Rabu, 25 Mac 2020

23 tahun dulu.

23 tahun dulu. Kami pernah kehilangan seseorang yang amat kami sayang. 20 Mac 1996, bersamaan 30 Syawal 1416h, Abang Zie pergi menghadap ilahi.
.
Nama abangku Ahmad Tarmizi bin Abdul Rahman. Rahimahullahu Taala. Saat itu, telefon tiada lagi. Jadi kami memang tak tahu apa-apa. Sehinggalah dua ayah saudaraku -Yong dan Ayah Sid- datang. Ketika itu dalam lepas maghrib atau Isya.
.
Sebelum tu. Petang, dalam lepas asar. Aku bermain-main di ruang tamu. Sesekali jenguk ke dapur. Sebab di dapur Abi beria memasak. Kata Abi, sebelum keluar rumah tadi. Abang ada bagitau, nak makan ayam masak merah.
.
Semuanya terhenti saat Yong dan Ayah Sid datang bawa berita. Katanya Abang eksiden motor di Kg.Salong, bersama rakannya Abang Ayie. Abang Ayie dimasukkan ke icu manakala Abang meninggal.
.
Mie tak kuat. Jadi Mie minta dipanggilkan kakak angkatnya Bonda Zah, untuk datang temankannya. Teringat lagi, malam tu aku temankan Mie dalam bilik tidur. Sementara, orang berpusu-pusu datang ke bilik tersebut, untuk bertemu dengan Mie.
.
Malam tu jenazah Abang sampai. Naik land rover biru polis. Tak silap, Makcik Nab -ibu saudaraku- yang iring jenazah abang. Masa tu Makcik Nab  masih lagi jururawat di Hospital Pekan. Aku hanya memerhati dari tingkap bilik. Umur Abang masa tu dalam 17-18 tahun. Sedang tunggu SPM jika tak silap. Aku pula baru 8 tahun. Masih tak terlalu menjiwai rasa kehilangan. Namun, waktu cuba baringkan diri, tiba-tiba ada satu 'rasa' hadir. Mungkin itulah yang orang kata, 'rasa sedih'.
.
Esoknya. Orang sudah ramai di perkarangan rumah. Aku pula sentiasa mengekori Abi. Abi yang aku kenal dulu, seorang yang kental. Namun, waktu itulah kali pertama aku lihat, Abi mengesat air matanya.
.
Hari-hari berikutnya. Rutin di rumah bertukar 180°. Malam kami tak dibenarkan lagi menonton TV. Ruang tamu bersebelah bilik abang sudah tidak diusik. Kami hanya gunakan pintu dapur, untuk keluar masuk rumah. Mie langsung tak boleh lalu kubur Abang. Mie tak kuat. Jadi kalau nak balik ke Kg.Belimbing, yang jaraknya hanya 15 minit, kami terpaksa pusing ikut Simpang, Paya Bungor, Lepar Banjir, Pelak dan baru ke Belimbing. Jaraknya bertukar jadi 1 jam 30 minit lebih kurang. Tapi Mie dah jarang balik Kg.Belimbing selepas daripada tu.
.
10-14 tahun terawal begitu suram. Rasanya dalam sekali dua je kami ke ruang tamu. Kami lebih banyak habiskan masa di dapur. Selang beberapa tahun, kami berpindah ke rumah FELCRA dan seterusnya, bila Abi bersara. Kami pindah ke Sungai Isap Kuantan. Seingatku, kalau adapun, sekali sahaja Mie pergi ke rumah lama. Selebihnya, jika ada nak ambil barang. Mie hanya minta Abi, aku atau Adik yang pergi.
.
Baru dalam 10 tahun terakhir ni, Mie kelihatan semakin pulih. Jika dulu, pantang ada perkara yang sensitif, pasti dengan mudah Mie menangis. Sampai aku pernah rasa.  Mie ni mungkin orang yang paling sensitif di dunia. Dulu Mie tak boleh tinggal seorang diri di rumah.
.
Kini. Kami sudah beransur move-on. Walaupun, ingatan kami terhadap Arwah Abang Zi masih tetap sama. Yang ketaranya Mie. Mie dah jadi sangat kental. Walau macam² ujian juga hadir, tapi tak pernah lagi rasanya aku lihat Mie titiskan air mata. Tak tahulah kalau secara sembunyi. Malah, Mie pula yang jadi titik rujukan, tempat orang mengadu bila hadapi masalah. Nasihat dan kalamnya memang lunak di dengar. Sarat dengan tarbiah.
.
Adakala dalam hidup ini. Kita perlu kuat. Bukan sebab kaki kita betul-betul kuat. Tapi sebab kita hamba Allah, yang sarat dengan tanggungjawab.
.
Nabi pernah kehilangan Bapa saudara yang amat nabi kasih Abu Talib. Yang sentiasa melindungi Nabi dari kejahatan Arab Quraish. Nabi pernah kehilangan isteri yang amat Nabi sayang Saidatina Khadijah, yang sentiasa di samping nabi tatkala susah dan senang, tempat nabi berkongsi rasa. Nabi pernah kehilangan semua anak lelakinya, sehingga air matanya pernah mengalir saat menguburkan Ibrahim. Nabi pernah dibaling batu oleh saudara mara sendiri, waktu di Toif. Nabi pernah dihina oleh bapa saudaranya sendiri.
.
Kalaulah Nabi tak teruskan langkah. Kalaulah nabi give-up. Mungkin kita sekarang, masih lagi menganut fahaman Animisme. Menyembah berhala yang takde kuasa.
.
Di dunia ini. Semua benda akan musnah. Termasuk diri kita. Hanya takdir Allah yang menentukan masa dan ketikanya. Dan Maha Pengasihnya Allah. Tiada perpisahan yang abadi. Insha Allah, suatu waktu nanti. Kita akan ketemu semula orang yang kita sayang. Cuma, inilah peluang. Untuk titipkan pahala bacaan al-Quran. Pahala bersedekah. Doa kita. Moga, mereka semua dan kita juga, beroleh bahagia, di akhirat sana.