Jumaat, 29 Januari 2016

Alasan aku


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله



1. Alhamdulillah. Pagi ini jadualnya aku perlu sambung tidur. Sebab malam tadi lewat juga aku balik. Borak-borak dengan Anep. Petang nanti dalam pukul 2:00pm aku perlu ke Masjid Negeri pula. Untuk Kursus Haji. Mudah-mudahan kami sekeluarga dipilih oleh Allah, bagi menunaikan Ibadah Haji tahun ini.

2. Insha Allah dalam 19 Febuari nanti. Aku bakal berpindah tempat kerja ke Kuantan pula. Aku pun tengah runsing sekarang ini. Apalah nak bagi alasan kepada pakcik-makcik di Pekan. Mungkin aku gunakan alasan sambung belajar dan dalam masa yang sama buat part-time job.

3. Sebetulnya. Alasan aku berpindah hanya satu. Sebab ibuku. Banyak keputusan dalam hidupku, yang nampak berlawan dengan keinginan dan minat aku. Namun aku memilihnya. Sebenarnya semata-mata kerana memenuhi kehendak ibuku. Kerana itu tanggungjawab aku selaku anak. Mudah-mudahan Allah berkati.

4. Tapi takkanlah aku nak bagi alasan ini. Tidak pasal-pasal ibuku menjadi sasaran tembakan. Kerana itu, alasan sambung belajar mungkin paling sesuai buat diriku.

5. Payah nak buat keputusan. Sebab harapan orang. Bayangan kegigihan pakcik-makcik ini mengaji, kebaikan mereka melayanku, keramahan dan keceriaan mereka. Semuanya membuatkan aku termenung panjang. Sukarnya untuk mengambil keputusan ini.

6. Namun mujurlah aku ada sebab yang malar. Kehendak ibuku. Ini sudah cukup kukuh sebagai asas aku membuat keputusan. Hatta jika terpaksa membuat keputusan bekerja sebagai pengutip sampah MPK atau Pencuci Alam Flora juga, aku akan memilihnya insha Allah, jika itulah kehendak ibuku.

7. Memenuhi kehendak ibu adalah suatu kewajipan. Selagi tidak melanggar batas syariat.

8. Dunia baru aku mungkin lagi mencabar insha Allah. Perlukan aku lebih reaktif dengan persekitaran. Perlu mainkan watak 'grifter' dengan lebih baik. Tapi bila difikir-fikir, itulah aku. Perkara-perkara sebegini sentiasa berlegar sekeliling aku sejak dahulu lagi. Mudah-mudahan aku dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan dunia baru nanti.

9. Sebenarnya ada banyak perkara yang aku nak buat. Target aku untuk tahun 2016 ini. Tapi nantilah aku list-kan. Sebab jam dah menunjukkan pukul 7.30am. Masa semakin suntuk untuk aku tidur.