Khamis, 29 Januari 2015

Dunia Baruku

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله


Kembali Jumaat
1. Hampir seminggu juga aku berada di sini. Pondok Pasir Tumboh. Sebuah tempat musafir yang baru dua ke tiga bulan bermain di congakan, destinasi pilihan selepas Shoubro. Sebelum ini jika adapun, kebarangkaliannya mungkin hanya 10-20% sahaja untuk aku bermusafir ke pondok. Insha Allah 80-90% lagi aku sangat berharap dapat ke Hadramaut Yaman.

2. Namun Allah.swa sebaik-baik perancang. Akhirnya aku bermusafir juga ke Kota Serambi Makkah ini. Tanah kelahiran bapaku. Jadi perasaanku sekarang;
"Seolah-olah sedang balik kampung.."

3. Ditambah dengan suasana Pondok yang mewajibkan pelajar berkain pelikat dan galakan berserban sambil berjubah atau berbaju melayu. Juga binaan pondok, kedai dan rumah masyarakat  yang berasaskan kayu dan dikelilingi pokok-pokok. Begitu juga suasana kehidupan yang tenang menambahkan buai rasa persis berada di kampung halaman, Kg Seri Makmur atau Kg Belimbing di Pahang.

4. Untuk suasana hidup dan biah ilmu di sini, mungkin saya akan post di lain waktu.

5. Sekarang saya masih sedang mencari rentak di sini. Hasil pemerhatian awal saya;

- Suasana pengajian di sini seperti di Masjid Alazhar, ada banyak kelas pengajian.
- Sebahagian kelas punyai ikatan yang sangat erat. Seolah-olah punyai jadual, mursyid dan pendokong atau murid yang tersendiri.
- Juga punyai marhalah. Bagi yang baru dan lama. Kitab kecil dan kitab besar.
- Durasi setiap kelas sekitar setengah jam, satu jam dan satu jam setengah.
- Meraikan semua golongan. Dari yang baru nak kenal Islam seperti muallaf sehinggalah yang ingin mahir ilmu maqosid atau ilmu alat.
- Amalan zikir juga sangat subur di sini.
Zikir selepas solat fardhu dialun beramai-ramai oleh Tok-tok guru, pelajar dan masyarakat.
- Kitab tasawwuf seperti Pelita
Penuntut -ta'lim muta'allim- menjadi kitab mesti belajar di sini.
- Walaupun undang-undang dan perlaksanaannya tidak terlalu ketat. Namun mungkin atas dasar minat dan  pilihan sendiri untuk belajar di pondok. Disiplin, akhlak dan adab pelajar begitu baik. Budaya khidmat terhadap Guru, membantu melancarkan perjalanan pondok, membimbing pelajar baru dan ringan tulang bergotong-royong   juga sangat subur.

- Tiada makanan disediakan bagi kami yang tinggal di asrama wakaf. Jadi saya lebih suka masak sendiri. Adapun kalau ingin beli di kedai, mungkinlah sekali sekala. Sebab harganya boleh tahan juga. Kebiasaan teman-teman saya hanya membeli lauk di luar dan menanak nasi di bilik.

6. Dalam diam sebenarnya saya semakin seronok berada di sini. Namun saya masih belum berpuas hati dengan jadual kelas yang ada. Banyak lagi rasanya kelas-kelas yang saya tidak ketemu seperti yang bersifat khususi di pondok-pondok atau yang kurang hebahannya disebabkan tidak sesuai untuk semua pelajar.

7. Doakan saya teman-teman. Setakat ini saya baru tertarik dengan dua kelas. Doakan saya dapat ambil istifadah yang maksimum dari Pondok Pasir Tumbuh ini.

8. Hari ini Jumaat. Hari cuti bagi Negeri Tok Kenali.  Peluang untuk saya melayan hobi menulis. Terima kasih kerana membaca. Wassalam.