Rabu, 25 Mac 2020

Guru hantar mesej

Guru hantar mesej. Untuk beri semangat katanya. (Geng pondok jangan baca ye..hehe);
.
.
Secebis kisah yang agak "rare" dalam perjuangan menyiapkan PhD.
.
Alhamdulillah..
Hari ini mencatatkan rekod terpanjang penyeliaan pelajar PhD saya, Amram Dingdorromaeng dari Thailand, iaitu hampir 11 tahun, bermula pada 2008 hingga beliau viva kali kedua hari ini dan lulus dengan pembetulan minor (tertakluk kepada syarat). Pelajar dari Pattani ini menelusuri perjalanan jatuh bangunnya yang tersendiri dalam meneroka alam PhDnya. Ini termasuklah penukaran tajuk dua tiga kali, candidature defense berkali-kali, pemeriksaan dan viva dua kali.
.
Sepanjang perjalanan akademiknya, beliau mengalami pelbagai ujian termasuklah kematian anak dan ditimpa pelbagai penyakit. Beliau tiada biasiswa dan membiayai sendiri pengajiannya dengan wang keringat mengajar al-Quran kepada anak-anak kecil di sekitar kediaman sewanya di Ampang. Beliau terpaksa bercuti dari pengajian untuk beberapa semester bagi menyelesaikan permasalahannya.
.
Tahun lalu, Amram membentangkan hasil kajiannya pada seminar hasil kajian (sebelum penyerahan tesis utk pemeriksaan) dalam keadaan menahan sakit akibat luka-luka di badan bersama baju koyak rabak ekoran kemalangan motorsikal semasa dalam perjalanan ke UM. Kami minta beliau menangguhkan pembentangannya, tetapi beliau berkeras mahu meneruskannya walaupun beliau tidak begitu fit utk pembentangan.
.
Perjalanan akademiknya telah tertulis agak panjang kerana pelbagai cabaran dalaman dan luaran, tetapi ketabahan dan ketahanan mentalnya berjaya mengenepikan semua cabaran itu. Sebagai penyelia yang membimbingnya dari beliau muda belia hingga usianya agak meningkat, saya memahaminya luar dalam dan sentiasa memberikannya pedoman dan menyuntik motivasinya yang kadangkala merudum.
.
Petang tadi setelah sesi viva tamat , beliau menitiskan airmata sebak dan terharu kerana akhirnya halangan terakhir dan terbesar dalam perjalanan ilmunya berjaya diatasinya. Cuma tinggal sedikit pembetulan minor yang perlu dilangsaikannya. Semoga keilmuan beliau menjadi sebahagian aset yg bakal menyumbang kepada pembangunan intelektual bangsa Melayu Pattani nanti.
.
Perjalanan PhD tidak sama antara individu dengan individu lain. Masing-masing merintis jalan perjuangan yang berbeza dan terpaksa merempuh halangan berlainan. Ada yang mudah ada yang payah, malah ada yang terlalu sukar, sehingga ada yang give up dan ada yang meninggal dunia dalam perjuangan. Ia semua taqdir yang telah tersurat dan semuanya ada hikmah yang perlu dipelajari dan disyukuri. Nasib dan perjalanan hidup seseorang tidak sama kerana itu adalah warna warni kehidupan yang lukisannya telah ditentukan.
.
Catatan:
Tajuk tesis beliau: "Ijtihad dalam Pelaksanaan Ibadat: Analisis Terhadap Beberapa Ibadat Terpilih." Kajian beliau menemukan bahawa ibadah-ibadah yang yang dikritik sebagai bid'ah oleh beberapa pihak pada hakikatnya mempunyai asas yang jelas dalam syariat Islam berdasarkan beberapa instrumen ijtihad yang diaplikasi oleh para ulama. Kajian ini merumuskan beberapa aplikasi instrumen ijtihad seperti qiyas, istihsan dan maslahah dalam beberapa ibadah mukhtalaf fiha yang dikaji oleh calon.
.
Terima kasih kepada sidang panel viva yang dipengerusikan oleh PM Dr Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali, TPIT PM Dr Mohd Fauzi Hamat, Wakil Senat Prof Ir Dr Kaharudin Dimyati, KJFU Dr Luqman Hj Abdullah dan barisan pemeriksa Prof Dr Susiknan Azahari (UIN Jogja), PM Toh Puan Dr Nizaita Omar (Unisza) dan Dr Rushdi Ramli (JFU). Tak lupa Pn Zahian Penolong Pendaftar.
.
DSM
24.9.2019