Selasa, 17 April 2018

[ Tahu apa benda yang kita buat; ]



Teringat cerita Ustaz Razak Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling. Ada pelajar Universiti yang extend pengajian semata-mata nak mari duduk Sri Petaling. Nak buat syahadah Alquran (Perdengarkan 30 juz hafalan dalam tempoh tiga hari). Jadi untuk persediaan, ia perlukan berbulan malah mungkin setahun-dua latihan.

.
Ada seorang teman. Sudah agak lama kerja guru KPM. Akhirnya berhenti. Tinggalkan kerja kerajaan yang berpencen dengan pelbagai insentif menarik. Bertukar ke Guru Tasmik Sambilan pagi, petangnya guru Alquran sambilan, malamnya Imam sambilan. Tiada gaji tetap. Tiada jaminan pencen. Sukar buat loan. Semata-mata nak menjaga hafalan Alquran, hidup dalam dunia Alquran.
.
Ada seorang kepala mentelaah di Pondok Pasir Tumboh. Awalnya dulu balik belajar dari UK. Ditawar gaji berbelas ribu. Tapi ditolaknya untuk belajar pondok. Kerana penguasaan Ilmu Agamanya yang terlalu lemah Dia ditempatkan di kelas paling bawah. Belajar kenal huruf jawi. Sekarang, semua kenal dia. Bukan sahaja berada di kelas paling tinggi. Dia juga mengajar kitab-kitab tinggi (rumit) pondok.
.
Ada seorang kenalan. Dengan pantasnya menolak tawaran kerja tetap dari sebuah syarikat. Kerana sewaktu temuduga. Penyoal memberitahu, syarikat agak berat melepaskan pekerjanya Solat Jumaat.
.
Terbaca kisah seorang doktor. Walaupun mampu, tapi hanya berkereta usang sahaja. Walau dipandang lekeh. Dia tak peduli. Sebab dia fokus pada pelaburan aset. Sudah beberapa rumah dibelinya.
.
Ada seorang teman rapat juga begitu. Walaupun laki-bini bergaji sedap. Tapi dia hanya berkapcai ke kolej. Isterinya pula memandu kereta bermodel lama. Dalam diam, juga melabur kepada aset. Di usia muda, sudah punyai dua rumah yang disewakan.
.
Ada kenal seorang pakcik. Sewaktu kawannya yang lain berebut-rebut membeli kereta. Dia hanya relax. Orang lain membeli rumah. Dia hanya relax. Akhirnya, tahu-tahu. Dia sudah membeli sebuah rumah secara cash dan kereta dengan ansuran bulanan yang sangat rendah.
.
Ada seorang pelajar. Sewaktu rakan sebaya berpusu nak masuk u. Berhijrah ke dunia kampus di bandaraya besar. Dia hanya mohon PJJ, belajar hanya dihujung minggu. Hari Isnin hingga Jumaat pula dia bekerja. Walau tidak berada di dunia kampus 100%. Namun, dia sudah punyai dua kelebihan berbanding rakan sebaya yang belajar Full Time. Dia ada pengalaman kerja dan tidak terikat dengan hutang PTPTN.
.
Setiap orang mungkin berbeza target hidup. Namun. Tahukah kita,

" Apa benda yang kita sedang buat ni?..."