بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله
Syahmi mula rasa gelisah. Suasana sekeliling tidak membantu
dirinya lebih hampir kepada Allah.
Perasaan Syahmi kini benar-benar berbeza dengan perasaan dahulu. Ya.. dahulu.
Dahulu suasana di asrama ini benar-benar berbeza. Paginya
selepas azan sementara menunggu iqamah, suasana pelajar akan mengaji dan
mengulang hafalan Alquran. Berbanding sekarang yang lebih suka berbual kosong,
bermain hanset atau sekadar bersandar di tiang melayan rasa mengantuk.
Dahulu selepas Subuh setelah berzikir. Pelajar lama akan
membuka kelas murajaah mengikut apa yang telah mereka belajar bersama Masyaikh.
Pelajar baru pula akan diajak sama duduk
dan mengambil istifadah. Suasana bersungguh merebut ilmu sudah bermula seawal
Subuh hari. Kaedah begini amat membantu pelajar baru. Terutamanya ketika cuba
memahami perbahasannya dalam Bahasa Arab nanti. Tambahan nanti ianya bakal
diajar oleh Masaikh yang bertutur Bahasa Arab. Sekurang-kurangnya nanti lebih
mudah. Orang kata sebab telah lalu air.
Selain itu pelajar lama juga amat-amat perihatin dengan
semangat menuntut ilmu pelajar baru. Pantang dilihatnya ada yang tidak
bersungguh atau leka, pasti dinasihatkan atau sekurang-kurangnya memerli. Sikap
cakna begini amat-amat membantu mewujudkan biah bersungguh menuntut ilmu
dikalangan penuntut Melayu di Mesir.
Syahmi teringat suatu ketika dahulu. Dalam suatu masa itu
jiwanya rasa kosong. Ketika itu baru selesai imtihan. Kelas kulliah, talaqqi dengan
masyaikh dan murajaah bersama pelajar lama tengah tawaqquf. Ketika itu ingin
melangkah berjemaah di masjid juga Syahmi rasakan berat. Apatah lagi ingin
menghafaz dan mengulang hafazan Alquran. Ingin murajaah kitab-kitab yang telah
dia belajar lagilah pula.
Sebagai tindak balasnya, Syahmi download bermacam-macam
cerita dari internet. Kemudian tonton dari bangun pagi sehingga nak tidur
malam. Syahmi tidak mahu lagi hidup di dunia nyata, dia malas nak fikirkan
apa-apa sekarang. Antara movie yang dia sempat habiskan ketika itu adalah Drama
Leverage yang punyai hampir lima season juga, dengan setiap season
mengandungi purata 18 cerita. Syahmi hanya pause ketika solat di masjid
dan ketika giliran memasaknya tiba.
Rupa-rupanya kelakuan Syahmi itu diperhatikan oleh pelajar
lama. Bukan Syahmi seorang yang mengalami, rupa-rupanya ramai yang sepertinya.
Seolah-olah sejenis virus sedang menular di kalangan pelajar baru di Mesir.
Virus tidak mahu hidup di dunia nyata. Kemudiannya berkembang menjadi virus
ketagih drama movie.
Sebaik selesai Solat Asar berjemaah di surau asrama
Malaysia. Ustaz Hakim yang juga diantara pelajar lama berpengaruh ketika itu.
Seorang yang sangat terkenal dengan kegigihannya menghadiri kelas talaqqi di
luar, salah seorang pelajar cemerlang di kulliah Syariah Universiti Al-Azhar
dan juga terkenal kerana sikapnya yang amat prihatin terhadap persekitaran
hidup pelajar-pelajar Malaysia. Ustaz Hakim mengambil peluang memberikan
tazkirah ringkas, namun sangat mengesankan hati jemaah yang hadir. Gaya tutur
kata Ustaz Hakim yang bersahaja, dihiasai selorah sekali sekala namun terselit
hikmah yang menjentik kalbu nurani Syahmi dan rakan-rakan.
“Hati kita ibarat sebuah kolam yang besar. Manakala pancaindera kita baik mulut, mata, tangan atau kaki adalah sumber air bagi kolam tersebut. Jika air yang masuk itu kotor. Maka kolam juga akan ikut kotor. Begitulah juga hati kita. Jika yang masuk melalui pancaindera kita itu perkara maksiat. Maka gelaplah hati kita..”
Ustaz Hakim menyertakan kiasan bernada tasawwuf,
“Suis lampu. Jika suisnya rosak maka lampunya takkan menyala. Namun jika suisnya elok maka lampu pasti akan menyala terang…”
“Begitulah juga hati kita. Bila ia rosak maka kita akan teraba-raba dalam kegelapan. Namun bila hati kita elok, terjaga dan bersih, maka kita akan dapat melihat dan merasai betapa lazatnya beribadah dan hampir dengan Allah..” Ujar Ustaz Hakim. Mengahiri kalam tazkirahnya pada petang itu.