Isnin, 15 Mei 2017

Jiwa kacau reput

1. Ada sebahagian waktu. Aku berada di suatu kondisi. Mulutku akan cakap lepas, mulut pantas bahan orang, hatiku kering, aku habiskan waktuku dengan tonton cerita. Jiwaku tak tenang.

2. Lalu tindakan pertamaku. Untuk elakkan api dari merebak. Dengan tutup mulut, larikan diri dari manusia, tenangkan fikiran, tarik nafas, beristighfar. Lalu aku cari ceramah-ceramah santai Ustaz Kazim. Yang sarat hikmah dan seni. Aku pasangkan. Biasanya dari simpanan.

3. Perkara sebegini berlaku biasanya bila aku jauh dari 'seni'. Seni yang mampu membasahkan jiwa. Seni yang terhias pada kalam, pada qolam, pada alam.

4. Halaqah tasawwuf. Tutur kata yang indah, ibarat awan putih. Diselaputi langit biru. Pohon hijau beralun. Dibuai angin petang. Rumput luas terbentang. Nyaman berbau alam.

5. Jiwa juga dapat didamaikan, dengan lantunan zikir qasidah. Munsyid mengalun irama. Membuai jiwa mengajak muhasabah. Basah tanah dengan limpahan kasih dan kedamaian. Hanya sayang dan suasana redup semua terasa.

6. Jika jiwa kacau ibarat tanah yang panas kering kontang. Maka jiwa tenang ibarat cuaca yang nyaman dan sejuk.

7. Selagi hayat ada. Selagi itulah ujian perlu ditempuh. Adakala kita panjat. Adakala kita renang, pening, pepah, sentak. Adakala berbentuk kek strawberry keju yang berkalori tinggi. Adakala berbentuk kayu reput.

8. Redho dan bersyukurlah. Kerana yang baik dan buruk. Semuanya datang dari Allah jua. Asbab diri kita yang lemah dan jahil.