Jumaat, 22 Januari 2016

Kisah Adab Ustaz Muhadir.ha terhadap Syeikh Nuruddin.ha


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


[ Kisah Adab Ustaz Muhadir.ha terhadap Syeikh Nuruddin.ha ] ;
"........Dan haritu, Syeikh datang ke Maahad An Nur untuk majlis penutup daurah Rejab kami. Malam tu, Ustaz Muhadir dah bagitahu siap-siap. Kalau Syeikh datang, Ustaz tidak akan bercakap dan meneruskan pengajian. Ianya atas dasar hormat dan menjaga adab dengan tuan guru. Syeikh sangat mementingkan adab dan Ustaz sebagai anak murid sangat ingin menjaga adab seperti yang diajarkan oleh gurunya.
Waktu Syeikh datang, Ustaz dan para asatizah yang lain duduk bersama Syeikh di rumah Syeikh. Kami di atas musolla, berqasidah ramai-ramai. Team qasidah UIA yang lead sebab memang mostly peserta daurah ialah pelajar UIA. Dan kemudian Ustaz Muhadir naik. Nampak ketara raut wajah Ustaz sangat kurang selesa dan bingung. Rupanya Syeikh memberi isyarat kepada Ustaz untuk meneruskan pengajian sehingga khatam.
Antara taat dan adab. Ustaz sedang dalam dilema. Sebelum memulakan majlis, Ustaz hanya berdiri. Cuba mencari kekuatan mungkin. Ustaz mengatakan bahawa kalau boleh Ustaz tak nak bercakap apabila guru beliau sudah ada di maahad tersebut. Apabila datangnya air, maka terbatallah tayamum. Tidak berkata-kata yang kecil di hadapan yang besar. Allah.
Ada kalanya Ustaz meraup muka. Seketika kemudian Ustaz membaca doa-doa dan selawat. Kemudian Ustaz seakan menahan tangis. Riddak Ustaz disapu ke muka mengusap air mata dari mengalir. Kami yang menanti sekadar memerhati. Siapa sangka, Allah bakal mengajarkan kami tentang praktikal adab seorang murid kepada gurunya betul-betul di hadapan mata kami pada hari itu.
Apabila Ustaz sudah mula tenang, Ustaz duduk dan bersedia untuk memulakan pengajian. Tapi masih belum bermula, seorang muslimin dipanggil untuk memperlahankan bunyi mikrofon Ustaz. Perlahan dan perlahan lagi. Kemudian, Ustaz meminta Abang Azri ke bawah untuk berdiri di kolam di hadapan rumah Syeikh, untuk menguji apakah kedengaran bunyi mikrofon daripada situ. Setelah Ustaz betul-betul berpuas hati, Ustaz memulakan majlis. Saya terus teringat, malam sebelumnya Ustaz sangat menginginkan supaya suara mikrofon itu dikuatkan supaya sedap kedengaran dan tidak terlalu perlahan. Ustaz memang sukakan bunyi mike yang sedap dan kuat. Tapi, hari ini, adab Ustaz jauh mengalahkan preferences peribadi Ustaz. Ustaz memulakan majlis dan mensayarahkan seperti biasa.
Seketika kemudian, Ustaz Abdullah naik. Ustaz Abdullah merupakan rakan karib Ustaz Muhadir dan mereka sangat rapat dan keduanya adalah merupakan anak murid rapat dengan Syeikh. Ustaz Abdullah yang bertanggungjawab menguruskan daurah dan merupakan mudir Maahad An Nur. Ustaz Lah naik dan kelihatan pelik kerana bunyi mike yang sangat perlahan. Ustaz memberi isyarat menanyakan kepada muslimat di belakang apakah kami mendengar bicara Ustaz Muhadir. Saya menangguk tanda dapat mendengar dengan baik.
Kemudian, Ustaz Lah pergi ke arah sound system dan menguatkan bunyi mike. Ustaz Muhadir meneruskan pengajian tetapi pandangannya jelas memerhatikan tingkah Ustaz Lah. Risau bunyi mike akan dikuatkan dan kedengaran sehingga ke rumah Syeikh. Muka Ustaz Muhadir kelihatan bingung dan takut. Comel. Huhu. Ustaz Lah seperti seorang abang yang tegas dan Ustaz Muhadir seperti adik yang taat. Hehe. Selepas itu, Ustaz Lah turun dan Ustaz Muhadir meneruskan pengajian. Seketika Ustaz Muhadir akan memandang ke arah tangga, barangkali bimbang sekiranya Syeikh naik tanpa diberitahu terlebih dahulu.
Ustaz Lah naik lagi sekali dan menyampaikan sesuatu kepada Ustaz Muhadir. Kata Ustaz Muhadir, Syeikh akan naik untuk menyampaikan tausiyah penutup dalam masa 15 minit lagi. Dalam beberapa minit seterusnya kami mengkhatamkan kitab dan mengemaskan ruang musolla untuk menyambut kedatangan Syeikh. Ustaz Muhadir memberikan taklimat ringkas agar semua menjaga adab dan kemudian sejadah dirapikan, sampah disapu. Menariknya, tempat yang bakal diduduki oleh Syeikh disapu oleh Ustaz sendiri.
Kemudian, Syeikh naik. Ustaz Muhadir sebagai pengacara majlis dan terus sahaja beliau menyerahkan majlis kepada Syeikh tanpa berkata-kata panjang. Sewaktu Syeikh menyampaikan tausiyah, Ustaz Muhadir duduk di sisi kiri Syeikh dan tekun penuh adab mendengar tausiyah Syeikh. Apabila ada keperluan, ustaz harus bangun dan bergerak turun, Ustaz bangun dengan penuh adab, tidak membelakangi Syeikh dan selepas beberapa langkah baru Ustaz melangkah turun. Allah. Tingkah laku yang penuh beradab.
Tamat tausiyah daripada Syeikh, Ustaz cuba mengulas apa yang disampaikan oleh Syeikh. Ustaz berdiri di sebelah kiri Syeikh dan sewaktu Ustaz ingin menceritakan sesuatu, Syeikh memalingkan badan dan muka ke arah Ustaz, memang itulah akhlak Syeikh Nuruddin apabila berkata-kata dengan seseorang, beliau akan memalingkan seluruh badannya menghadap orang tersebut. Syeikh mencontohi akhlak nabawiyyah. Nabi Muhammad SAW juga berbuat sedemikian.
Sebaik sahaja Syeikh memalingkan badannya ke arah Ustaz, Ustaz terdiam. Speechless. Untuk beberapa saat. Ustaz kehilangan kata-kata. Bimbang menyalahi adab berbicara di depan gurunya, barangklai juga risau akan tersalah kata di hadapan seorang alim ulama. Syeikh mengerti dan berpaling menghadap kami di hadapan. Kedengaran esakan daripada Ustaz Muhadir. Allah, Allah. Lembutnya hati Ustaz. Sebegitu sekali adab Ustaz di hadapan gurunya....."
P/s: Biasa kita di Arus Perdana. Mana nak adabnya. Kepala guru pun semua orang nak tunjal-tunjal. Inilah keindahan Adab Dunia Talaqqi. Boleh Jumpa di Pondok (Malaysia, Pattani), Ruwaq (Mesir), Rubath (Yaman).