Rabu, 7 Januari 2015

Manfaatkan waktu setelah SPM dan STAM

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله
 
 
Cuba-cuba berkenalan dengan dunia Baru;

Harapannya topik ini tidak terlalu lewat untuk di up-kan. Apatah dengan result SPM dan STAM yang bakal keluar sebulan dua lagi;

1. Kehidupan yang hanya dibarisi tidur, makan, merayau dan menonton televisyen sebenarnya amat-amat membosankan. Satu dua minggu mungkin bolehlah. Namun lama-lama naik tepu juga. Jasad perlu bergerak. "Sesuatu" perlu dibuat. Sayang sekali bila banyak masa yang berlalu, namun tiada Pengalaman dan Ilmu baru yang dapat kita belajar. Masa muda dan kurang tanggungjawab inilah peluang kita untuk 'terjah mana boleh'. trial n error orang kata.

2. Bagi keluaran sekolah menengah tahfiz. Saya ingin berkongsi suatu kisah. Kisah ini diceritakan sendiri oleh teman saya (lebih kurang);

"Bermula dari tingkatan satu teman ini menghafaz Alquran, Alhamdulillah rezekinya dapat khatam hafazan ketika tingkatan empat. Namun kemudian, kerana sibuk dan fokus kepada SPM, maka teman ini tidak dapat mengulang Alquran dengan sempurna. Sebaik selesai SPM. Dalam kepalanya hanya ada dalam 4 juzuk dari 30 juzuk Alquran. Perasaan kecewa menyelubungi teman ini.

Kemudian teman ini nekad. Dia minta izin dari ustaz untuk terus tinggal di madrasah itu sebelum menyambung belajar. Dalam tempoh itu beliau pulun mengulang kembali Alquran yang telah beliau hafaz. Beliau fokus dan abaikan benda-benda lain. Alhamdulillah, cukup enam bulan. Berkat kesungguhan, Allah beri rezeki buatnya untuk kembali ingat 30 juzuk Alquran."

Jika tidak dapat menetap di maahad. Bagi yang berdekatan dengan masjid daerah pun. Insya Allah boleh manfaatkan khidmat Imam Hafiz untuk mengulang. Jika berhampiran dengan rumah ustaz-ustaz apatah lagi. Istilah malu perlu dibuang. Jika mahukan sesuatu, kita perlu bersungguh.

3. Bagi lulusan STAM. Sebenarnya kita kena mula sedar dan faham. Sampai bila kita mahu belajar kerana sijil? Berapa banyak ilmu yang telah kita pulun selama ini, hanya berakhir di atas kertas peperiksaan?

"Sebaik habis peperiksaan, kita akan melonjak gembira. Kerana rasa merdeka dari belitan. Sampai kita patahkan pen dan pembaris kita kerana terlalu gembira. Kita sudah malas ke kelas, kerana rasakan tempoh belajar telah habis dengan menjawab kertas peperiksaan.

Jadi untuk apa kita belajar? Jangan salahkan sistem, kerana ia tidak bersalah. Cara fikir minda kita sepatutnya yang diubah. Sijil tetap penting, namun satu silap kita. Kita hanya fokuskan matlamat kita hanya 'semata-mata' kerana sijil. Ilmu menjadi sampingan.
4. Bagi lulusan STAM. Cubalah berkenalan dengan institusi pondok. Bagaimana helaian kitab dikaji dari kulit ke kulit. Tanpa ada muqorror atau silibus. Kita belajar bagi faham.

Kita dalami Mazhab Syafie ini dengan sungguh-sungguh. Kita pastikan setiap tatacara yang kita lakukan semasa beribadah, memang telah diberitahu ulama dan ada tercatat di dalam kitab. Kita dalami Ilmu Tauhid sungguh-sungguh. Bayangkan betapa seronoknya dapat menentukan baris ketika membaca kitab arab. Berdasar kaedah yang kita belajar dari ilmu nahu dan sorof. Ya Allah, betapa manisnya dunia Ilmu turath yang bakal kita nikmati di Institusi Pondok.

Begitu juga Ilmu Akhlak atau Tasawwuf. Ya Allah, rupanya ada lagi tempat yang boleh mendidik hati kita untuk hampir dengan Allah. Bukan sahaja jasad bahkan hati juga dididik untuk mentaati Allah.

Sampai bila kita ingin terperangkap di dalam dunia tanda soal? Walhal perkara itu telah termaktub di dalam kitab. Hanya tinggal kita untuk datang bertalaqqi dan menadah kitab.

5. Jika mampu tinggal menetap itulah yang terbaik. Seperti di Pondok Pasir Tumbuh. Namun jika sukar, carilah institusi pondok berhampiran kediaman untuk mudah berulang alik. Usaha cari maklumat sekeliling. Bagi sekitar Kuantan, ada satu cadangan;

Nama: Madrasah Darussalam (Pondok Seri Damai Jaya Gading),
Tenaga Pengajar: Ustaz Wan Mohd Zukir (Tok Ayah Wan),

Waktu Pengajian untuk Orang luar:
1. Selepas Maghrib (Setiap malam kecuali Khamis malam jumaat),
2. Pukul 10pg (Setiap hari kecuali Hari Jumaat dan Sabtu),