hampir dirampas BN. Bayangkan tsunami biru boleh melanda kubu kuat PAS.

Namun pada pilihanraya 2008, BN mengalami kegagalan besar. Malah melebihi PRU 1969 dan 1999. Walau menang PRU tersebut. Namun BN gagal dari sudut nak  mengatasi atau sekurangnya menyamai rekod terdahulu. Bagiku Pak Lah sudah cukup baik. Cuma jentera propagandanya sangat lemah untuk menangkis serangan. Budak tingkat empat (pinjam ayat Tun Mahathir) mungkin masih mentah untuk berdepan perang saraf politik. Menjadikan BN hampir kalah dalam PRU ini. Banyak perkara tidak dapat ditangkis dan banyak kebaikan tidak berjaya ditonjol. Dan sudah pasti, kekuatan pembangkang yang diresap roh Anwar telah mula berkembang biak antara penyumbang utamanya. 

Seterusnya pilihanraya 2013. Ketika ini BN di pimpin Ds.Najib. Namun Pakatan Rakyat ketika ini sudah dipuncak prestasi. Mereka sudah sangat kuat. Hasilnya BN menang tipis. Ds.Najib mula dirosakkan imejnya. Tuduhan demi tuduhan dilempar. Yang peliknya ramai boleh percayakan si penuduh, walhal saban hari beliau kalah dalam saman fitnah di mahkamah. Nampak tak? Ini bukan lagi soal betul atau salah. Ini soal nak jatuhkan BN yang dah lama berkuasa.

Dan akhirnya 2018. BN akhirnya tewas.

Berdasarkan kronologi di atas. Maka kita akan dapati. Krisis Mahathir-Anwar 1999 antara penyebab utama UMNO semakin melemah. Pergeseran yang menyebabkan UMNO berpecah kepada dua. Satu kekal dan satu lagi menubuhkan PKR. Malah kekuatan PH sekarang jika diperhati, ditunjang oleh bekas ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan UMNO. Persoalannya, UMNO waktu bila? Maka semua maklum ianya berputik pasca 1999. Adapun zaman selepasnya, bukanlah benci yang qot'ie, namun lebih kepada sekadar meneruskan rasa benci itu. Ibarat sakit kena penampar, sakit masa kena. Adapun aduhan selepas itu bukan sebab sakit di pipi tapi sebab sakit di hati. Justeru walaupun yang dibenci adalah pimpinan sebelumnya. Namun bahananya kena pada Pak Lah yang super duper lembut dan Ds.Najib yang super duper liberal (dalam konteks kebebasan bersuara).

Malah Pak Lah dan Ds.Najib adakala dilihat terlalu berikan kebebasan pula,  sehingga pembangkang berjaya dengan fitnah demi fitnahnya. Zaman mereka berdua UMNO langsung tidak dipandang sebagai Pemangsa yang Brutal. Bahkan jika diisbatkan kepada hal Memali, isu mata lebam, isu kroni, isu ISA, isu keganasan terhadap pendemonstrasi. Maka semuanya akan menumpukan mata kepada zaman sebelum mereka berdua iaitu zaman Tun Mahathir.

Tambahan. UMNO semakin kehilangan pemimpin muda berbakat yang lari dan seterusnya mendokong agenda Reformasi dibawa Anwar. UMNO juga kehilangan sokongan dari NGO Islam, sebelum ini ABIM antara tonggaknya. Ditambah dengan pelbagai faktor lain, dari kalah kepada persepsi, kalah perang propaganda, rakyat sudah boring lama sangat bersama UMNO, strategi PH  yang menjadi, sokongan padu Cina. Menjadikan BN kalah besar kali ini.

Dan paling kelakar. Individu yang asalnya dulu, merekalah yang asyik berperang iaitu Mahathir-Anwar. Boleh pula duduk dalam satu kenderaan. Mahathir--Anwar. Namun salute kepada Anwar yang boleh hold-kan perasaannya, walaupun dah kena bermacam-macam ujian, dan hasilnya terbentuklah kerajaan PH, menang bergaya dalam PRU 14. Malah lebih ajaib mengangkat Tun Mahathir sebagai PM semula. Sesuatu yang mungkin 18 tahun dulu kita langsung tak jangka.