Ahad, 18 Januari 2015

Fasiliti Malaysia dan Mentaliti Malaysian

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Fasiliti dan Mentaliti;

1. Seronok mendengar kata-kata positif dari jiran tetangga kita melalui klip video di Facebook. Teringat Habiburrahman El Shirazi, yang ada menyelit cerita tentang kemajuan Malaysia, di dalam salah satu novelnya. Tergambar betapa novelis hebat ini begitu cemburu dengan Malaysia.

2. Jika masih ingat salah satu kempen di Facebook Prabowo ketika pilihanraya Indonesia yang lalu. Prabowo ada memetik keberkesanan Tabung Haji dan berhasrat menirunya jika terpilih sebagai Presiden Indonesia. Maka banyaklah komentar dari follower yang komennya nampak tidak suka dengan Malaysia, namun tetap mengagumi dan mengiktiraf kejayaan demi kejayaan Malaysia.

3. Semasa menunaikan Umrah tahun lepas. Bertemu beberapa warga Arab Saudi yang begitu gembira bercerita tentang Malaysia. Seorang pekerja perubatan bersemangat bercerita tentang tempat-tempat menarik yang telah beliau pergi ketika di Malaysia. Seorang pegawai Imegresen juga nyatakan hasrat nya yang sangat ingin ke Malaysia. Dia tidak kisah berapapun kos belanja di Malaysia (Faham-faham gaji mereka yang sangat tinggi. Dengarnya Polis Amar Ma'ruf yang duduk tepi masjid dan bekerja 15hari sebulan pun gaji 10,000 riyal). Mungkin hanya mujammalah. Tapi sifat mana-mana lelaki, payah nak nampak mimik wajah yang bersemangat memuji kalau perkara itu tidak benar.

4. Ketika itu sertai satu muktamar di Kaherah, Mesir. Perihal Palestin. Ketika itu ada dalam 3-4 ahli panel. Semua hebat-hebat. Tidak silap salah seorangnya adalah setiausaha liga arab dan beberapa lagi yang hebat. Termasuk salah seorangnya adalah Tun Mahathir. Seorang demi seorang berucap sehinggalah yang terakhirnya Tun. Namun apa yang sangat mengagumkan. Jika panel yang lain sambutan pendengar hanya biasa-biasa. Namun bila tiba Tun berucap, satu dewan fokus dan serius. Dan sebaik Tun selesai berucap, hampir kesemua warga Arab berdiri dan memberikan tepukan yang sangat gemuruh. Mengagumkan.

5. Seorang teman bercerita (lebih kurang) . Seorang pensyarahnya di Al-Azhar amat memandang tinggi kepada Malaysia. Kata pensyarah itu jika ada kerosakan di rumahnya, dan jika terdapat pilihan juruteknik dari berbilang bangsa, beliau akan pilih Malaysian, disebabkan ketelitiannya. Ketika ingin membeli kereta sebelum itu, beliau sebenarnya lebih memilih Proton berbanding Mitsubishi. Namun kerana pusat servis Proton yang amat jauh dari Kaherah. Beliau memilih juga Mitsubishi.

6. Teringat status di Facebook Ustaz Rosli Jabbar rasanya (jika tidak silap saya). Bilamana memasuki satu kedai di Yaman. Ketika ditanya dari negara mana, lalu dikatakan dari Malaysia, terus keluar dari mulutnya, 'Syeikh Hadi? '. Masyarakat di situ amat memandang tinggi kepada TG Haji Hadi. Disebabkan kebuntuan mencari damai di Yaman suatu ketika (peristiwa sebelum konflik terbaru), maka TG diminta untuk menjadi wakil pendamainya di situ.

7. Namun bila teringat persekitaran Teluk Cempedak di pagi hari minggu yang semak dengan sampah sarap.

Juga persekitaran traffic light yang udah macam pusat perlupusan sampah.

Juga pemandangan di kiri kanan laluan yang dipenuhi sampah sarap ketika menaiki LRT di Kuala Lumpur.

Juga terserempak di depan mata dengan insan yang dengan selambernya buang puntung rokok ke tanah, walhal hanya berselang berapa langkah sahaja lagi dari pintu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, dan tong sampah juga hanya berselang dalam dua tiga jengkal sahaja darinya....


Speechless.