Jumaat, 28 Ogos 2015

Kenapa Pelajar Universiti lemah dari Pelajar Pondok?

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله

Persepsi.

Dari apa yang aku nampak sekarang. Persepsi orang awam terhadap pondok amat berbeza dengan Universiti. Orang awam lebih memandang tinggi graduan Universiti berbanding pondok. walhal dalam kalangan cerdik pandai agama, rata-rata memandang pondok lebih tinggi.

Maksud pondok yang saya maksudkan, semua sistem pendidikan yang berteraskan beberapa elemen. Kriterianya sama:

1. Belajar kitab dari kulit ke kulit.
2. Peringkat pengajian diukur dari sudut khatam kitab. Bukan mengikut semester atau tahun.
3. Punyai sanad. Belajar mesti melalui guru.
4. Kitab pengajian mestilah Kitab Muktabar. Kitab rujukan juga sama.
5. Jika dirujuk pada hari ini. Pastinya, silibus mereka ini hampir sama. Baik di Hadramaut Yaman, Ruwaq Alazhar di Mesir, Pattani dan Pondok di Malaysia. Jika ditelusuri silsilah ilmu mereka ke atas. Nescaya, kita pasti jumpa titik pertemuan Insha Allah. ( Tok guru kepada tok guru kepada tok guru mereka adalah orang yang sama ). Inilah pentingnya sanad.

Aku pernah berada di alam universiti. Aku pernah mengikuti aliran pondok di Kelantan, pernah berguru dengan Habaib Yaman dan masyaikh Alazhar. Jadi aku tulis ini berdasarkan pemerhatian aku.

Kenapa Ilmu siswa universiti lemah?

Aku tak nafikan. Pelajar yang dapat masuk universiti adalah pelajar pintar. Namun silapnya, expectation kita terhadap mereka terlalu tinggi. Kita anggap mereka sudah di level tinggi. Lalu, kita sumbatkan mereka dengan ilmu yang 'tak jejak bumi'. Walhal mereka belum layak untuk itu. Menyebabkan hari demi hari, kelopongan ilmu mereka semakin parah.


Sebab itu. Tidak menghairankan;

1. Jika graduan Master atau PhD menjadikan buku penulis biasa-biasa sebagai bahan rujukan mereka. Hanya kerana buku itu menyediakan 'bahan' baginya.
2. Jika graduan Master dan PhD tidak mampu membaca kitab arab. Kerana penguasaan Ilmu Alat khususnya Nahu Saraf yang sangat lemah.
3. Hidup seperti lalang. Mudah terpengaruh dengan hujjah orang. Kerana agen menilai mereka bukanlah Ilmu tetapi semata-mata akal.

Minta maaf kalau ayat aku seperti terlalu menghina. Namun pandanganku, kita perlu perbaiki situasi ini. Jadi kita perlu berterus terang.

Namun. Perkara ini seperti tidak berlaku kepada pelajar perubatan dan cabang ilmu yang lain. Mungkin kerana dunia dapat menjiwai dan nampak betapa 'pentingnya' ilmu-ilmu ini dalam hidup. Kalau tak dipelihara, bermasalah kita. Jadi, mereka memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. Namun Ilmu Agama kadangkala, bukan semua orang hargai. Kerana ruang lingkup lebih bersifat ghaib dan tersembunyi. Kewujudan Allah, Syurga, Neraka, pahala, dosa dan lain-lain.

Daripada mungkin ratusan pelajar Master dan PhD. Berapa ramai yang setaraf seperti Ustaz Azhar Idrus dari sudut penguasaannya dalam ilmu Fiqh? Kenapa tidak ada?

Jawapannya satu. Kerana pelajar Universiti dilambakkan dengan 'Ilmu tak jejak bumi', namun Ilmu 'hidup' tidak dimantapkan.

Bayangkan,

1. Mereka diajar cara istinbat hukum dari Alquran dan Hadith. Sedangkan Kitab Fiqh yang disusun oleh ulama Mujtahid pun mereka tak habis belajar.
2. Walaupun tidak semua hadith mereka tahu. Namun mereka diajar untuk mengkritik pandangan ulama.

Bagiku. Ini satu musibah yang sangat besar kepada Negara Malaysia kita. Kita rasa, kita sedang membentuk ilmuan masa hadapan. Walhal sebenarnya, kita sedang mengumpul semua anak-anak kita yang cerdik pandai di universiti, dan kita musnahkan mereka. Itulah yang kita buat sekarang.

Untuk membaikinya. Aku rasa, cara yang digunakan Syeikh Ali Jum'ah dan ulama Alazhar amat praktikal.

1. Wujud dan semarakkan Kelas Talaqqi di Universiti !
2. Rangka mustawa yang tersusun bagi setiap student. Pastikan kitab-kitab mubtadien mesti diajar sampai habis terlebih dahulu sebelum boleh melangkah ke mustawa mutawassitin dan muntahin.
3. Belajar dari manhaj dan silibus pondok.

Alazhar sendiri. Walaupun suatu ketika dahulu pernah menjadi lubuk segala macam ilmu, tempat ulama-ulama besar dunia berkumpul dan sarat dengan makhtutat (manuskrip) yang hebat-hebat. Juga tidak dapat lari dari masalah kesuraman suasana ilmu ini.

Teringat satu petikan kata-kata Habib Ali Aljufri yang pernah diviralkan (lebih kurang) (ditukar uslub kepada cerita).

" Sebelum ini Habib Ali Aljufri pernah mengadu kepada seorang Syeikh. Tentang Alazhar yang tiada suasana ilmu (Sistem Universiti semata-mata) (Walahal dahulu, Alazhar adalah lubuk ilmu). Tak silapnya, Syeikh itu minta tunggu dahulu. Akhirnya bebrapa lama kemudian, bila kembali semula ke Alazhar. Habib Ali Aljufri mula dapati, majlis ilmu di Alazhar sangat meriah. Dan insan yang mempelopori usaha ini adalah Syeikh Ali Jumah.."

Belajar. Bagaimana Syeikh Ali Jum'ah dan Ulama'm Alazhar meminta ulama-ulama hebat dari Hadramaut, Tunisia, Mali untuk mengajar di Kelas Talaqqi di Alazhar.

Sejak dari kewafatan Rasulullah.saw. Pelbagai revolusi ilmu agama telah berlaku silih berganti. Kita baru tak sampai 100 tahun merdeka. Jadi munasabahlah jika kita nak gerakkan lagi revolusi. Kerana yang lebih penting, budaya ilmu di Tanah Melayu khususnya di Universiti-universiti terjaga.